Monday, December 6, 2010

Menghayati Konsep Hijrah Nabi Muhammad s.a.w.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai sahaja  1 Muharam ini bermakna umur kita telah meningkat dan semakin hampir menemui Allah s.w.t. Sebelum kita memperkatakan hijrah Nabi s.a.w maka kita perlulah berhijrah dalam ertikata sebenarnya iaitu ada perubahan di dalam mengejar cita-cita dan hasrat kita melihat perlaksanaan Islam dalam diri , keluarga dan masyarakat kita.

Persoalannya berapa ramai daripada kita yang benar-benar menghayati falsafah dan sejarah di sebalik peristiwa tersebut? Secara umumnya perayaan 1 Muharam ini merujuk kepada peristiwa agung sejarah hijrah (perpindahan) yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, akan membawa kegagalan kepada umat Islam sendiri.

Tarikh ini menjadi sebahagian daripada hari memperingati di dalam kalendar Islam kerana ia merupakan titik tolak kepada era pergerakan dakwah Islamiah yang disebarkan oleh Rasulullah s.a.w.  ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya sehingga ke hari ini Islam menjadi salah satu agama terbesar dunia dengan jumlah seramai lebih 1.3 bilion atau satu per lima daripada penduduk dunia.

Perjalanan yang menempuh pelbagai cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman dan asakan daripada kaum kafir Quraisy tetapi menjadi strategi Nabi Muhammad  s.a.w.  sendiri untuk melalukan keberkesanan dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam. Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan untuk keluar dari tanah air sendiri semata-mata untuk penyebaran dakwah Islam.

Hijrah juga akan gagal sekiranya umat Islam tidak bersatu padu, sentiasa bertelagah, mencari kesalahan dan hanya tahu mengkritik sahaja. Maknanya perpecahan hanya mengundang kegagalan dalam apa jua matlamat yang hendak dicapai lebih-lebih lagi melibatkan soal  perpaduan ummah.

Jelas betapa hebatnya hijrah tersebut yang bukan hanya berfokuskan semata-mata menyampaikan dakwah tetapi Nabi s.a.w. berjaya mendirikan daulah (negara) Islam Madinah yang lengkap melalui pakatan murni yang dimeterai dalam Perlembagaan Madinah. Ahli sejarah menganggap ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.

Daripada hanya sebuah agama kecil akhirnya berkembang menjadi agama terbesar dunia. Daripada kelompok minoriti yang lemah menjadi majoriti yang perkasa dalam pelbagai bidang. Daripada umat yang lemah dan dihina beranjak kepada umat terbilang yang penuh penciptaan ketamadunan. Daripada bangsa yang jahil dan zalim menjadi bangsa berilmu dan beradab. Itulah hasil perubahan yang tercetus hanya kerana hijrah.

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau – mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah Al-Anfaal:30)

Ayat tersebut antara lain menjadi kata perangsang kepada Nabi s.a.w. dan umat Islam agar tidak takut dengan ancaman orang kafir kerana Allah s.w.t. mengatasi segala perlakuan mereka. Namun begitu asas pertolongan Allah bukan diberikan dengan percuma, tanpa usaha dan ikhtiar yang bijak tetapi disertai dengan tahap keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. yang cukup hebat.

Sahabat yang dimuliakan,
Hijrah  bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa hijrah itu menyingkap satu perjuangan yang pantang menyerah atau mengaku kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah s.a.w. iaitu, di Makkah selama 13 tahun dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ia bermakna Rasulullah s.a.w. berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa depan.

Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah.

Mereka juga menyedari tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah s.a.w., bagaimana baginda mengutamakan pembinaan masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi s.a.w.  yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah.

Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.

Hijrah baginda bukan untuk kerehatan, tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia menghayati roh hijrah ini untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam.

Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan slogan indah atau ucapan  manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah s.a.w. menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu yang saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya kerana Islam adalah ad-Deen yang bersifat rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah yang bermaksud:"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbia, ayat 107)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita muhasabah diri kita samaada kita telah berubah daripada kejahilan kepada berilmu, dan sentiasa meningkatkan amal dan kerja-kerja jihad di jalan Allah s.w.t. Setiap tahun kita menyambut Maal Hijrah akan ada perubahan di atas usaha-usaha untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup.

3 comments:

Siti Nr Syahira ●̮̮̃• said...

Salam .
terime kasih ya.
izin share??
wallahualam.

abubasyer said...

Walaikumusalam wm. wbkt, Nur Siti, silakan nota untuk boleh dikongsikan bersama.
Waalikumusalam.

Anonymous said...

Salam.. Sy nk kongsi jgk rencana ini..ye. Jazakallah