Friday, April 15, 2011

Orang Mukmin Yang Sihat dan Kuat Lebih di Kasihi Allah Daripada Mukmin Yang Lemah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin sentiasa menjaga kesihatan dirinya samaada kesihatan untuk rohaninya dan untuk jasmaninya. Kedua-dua kesihatan ini adalah penting kerana  Nabi S.A.W amat mengambil berat mengenai kesihatan rohani dan jasmani.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah. Pada setiap orang ada kebaikan maka bersungguh-sungguhlah mencari apa yang bermanfaat bagi kamu dan mohonlah pertolongan Allah serta jangan bersikap mengalah. Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: “Seandainya (kalau) aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi katakanlah: “Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”. Ini kerana perkataan “Seandainya” membuka pintu perbuatan syaitan." (Hadis Sahih Riwayat Muslim , no: 4816)

Mukmin yang kuat daripada hadis di atas adalah mengandungi dua makna iaitu kuat darisegi kerohaniannya dengan Allah S.W.T. Sentiasa yakin dengan takdir dan qadak dan qadar dan sentiasa berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah S.W.T. Kekuatan kedua adalah kekuatan jasmaninya iaitu badan dan akal fikiran yang sihat dan cergas untuk mencari rezeki kurniaan Allah S.W.T dan untuk berjihad dijalan Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,
Al-Quranul karim adalah perbendaharaan yang penuh dengan ilmu pengetahuan . Ianya mengandungi seribu satu misteri yang perlu dicungkil dan dikaji oleh manusia. Salah satu keistimewaan Al-Quran ialah keterangan mengenai beberapa jenis tumbuhan yang masih menjadi tandatanya para saintis mengenai kelebihan dan khasiatnya.

Walaupun demikian terdapat juga hadis Rasulullah S.A.W. yang menyokong serta memperjelaskan tentang kegunaan tumbuhan tersebut walaupun pada masa itu tidak terdapat kajian saintifik mengenainya. Kebanyakan tumbuhan tersebut adalah penawar penyakit dan ianya sangat berkhasiat untuk manusia.

Di antara tumbuhan yang terdapat dalam al-Quran  ialah:

1.Madu

2.Tin dan Zaitun

3.Kurma

4.Habbah as-sauda

Pertama : Madu.

Keistimewaan lebah ini telah diabadikan oleh Allah di dalam kitab-Nya al-Quran. Pengabadian ini dilakukan dengan menamakan satu surah dengan nama lebah, (Al-Nahl). Allah S.W.T telah berfirman dalam surah ini mengenai lebah dan khasiat yang terdapat dalam madu lebah.

Maksudnya: "Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu pada gunung-ganang, dan pada pokok-pokok kayu, dan pada bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkan kepadamu (dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit) sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang berfikir."
(Surah al-Nahl ayat 68-69)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mājjah. Nabi S.A.W. bersabda :

مَنْ لَŰčِقَ Ű§Ù„ْŰčَŰłَلَ Ű«َلََۧ۫ ŰșَŰŻَوَۧŰȘٍ كُلَّ ŰŽَهْ۱ٍ لَمْ يُŰ”ِŰšْهُ ŰčَŰžِيمٌ مِنْ Ű§Ù„ْŰšَلَۧۥِ

Maksudnya: "Sesiapa yang meminum madu lebah pada waktu pagi, tiga kali setiap bulan, dia tidak akan menghidapi penyakit berbahaya."

Rasulullah S.A.W. juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan dengan ayat-ayat al-Quran. Baginda bersabda maksudnya : "Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa madu mempunyai keistimewaan tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan. Di samping itu, madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga.

Dengan keyakinan bahawa setiap penyakit itu pasti ada ubatnya yang diterangkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu penyakit tua. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Mereka yang mengetahui khasiat madu akan menggunakannya secara rutin. Hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang dilakukan.Jika diamalkan setiap hari, ia akan mencegah daripada pelbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup, terutamanya dalam kita melaksanakan ibadah puasa.

Madu juga seringkali digunakan untuk sampingan sarapan agar tenaga segera siap digunakan dalam menjalankan kerja harian.

Madu boleh menyembuhkan penyakit (dengan izin Allah) yang disebabkan oleh pelbagai faktor.

* Madu dapat menyegarkan tubuh

* Madu dapat membersihkan gigi dan memelihara kesihatan nya dan
ia malah dapat mempercantikkan rambut dan memanjangkannya

* Madu boleh mengeluarkan racun

* Madu dapat mengeluarkan ubat-ubat yang tidak baik dari tubuh

dan ia membersihkan ubat-ubat itu darinya.

* Madu berfaedah untuk mengawet mayat manusia supaya tidak
berbau busuk

* Madu juga dapat membunuh kuman-kuman yang mremudaratkan tubuh atau menyebabkan penyakit.

* Makanan yang disukai oleh pinggang dan hati

* senang dihadamkan

Kedua : Buah Tin dan Zaitun

Selain daripada madu , terdapat dalam satu surah iatu surah At-Tin di mana Allah telah bersumpah di atas nama buah tin dan zaitun . Apakah keistimewaan buah tin dam zaitun sehinggakan Allah bersumpah di atasnya? Ada beberapa hadis dan riwayat yang menerangkan tentang fadhilat dan kelebihan buah ini.

Antaranya:

i) Hadis di riwayatkan dari Abu Zar r.a.
Bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin.Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan.Kemudian baginda  bersabda maksudnya :”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia.Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”

ii) Sesetengah ahli tafsir menerangkan bahawa Allah bersumpah dengan buah tin kerana dengan buah inilah yang menjadi penutup aurat Nabi Adam dan isterinya di dalam syurga sewaktu Allah singkap aurat kedua-duanya selepas memakan buah larangan dalam syurga.

Khasiat buah tin

Buah ini dapat menyembuh beberapa jenis penyakit (dengan izin Allah) antaranya ialah:

* Penyakit Buasir

* Sakit-sakit dan bengkak-bengkak badan

* Batuk yang berpanjangan

* Melawas kencing

Rahsia buah zaitun

Ianya dijadikan kayu sugi oleh para Nabi termasuklah Rasulullah SAW sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : “Sebaik-baik kayu sugi ialah zaitun, ia adalah pokok kayu berkat.Ia membersihkan mulut dan menghilangkan kuning-kuningan gigi. Ia adalah kayu sugiku dan kayu sugi para nabi sebelumku.”

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud : “Gunakanlah minyak zaitun untuk masak makanan , berminyaklah dengannya untuk rambut, badan dan seumpama dengannya kerana sesungguhnya ia adalah daripada pokok yang berkat.”

Dalam masyarakat moden hari ini , minyak zaitun digunakan dalam berbagai-bagai kegunaan termasuklah dijadikan sabun mandi untuk melembutkan kulit dan sebagai minyak rambut untuk melebatkan rambut.

Khasiat buah zaitun

Antara khasiat buah zaitun ialah:

* Membaik pulihkan perut

* Mengeluarkan cacing

* Menjadi penawar racun

* Minyaknya menghaluskan kulit

* Minyaknya melambatkan tumbuh uban

* Menghilangkan melecur kena api.

Ketiga : Buah Kurma/ Tamar

Walaupun tiada surah khusus untuk buah kurma tetapi Allah menerangkan tentang kegunaan buah kurma dalam surah Maryam iaitu dimana Maryam sakit ketika hendak bersalin , Allah memerintahkan Maryam dalam ayat ke25 supaya makan buah kurma yang masak. Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya (pohon) itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu." (Surah Maryam ayat 25)

Di sini ianya berfungsi sebagai analgesik(tahan sakit) dan sekaligus dapat memberikan Maryam tenaga untuk melahirkan anak.

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah S.A.W.  bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa.

Berdasarkan ini juga Nabi S.A.W. menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :

"Rasulullah S.A.W.  berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka baginda S.A.W.  akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka baginda meminum beberapa terguk air." (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut pandangan Islam , apabila ibu yang hamil digalakkan diberikan buah kurma, Buah kurma juga disunatkan makan ketika berbuka puasa. Rasulullah juga suka makan kurma bersama timun . Ini kerana kedua-dua dapat mengimbangkan kedua-dua sifat tersebut iaitu dimana buah timun sejuk dan tawar , manakala buah kurma panas dan manis.

Rasulullah S.A.W. telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah S.W.T. sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh baginda.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah S.A.W.  memakan buah-buahan dengan kurma masak."

Keempat : Habbah as- Sauda

Hadis Rasulullah S.A.W. mengenai Habbah as-sauda:

Daripada Buraidah , katanya; Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Pada habbah as-sauda terdapat ubat segala penyakit, kecuali maut."
(Hadis Riwayatkan Abu Nu’aim dalam kitad “al-tibb”, dalam himpunan hadis-hadis sahih.)

Habbah as-sauda adalah sejenis rumput , warnanya hitam dan bermusim tahunan . Ianya tumbuh di negara-negara sekitar laut tengah dan di India.Daun-daunnya kecil serta halus, bunganya bewarna biru, buahnya berbungkus dan didalamnya terdapat biji kecil bewarna hitam yang boleh dijadikan ubat.Bijinya keras dan rasanya pedas. Biji ini juga boleh dijadikan minyak.Apabila bijinya ditumbuk ianya mengeluarkan bau yang harum.

Penyelidikan moden tentang khasiat Habbah as-sauda telah mendapati bahawa pada biji ini insya Allah terdapat ubat yang boleh mengubati sesetengah penyakit.

Antaranya ialah:

* Sepahnya boleh meringankan beban orang yang sesak nafas

* Dapat mengubati penyakit lelah dan batuk berterusan

* Mengeluarkan angin dalam perut

* Menambah ghairah seks

* Melancarkan pengeluaran darah haid , air besar dan air kencing

* Dapat melangsingkan badan ibu-ibu dan dapat menambah air susu
bagi para ibu

Selain daripada khasiat yang di sebut di atas, masih terdapat banyak lagi keistimewaan yang belum kita ketahui mengenai madu ,buah tin, zaitun , kurma dan habbah as-sauda.

Islam menggalakkan umatnya menggunakan keempat-empat tumbuh-tumbuhan di atas agar kita dapat manfaat dari penggunaannya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga kesihatan rohani kita dengan banyakkan beramal soleh , beramal ibadah, berdoa, membaca al-Quran, berzikir dan sentiasa muhasabah dan murajaah diri kita yang lemah dan dhaif ini. Begitu juga kita jaga kesihatan jasmani kita dengan banyakkan sukan dan berriadah, kurangkan makan dan sentiasa makan makanan-kesihatan yang dinyatakan diatas. Semoga kita menjadi mukmin yang sihat dan kuat dan dikasihi Allah S.W.T. untuk menjadi para mujahid-Nya di dunia ini. Jika kita ingin menjadi para mujahidin di hari akhirat kita mestilah menjadi para mujahidin ketika di dunia ini.

No comments: