Saturday, May 28, 2011

Syirik Membawa Kerosakan dan Bahaya Besar Dalam Kehidupan Dunia dan Akhirat

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebesar-besar dosa di sisi Allah SWT adalah dosa syirik kepada-Nya. Apabila seseorang manusia itu mati dalam keadaan dia syirik kepada Allah SWT maka Dia tidak akan ampunkan dosanya. Sebagimana firman-Nya yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar". (Surah an-Nisaa  ayat 48)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-An'am ayat 82)

Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rsulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". 
Maka, baginda menjawab, "Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar petuah Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah anda menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).


Perbuatan syirik menyebabkan kerosakan dan bahaya yang besar, baik dalam kehidupan peribadi mahupun masyarakat. Terdapat 7 bahaya dan kerosakan akibat syirik kepada Allah SWT. Prekara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Syirik menghinakan kewujudan kemanusiaan:

Syirik menghinakan kemuliaan manusia, menurunkan darjat dan martabatnya. Sebab Allah SWT menjadikan umat manusia sebagai khalifah di muka bumi. Allah SWT memuliakannya, mengajarkannya seluruh nama-nama, lalu menundukkan baginya apa yang ada di langit dan di bumi semuanya. Dia menjadikan manusia penguasa di alam semesta.

Tetapi kemudian manusia telah dipesongkan oleh syaitan hingga  tidak mengetahui darjat dan martabat dirinya. Kemudian manusia menjadikan sebahagian dari makhluk Allah sebagai tuhan dan sesembahan. Menjadikan patong berhala, tunggul kayu, pokok-pokok besar , idealogi ciptaan manusia sebagai tempat sembahan dan permintaan manusia.


Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan berhala-berhala yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apapun, sedang berhala-berhala itu (sendiri) dibuat orang. (Berhala-berhala) itu benda mati, tidak hidup, dan berhala-berhala itu tidak mengetahui, bilakah penyembah-penyembahnya akan dibangkitkan." (Surah an-Nahl yat 20-21)

Dalam ayat yang lain firman-Nya yang bermaksud : "Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh." (Surah al-Hajj ayat 31)

Kedua : Syirik adalah sarang khurafat dan kebatilan:

Sebab orang yang mempercayai adanya sesuatu yang boleh memberi pengaruh selain Allah di alam ini, baik berupa bintang, jin, arwah atau hantu bererti menjadikan akalnya siap menerima segala macam khurafat (takhayul), serta mempercayai para dajjal (pendusta).

Dalam masyarakat kita sering melakukan pekerjaan syirik dan kurafat seperti mempercayai  bomoh, pawang, dukun, tukang nujum (nujum morden menjadikan tarikh lahir sebagai penentu masa depan) dan ahli sihir  . Oleh kerana mereka mendakwakan dirinya boleh mengetahui ilmu ghaib, maka ramai orang Islam percaya kepadanya. Sesungguhnya tidak siapa pun boleh mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT. Percaya kepada dakwaan mereka boleh menjadikan seseorang melakukan syirik kepada Allah SWT

Ketiga : Syirik adalah kezaliman yang sangat besar:

Iaitu zalim terhadap hakikat. Sebab hakikat yang paling agung adalah "Tidak ada Tuhan (yang berhak di sembah) selain Allah", Tidak ada Rabb (pengatur) selain Allah, tidak ada Penguasa selainNya.

Adapun orang-orang yang musyrik, mereka mengambil selain Allah sebagai Tuhan, serta mengambil selainNya sebagai penguasa. Syirik merupakan kezaliman dan penganiayaan terhadap diri sendiri. Sebab seorang musyrik menjadikan dirinya sebagai hamba bagi makhluk sesamanya, bahkan mungkin lebih rendah dari dirinya. Padahal Allah menjadikannya sebagai makhluk yang merdeka.

Syirik juga merupakan penganiayaan terhadap orang lain, sebab orang yang disekutukan dengan Allah SWT telah ia aniaya, lantaran ia memberikan hak padanya, apa yang sebenarnya bukan miliknya.

Keempat : Syirik sumber dari segala ketakutan dan kecemasan:

Orang yang akalnya menerima berbagai macam khurafat dan mempercayai kebatilan akan diliputi ketakutan dari berbagai arah. Sebab ia menyandarkan dirinya pada banyak tuhan. Padahal tuhan-tuhan itu lemah dan tak kuasa memberi manfaat atau menolak bahaya bagi dirinya.

Oleh itu, dalam sebuah masyarakat yang akrab dengan kemusyrikan, menjadikan seseorang mudah putus asa dan ketakutan tanpa sebab adalah sesuatu hal yang lumrah dan banyak terjadi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Akan Kami masukkan ke dalam hati orang-orang kafir rasa takut, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah sendiri tidak menurunkan keterangan tentang itu. Tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal orang-orang yang zalim." (Surah Ali-Imran ayat 151)

Kelima : Syirik membuat orang malas melakukan pekerjaan yang bermanfaat:

Sebab syirik mengajarkan kepada para pengikutnya untuk mengandalkan para perantara, sehingga mereka meninggalkan amal solih. Sebaliknya mereka melakukan perbuatan dosa, dengan i'tiqad bahawa mereka akan memberinya syafaat (pertolongan) di sisi Allah. Dan inilah yang merupakan kepercayaan orang-orang Arab jahiliyah sebelum kedatangan Islam.

Allah SWT berfirman tentang mereka yang bermaksud: "Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata, 'Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.'Katakanlah, 'Apakah kamu mengkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahuiNya baik di langit dan tidak (pula) di bumi.' Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (itu)." (Surah Yunus ayat 18)

Orang-orang Kristian yang melakukan berbagai macam kemungkaran juga mempercayai bahawa Al-Masih telah menghapus dosa-dosa mereka, ketika ia disalib. Demikian menurut anggapan mereka.

Demikian pula sebahagian umat Islam, mereka meninggalkan berbagai kewajipan, melakukan  perbuatan haram dan syirik tetapi mereka tetap mengharapkan syafaat Rasululullah SAW mereka agar dapat masuk syurga. Sedangkan dalam hidupnya di dunia jauh daripada amalan dan sunah Nabi SAW dan banyak mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Padahal Rasulullah SAW telah bersabda kepada puterinya sendiri yang bermaksud:
"Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah dari hartaku sekehendakmu, (tetapi) aku tidak bermanfaat sedikitpun bagimu di sisi Allah." (Hadis Riwayat Bukhari)

Keenam : Syirik menyebabkan kekal di dalam Neraka:

Syirik menyebabkan semua amalan manusia di dunia sia-sia seperti debu-debu yang berterbangan. Di hari akhirat nanti manusia yang syirik kepada Allah SWT tidak akan diterima amalan-amalan kebaikannya dan dia akan disumbat kedalam neraka dan kekal di dalamnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun."
(Surah al-Ma'idah ayat 72)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa meninggal sedang ia berdoa (memohon) kepada selain Allah sebagai tandingan (sekutu), nescaya ia masuk neraka."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Ketujuh : Syirik memecah belah umat:

Allah SAW  berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka." (Surah ar-Rum ayat 31-32)

Sahabat yang dimuliakan,
Semua perbahasan di atas, memberikan kejelasan kepada kita bahawa syirik adalah sebesar-besar perbuatan dan keyakinan yang wajib kita jauhi dan jangan berlaku ke atas diri kita. Kita harus bersih dari perbuatan syirik. Takut jika kita terjerumus ke dalamnya, kerana syirik adalah dosa yang paling besar dan tidak akan diampunkan oleh Allah SWT dan boleh menghapuskan pahala amal soleh yang kita lakukan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan." (Surah al-Furqaan ayat 23)

No comments: