Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebelum Imam Syafie pulang ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada murid-muridnya serta umat Islam. Beliau meninggalkan 10 wasiat berikut:
"Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."
PERTAMA: Hak Kepada Diri.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
Firman Allah (SWT) dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah (SWT).” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )
Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebih) makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air”.
KEDUA: Hak Kepada Malaikat Maut.
Iaitu: Mengada kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
Bersabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Siapa yg merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, baik berupa kehormatan badan, harta atau lainnya, hendaknya segera meminta halal (maaf)nya sekarang juga sebelum datang suatu hari yg tiada harta, dinar atau dirham, jika ia punya amal soleh, maka akan diambil menurut penganiayaannya, dan jika tidak mempunyai hasanat (kebaikan), maka diambilkan dari kejahatan orang yg dianiaya utk ditanggungkan kepadanya." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim).
Rasulullah S.A.W. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."
KETIGA: Hak Kepada Kubur.
Iaitu: Menaggalkan tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (Yakni hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)
Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)
KEEMPAT: Hak Kepada Munkar dan Nakir.
Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah: 119)
Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta.
Nabi berwasiat pada Sayidina Ali : "Wahai Ali ! Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga :
1.Jika berbicara selalu dusta 2.Jika berjanji selalu ingkar dan 3.Jika bersumpah selalu khianat"
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan barang siapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan.”
(Surah Al-Nisa’ ayat 14)
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Agama adalah nasihat". Kami berkata: "Kepada siapa?". Baginda bersabda maksudnya : "Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan kepada pemimpan kaum muslimin dan rakyatnya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
KELIMA: Hak Kepada Mizan (Neraca Timbangan Amalan Pada Hari Akhirat).
Iaitu: Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.
Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit."
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"
KEENAM: Hak Kepada Sirat (Titian Yang Merentangi Neraka Pada Hari Akhirat).
Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat." (Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).
Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
KETUJUH: Hak Kepada Malik (Malaikat Penjaga Neraka).
Iaitu: Menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kapada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta bersembunyi dan memperelok akhlak.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api Neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api Neraka."
Hadis riwayat Abdullah bin Umar ra., ia berkata:
Seseorang datang menghadap Nabi S.A.W. memohon izin untuk ikut berperang. Nabi S.A.W. bertanya: Apakah kedua orang tuamu masih hidup? Orang itu menjawab: Ya. Nabi S.A.W. bersabda: Maka kepada keduanyalah kamu berperang (dengan berbakti kepada mereka). (Hadis Shahih Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)
KELAPAN: Hak Kepada Ridwan (Malaikat Penjaga Syurga).
Iaitu: Berasa reda kepada qadak Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Allah s.w.t berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)
KESEMBILAN: Hak Kepada Nabi SAW.
Iaitu: Berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan dari Allah.
Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku" (Hadis Riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Hibban)
Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : " Dan sesiapa berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan selawat ke atasnya 10 selawat, menghapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa) dan mengangkatkannya 10 darjat."
(Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad, Nasa'i dan Al-Hakim)
Dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah SAW telah berkata kepadaku: "Hai anakku! Jika engkau mampu tidak menyimpan dendam kepada orang lain sejak dari pagi sampai ke petangmu, hendaklah engkau kekalkan kelakuan itu! " Kemudian baginda menyambung pula: "Hai anakku! Itulah perjalananku (sunnahku), dan barangsiapa yang menyukai sunnahku, maka dia telah menyukaiku, dan barangsiapa yang menyukaiku, dia akan berada denganku di dalam syurga! " (Hadis Riwayat Tarmidzi)
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud:
“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya” (Hadis Riwayat Muntafaq ‘Alaih)
KESEPULUH: Hak Kepada Allah SWT.
Iaitu: Mengajak manusiake arah kebaikan, mencegah manusia dari keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.
Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang mengajak (seseorang) kepada petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2674.)
Sabda Nabi S.A.W. dalam hadis yang lain maksudnya : “Barangsiapa diantara kalian melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka dengan lisannya, jika ia tidak mampu (pula) maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman” (Hadis Riwayat Muslim, No. 804.)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menghayati 10 wasiat Imam Syafie untuk menjamin kebahagiaan kita di dunia dan akhirat. Jika kita fahami dan hayati nasihat tersebut akan dapat menyelamatkan kita semasa berada di alam barzakh dan hari akhirat. Ingatlah! Masa terus berlalu tanpa menunggu kita, jika amal soleh dan amal kebaikan , ketaatan dan kepatuhan kepada Allah S.W.T. kita isi sepenuhnya masa itu, maka kita lah akan mendapat kebahagiaannya begitu juga jika kita leka dengan keseronokan dunia dan hayal dengan tipu dayanya maka kita sendiri yang akan rugi dan menyesal tanpa kesudahan.
No comments:
Post a Comment