Wednesday, April 13, 2011

Muhasabah Diri Untuk Kehidupan Yang Lebih Cemerlang

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap saat masa berlalu, samaada kita sedar ataupun tidak sebenarnya kita telah menghampiri bertemu dengan Allah S.W.T. Berlalunya masa itu dari detik ke suatu detik, minit ke minit, jam ke jam, suatu hari ke suatu hari, adalah aturan, ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T.
Inilah hakikat kehidupan, ia sentiasa bergerak pantas dan tidak  berada dalam keadaan statik. Kepantasan dan bergeraknya masa itu berlalu, dan kita sebagai manusia harus sentiasa disedarkan tentang hakikat ini, bahawa hakikat kehidupan ia sentiasa bergerak dan berubah. Masa berubah, dan sejajar dengan itu juga usia kita semakin meningkat dan bertambah. 

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran." (Surah al-Ashr ayat 1-3)
Penjelasan ayat di atas memberi satu penerangan yang nyata kepada manusia bahawa suatu nilai kehidupan di dunia ini terletak kepada nilaian iman dan amal soleh. Melalui kehidupan bersama nilaian ini melambangkan kita sudah tempah tiket untuk keselamatan di alam seterusnya.


Sahabat yang dimuliakan,
Kehidupan kita di dunia ini umpama musafir yang singgah berteduh di bawah sepohon pokok, kemudian meneruskan perjalanannya. Kehidupan di dunia hanyalah seketika sedangkan kehidupan di akhirat adalah selama-lamanya.

Meletakkan matlamat, merancang pelan kehidupan, meletakkan strategi, melaksanakan pelan tindakan, pemantauan proses tindakan dan menilai setiap apa yang kita lakukan di dunia ini adalah satu tindakan yang bijak dan harus kembangkan kepada seluruh masyarakat. Sentiasa sedar untuk terus mengkoreksi, menilai dan muhasabah diri adalah satu sikap yang harus disistemkan dan dibumikan dalam amalan seharian.

Perkara ini telah diamalkan oleh para sahabat, alim ulama, dan para cerdik pandai yang terdahulu daripada kita dan hasilnya mereka sentiasa mempertingkatkan diri untuk menjadi lebih baik dari sehari ke sehari. Moto harian mereka ialah, "Hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini" terus subur dalam jiwa mereka.

 Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah ketika Allah S.W.T.  berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan  agar selalu muhasabah diri.

"Kamu ibarat pedagang di dunia ini!

Ajaran Islam dan segala hukumnya adalah modalmu.

Keikhlasan, ketaatan dan istiqamah adalah strategimu.

Pahala dan keampunan dari Allah adalah untungmu.

Keredaan Allah adalah matlamatmu.

Tempoh perniagaanmu hanya seumur hidupmu sahaja.

Jika kamu beruntung dan berjaya hendaklah kamu bersyukur kepada Allah S.W.T. sambil mengucap 'Alhamdulillah.'
Jika ditakdirkan kamu kurang bernasib baik dalam hidup ini, rugi atau gagal apa yang dihajatkan maka janganlah lemah dan patah semangat...

Perbaikilah langkah kamu sambil memohon ampun kepada Allah. 

Mungkin ada dosa-dosamu yang menyebabkan kegagalan ini. 

Ucaplah istighfar agar Dia mengampunkan dosa-dosamu dan segala keterlanjuranmu."

Sahabat yang dihormati,
Hayatilah firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim, ayat 7).
 
Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Marilah sama-sama kita menilai prestasi amalan dan segala hasil kerja yang kita perolehi. Muhasabah secara menyeluruh, kemudian membuat penilaian secara jujur, ikhlas dan melihat dengan mata hati. Jika terdapat kekurangan, berazamlah untuk memperbaiki dan mempertingkatkannya. Sekiranya ia menampakkan kebaikan, maka bertekadlah untuk memeliharanya sehingga mampu mengekalkannya pada tahap yang baik dan konsisten. Semoga amalan kita terus mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan mampu menjadi bekalan di hari pertemuan dengan Allah S.W.T. nanti. Insya Allah.

No comments: