Monday, April 11, 2011

Jauhilah Makan Secara Berlebihan Kerana Boleh Menutup Pintu Hati

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah S.W.T berfirman maksudnya : "Dan, makan serta minumlah kamu, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf ayat 31)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya
(memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2302 dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih.” Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan)

Hadis ini telah salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umatnya jika makan hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini maksudnya bukan demikian. Pembahagian tersebut ialah had maksima, kalau boleh hendaklah kurang daripada itu. Sebab itu baginda menyebut jika tidak dapat, bererti tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

Hadis di atas di samping menganjurkan agar menghadkan kadar makan dan minum, Nabi SAW juga mengingatkan tentang bahaya perut jika ia diisi dengan tanpa hadi. Difahamkan daripada hadis di atas juga bahawa perut kita hanya selamat jika ia diisi dengan makanan satu pertiga sahaja. Tetapi jika ia dipenuhi dengan makanan melebihi ruang itu, maka kemungkinan besar ia merbahaya kepada kesihatan kita sendiri.

Sayidina Umar r.a berkata : "Jauhilah daripada membuat perut kamu penuh, kerana perut yang penuh menjadi bebanan ketika hidup di dunia dan menjadi daging yang berbau busuk sesudah mati."

Kesan sampingan dan bahaya makan minum sering dilapurkan dan ia diakui sendiri oleh pakar perubatan bahawa punca penyakit yang diidapi oleh masyarakat manusia dan ada yang membawa kematian khususnya masyarakat moden hari ini, ia berpunca daripada banyak makan daripada kekurangan makanan. Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, lemah jantung, kencing manis , gout dan lain-lain semuanya berpunca daripada lebih makan atau tidak mengawal makanan dengan cara yang betul.

Satu ketika Nabi S.A.W berjumpa dengan seorang lelaki yang mempunyai perut boroi (buncit). Maka Nabi S.A.W. menunjukkan kearah perut lelaki itu dengan jarinya seraya bersabda yang bermaksud : "Kalaulah makanan-makanan ini (yang menyebabkan perut boroi) di berikan kepada orang yang memerlukan adalah lebih baik." (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Orang yang kuat makan dan makan banyak biasanya perut akan menjadi boroi disebabkan lemak-lemak tidak sempat dibakar dan ianya berkumpul diperut. Adalah lebih baik jika makan sekadarnya dan wang lebihan untuk membeli makanan tadi ditukarkan menjadi sedekah dan di berikan kepada fakir miskin lebih menfaatnya dan mendapat pahala.

Dalam hadis yang lain Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Orang yang banyak makan tiada nilai disisi Allah. Maka di datangkan pada hari kiamat seorang yang besar, panjang, kuat makan dan kuat minum tetapi apabila ditimbang amalannya tidak ada sebesar nilai kepak nyamuk pun di sisi Allah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh sebab itu Imam Al Ghazali dalam Minhajul ‘Abidin menjelaskan terdapat 10 bahaya berpunca daripada lebihan makanan. Di antara bahaya-bahaya makan minum tanpa had itu ialah;

1. BANYAK MAKAN HATI MENJADI KERAS DAN MEMADAMKAN CAHAYANYA.

Dalam sebuah hadis yang agak masyhur bahawa Nabi SAW mengingatkan; “Hati anak Adam ditempa bentuknya mengikut makan dan minum”. Ertinya bentuk dan sifat hati itu berpunca daripada makan minum.

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebih) makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air”.

Hukama’ pula ada berkata; “Perut itu umpama kuali yang berada di bawah hati, bila ia mendidih asapnya akan terkena pada hati. Jika banyak asap, ia akan kotor dan menjadi hitam”. Ertinya bahan kimia daripada makanan itu menghasilkan toksid yang boleh membinasakan hati dan jantung.

2. BANYAK MAKAN HATI MENJADI RESAH DAN MERUNTUN ANGGOTA KE ARAH PERKARA SIA-SIA DAN MAKSIAT.

Seorang yang sentiasa kenyang sentiasa lupa daratan. Segala pancainderanya, seperti mata, telingan, lidah dan kemaluannya cenderung untuk melakukan perkara haram. Tetapi bila perut lapar, semua anggota menjadi aman dan tenteram daripada runtutan maksiat, hatta perkara fudhul (tidak berfaedah).

Jika makan yang haram, maka yang terhasil daripada anggota dan pancainderanya adalah perkara haram juga. Jika makan yang halal, yang terhasilnya adalah perkara baik dan manfaat serta keuntungan di dunia dan akhirat. Tapi jika makan belebihan, walaupun halal, ia mendatangkan kesan sampingan yang memudharatkan pula.

3. BANYAK MAKAN AKAN MELEMAHKAN AKAL DAN TERHALANG DARIPADA MENJADI CERDIK.

Benar sekali apa yang disebut oleh Imam Ad Daraqutni; “Bila engkau ingin sesuatu dari keperluan dunia dan akhirat, maka janganlah engkau makan dahulu sehingga perkara yang engkau ingin itu tercapai atau berhasil. Kerana makan itu akan merubahkan fikiran menjadi lemah. Bukti itu telah dialami oleh banyak orang yang mempraktikkannya”.

4. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN KURANG IBADAH.

Banyak makan menyebabkan badan menjadi berat, mata mengantuk, anggota badan lesu dan lemah. Walau pun dipaksa untuk melakukan sesuatu, tetapi tidak berdaya lagi, kecuali hanya tidur seperti bangkai terbuang.

Diceritakan bahawa Nabi Yahya as pernah bertemu dengan iblis sedang membawa sesuatu serupa joran (alat memancing). Nabi Yahya a.s. bertanya; “Untuk apa engkau bawa alat ini”.

Jawab iblis; “Inilah syahwat untuk aku pancing anak-anak Adam”.

Tanya Nabi Yahya lagi; “Adakah aku juga hendak engkau pancing?”.

Jawab iblis; “Tidak ada peluang. Tetapi pernah pada suatu malam, engkau makan agak banyak. Maka aku dapat memancing kamu sehingga engkau terasa berat untuk mengerjakan solat”.

Kata Nabi Yahya; “Kalau macam itu, mulai hari ini aku tidak lagi mahu makan kenyang sepanjang hidup aku”.

Kata iblis dengan penuh kesal; “Betapa menyesalnya aku kerana membuka rahsia ini. Mulai hari ini kami golongan iblis tidak akan menceritakan lagi rahsia ini kepada sesiapa pun”.

Ada pun kisah Nabi Yahya terlebih makan itu cuma berlaku sekali sahaja dalam hidupnya.

Cubalah bayangkan, bagi orang yang sentiasa kenyang pada setiap malam. Tentu sekali bukan sahaja malas, bahkan terasa rugi untuk bangun beribadah malam. Bila terjaga pada waktu malam sayang sekali untuk tinggalkan kain selimut dan tilam empuk untuk bangun beribadah kepada Allah.

5. BANYAK MAKAN AKAN MENGHILANGKAN KEMANISAN DALAM BERIBADAH.

Seperti seorang seniman yang sedang asyik menumpukan kepada kanvas lukisannya, ia pasti lupa alam sekelilingnya. Setelah selesai dihasilkan lukisannya, ia akan terasa suatu kepuasan. Demikian juga dengan badah yang dilakukan dengan takun dan khusyuk, akan terasa sedap dan nikmat. Selesai ibadah akan terasa suatu kepuasan.

Sayidina Abu Bakar berkata; “Sejak aku menganut Islam, belum pernah perut aku kenyang dengan makanan. Kerana aku ingin mendapat kemanisan dan kepuasan dalam beribadah. Juga belum pernah aku kenyang dengan minuman, kerana aku sangat rindukan Allah”.

Sayidina Abu Bakar r.a. ialah salah seorang sahabat Nabi SAW yang mendapat maqam (tingkatan) mukasyafah. Ini seperti mana diakui oleh Nabi SAW sendiri, maksudnya; “Tiada yang melebihi kamu Sayidina Abu Bakar dalam rasa kemanisan beribadah puasa dan solat. Sesungguhnya ia ialah kerana sesuatu yang tersimpan di dalam dadanya (takwa)”.

Inilah tanda dan sifat orang yang telah mendapat maqam mukasyafah kerana mengurangkan makan dan minum.

6. BANYAK MAKAN SEMBARANGAN MAKANAN AKAN MUDAH TERJERUMUS KEPADA SYUBHAT ATAU MUDAH MENDEKATI PERKARA HARAM.

Menurut Imam al-Ghazali, barang halal itu datang kepada kamu hanya sekadar untuk menjadi bekalan sahaja. Seperti mana disebut oleh Nabi SAW, maksudnya; “Sesungguhnya yang halal itu tiada datang kepada kamu, melainkan sekadar untuk menjadi bekal dan sekejab sahaja. Tetapi yang haram itu datang kepada kamu bertimbun-timbun”.

Banyak makan makanan syubhat menimbulkan was-was dalam hati. Sukar menghafal ilmu dan mudah lupa. Oleh sebab itu dalam hadis riwayat Bukhari bahawa Rasulullah SAW mensifatkan, di antara halal dengan haram ada di tengahnya perkara syubhat. Walau pun perkara syubhat belum haram, tetapi ia lebih mendekati ke arah haram dan termasuk perkara larangan, bagai taman larangan kawasan istana. Kerana, siapa yang suka meniti di atas syubhat, lambat laun ia akan terjerumus kepada haram. Bagi orang warak perkara syubhat dijauhinya bagai menjauhi perkara haram.

7. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN TIMBUL PELBAGAI PERKARA BURUK.

Di antara perkara buruk atau kesan sampingan berpunca daripada banyak makan ialah;

a). Hati dan badan menjadi penat kerana sebuk berusaha mencari perbelanjaan untuk tujuan menyediakan makanan yang lazat-lazat dan mahal-mahal perencah dan resepinya.

b). Badan akan menjadi penat dan letih dalam mencari pelbagai resepi, menyiapkan pelbagai jenis masakan, mencuci alat-alat yang telah diguna untuk makan dan sebagainya.

c). Menghabiskan masa, fikiran, dan pertimbangan untuk mengimbangkan resepi agar terasa lazat. Kerana bimbangkan risiko kekurangan salah satu bahan, nanti kurang sedap.

d). Selepas makan, kesibukan itu bersambung lagi, seperti kena mencuci gigi, menyiapkan peralatan selepas makan seperti kertas tisu, menghidang makan ringan sebagai pencuci mulut dan lain-lain.

e). Jika perut allergic terpaksa pula pergi ke jamban. Menghadapi risiko kesan sampingan seperti terkena penyakit darah tinggi, lemah jantung atau kencing manis dan lain-lain, maka terpaksa pula jumpa doktor dan sediakan ubat sepanjang masa.

f). Selalu rugi di bidang agama seperti;

i). Banyak makan menjadikan seseorang malas beribadah atau melambat-lambat sembahyang, kerana terasa penat akibat perut terlalu kenyang. Jika ibadah pun telah mengurangkan perkara-perkara sunat.

ii). Orang yang banyak makan akan sentiasa hendak membuang air kecil atau air besar atau sentiasa kentut. Oleh sebab itu wuduknya tidak dapat kekal. Ertinya, ia tidak mampu kekal dalam keadaan suci, iaitu sentiasa berada dalam wuduk. Sedangkan orang yang sentiasa berwuduk, menurut hadis, ia sentiasa diampuni dosa oleh Allah sepanjang ia berwuduk.

iii). Banyak makan menyebabkan kurang tahan beriktikaf atau tidak dapat berlama-lama dalam mesjid, kerana keluar untuk keperluan cari makan atau kerana terbatal wuduk (sentiasa kentut) atau kerana hendak buang air kecil atau air besar.

iV). Orang yang banyak makan ia tidak tahan berpuasa, kerana tidak tahan berlapar.

Demikian beberapa kelemahan keburukan orang yang banyak makan dan ia merupakan satu kerugian.

Sesungguhnya puasa, iktikaf, dawamut toharah (sentiasa berkeadaan suci – sentiasa berwuduk, termasuk juga menjaga kebersihan pakaian pada diri) dan lain-lain itu merupakan perkara yang menjadi ibadah dan mendapat pahala. Sedangkan banyak makan, menyebabkan peluang untuk berada dalam keadaan ibadah dan mendapat pahala menjadi terganggu oleh kesan sampingan akibat makan banyak seperti perasaan malas, mengantuk, terkentut, buang air kecil dan besar (menyebabkan tidak tahan berada dalam keadaan sentiasa wuduk) dan lain-lain.

Kerana itu Nabi SAW mengingatkan, maksudnya; “Punca segala penyakit ialah rakus atau lahap dalam makan dan punca segala ubat ialah berpantang”.

Malik bin Dinar pernah berkata; “Wahai saudara ahli Basrah, disebabkan makan terlalu banyak, maka kita terpaksa kerap pergi ke tandas, tempat yang hina. Ertinya kita dimalukan oleh Tuhan. Oleh sebab itu, maka aku amat inginkan sekiranya diberi rezki oleh Tuhan, cuma cukup untuk menjilat lidah sahaja pada batu krikil”.

Oleh itu orang yang Cuma menghabiskan masa untuk fakir makan dan minum sahaja, maka semua urusan yang dilakukan (untuk mencari makanan) hanya semata-mata untuk keduniaan dan tidak ada apa-apa bahagian untuk di akhirat. Kerana apa yang diusahakan semata-mata untuk menghasilkan najis dan mengakibatkan pula badan lesu, menanggung penyakit dan masa (umur) tebuang percuma sahaja.

8. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN AMAT SAKIT KETIKA SAKARATUL MAUT DAN URUSAN PERHITUNGAN DI AKHIRAT MENJADI RUMIT.

Dalam hal ini Nabi SAW ada mengingatkan yang bermaksud :  “Berat atau ringannya sakit sakaratulmaut itu bergantung kepada sedikit atau banyaknya kenikmatan dunia yang kita ambil. Jika banyak kenikmatan dan kesenangan dunia yang kita ambil dan nikmat, maka beratlah kita hadapi sakit sakaratul maut, kerana sedih dan sayang untuk meninggalkan dunia yang telah mendarah-daging bagi kita”.

9. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN KURANGNYA GANJARAN DI AKHIRAT, KERANA NIKMATNYA TELAH DITERIMA DI DUNIA.

Firman Allah, maksudnya; “Dan ingatlah hari ketika orang-orang kafir dimasukkan ke dalam neraka, kepada mereka dikatakan; ‘Kamu telah menghabiskan rezki dan kesenanganmu yang baik di dunia dan kamu telah pun bersenang-senang dengannya, maka pada hari ini dibalas pula dengan azab yang menghinakan. Kerana kamu dahulu di dunia sombong dan fasiq tanpa hak” (Surah Al Ahqaaf ayat 20).

Jika kita hanya mengambil dan menggunakan nikmat dunia semata-mata untuk merasakan kesenangan di dunia, maka akibatnya nikmat di akhirat akan dikurangkan oleh Allah.

Diriwayatkan bahwa suatu masa Khalid Ibnu Walid menghidangkan makanan yang enak-enak kepada Saidina Umar. Lalu Saidina Umar berkata; “Makan yang enak ini kita akan makan sekarang, tetapi bagaimana dengan nasib orang –orang fakir di kalangan sahabat Muhajirin yang meninggal dunia, kerana belum pernah kenyang makan roti yang dibuat daripada sya’ir (iaitu gandum yang amat murah harganya)”.

Khalid menjawab; “Ya, Amirul Mukminin, bagi mereka sudah ada syuga. Sekarang mereka sudah mendapat ganjarannya”. Kata Sayidina Umar lagi; “Kalau begitu, mereka sudah dapat syurga, sedangkan kita baru dapat makanan yang enak ini. Amat celakalah kita, kerana di antara kita dengan mereka berbezaan amat jauh sekali”.

Sayidina Umar amat faham tentang peringatan Rasulullah SAW, bahawa jika seseorang itu telah mendapat nikmat dunia dan bermewah-mewah dengannya, nanti di akhirat ganjarannya akan berkurangan.

10. BAHAYA MAKAN MERUMITKAN SOAL JAWAB DI AKHIRAT.

Bahaya makan terakhir ialah mengakibatkan seseorang itu akan menghadapi saat rumit ketika berhadapan dengan soal jawab di akhirat.

Walau pun memakan rezki yang halal, tapi jika di akhirat kita disoal siasat oleh Allah di Mahkamah Akhirat tentang daripada mana kita perolehi yang halal itu dan ia diperhitungankan satu persatu. Jika kita memakan makanan yang syubhat, kita akan disalahkan, kerana hanya ingin bersenang-senang. Sedangkan hal ehwal keadaan jiran, orang miskin dan lain-lain orang yang susah, tanpa dibantu, itu akan ditanya kelak oleh Allah kepada kita.

Sesiapa yang tidak membantu orang yang memerlukan bantuan, sedangkan ia mampu, maka ia dianggap tidak tergolong sebagai umat Islam.

Sebuah hadis bahawa Nabi SAW bersabda amat tegas sekali, maksudnya; “Siapa yang tidak memikirkan urusan sesama Muslim, ia dianggap bukan golongan mereka (bukan golongan Muslim)” (Hadis Riwayat Al Hakim dari Ibnu Mas’ud).

Oleh itu, dalam hidup ini, kita selaku umat Islam telah tersedia memikul amanah, sama ada amanah masyarakat atau amanah diri dan keluarga. Jadi, tidak pantaslah setiap hari kita cuma memikirkan tentang makan dan mengisi perut sahaja. Kerana kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap keluarga dan masyarakat.

Memang dalam hidup ini, lebih-lebih lagi untuk mengisi tugas dan tanggungjawab terhadap Allah dan juga masyarakat, kita perlukan badan sihat. Badan yang sihat, terbina daripada makanan minum yang baik dan berzat. Memang makanan itu perlu, tetapi janganlah sampai makan terlalu berlebihan sehingga melupakan tanggungjawab lain yang lebih utama.
 
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sentiasa meningkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan supaya dengan amalan ini dapat membantu kita ketika di periksa dan ditimbang dengan mudah di Mizan ( timbang amal manusia). Kurangkan makan dan minum walaupun halal tetapi iannya boleh menutup (hijap) pintu hati kita untuk lebih khusyuk dan  tenang ketika berhubung dengan Allah S.W.T. Hati yang mati adalah hati yang terputus hubungan dengan Allah  kerana pemilik hati tersebut banyak makan, minum, tidur, bermalas-malas , suka mengikut hawa nafsu dan berkekalan buat perkara maksiat.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum. Terima kasih atas tulisan ini dpt menjadikan ia sbg panduan dan peringatan agar kita berpada2 dlm melakukan apa saje perbuatan termasuklah makan yg berlebihan.