Tuesday, October 18, 2011

Jenis-jenis Iddah Dan Larangan Semasa Iddah.

السَّلاَمُ عَلَيْكُم

 سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang wanita yang diceraikan atau kematian suami hendaklah beriddah.

Apa maksud iddah?

Iddah ialah satu jangkamasa tertentu yang wajib dilalui oleh seorang perempuan yang baru diceraikan oleh suaminya ataupun kematian suaminya.

Tujuan beriddah ialah untuk memastikan rahim perempuan itu kosong dari sebarang kandungan. Ia juga dapat memberikan ruang masa bagi suami rujuk semula kepada bekas isterinya.

Bagi wanita yang kematian suami pula, tempoh iddah dianggap sebagai tempoh berkabung bagi menunjukkan kesedihan ke atas pemergian suaminya.

Iddah sebenarnya mempunyai hikmah yang besar kepada perempuan dan lelaki. Walaupun dalam tempoh iddah ini, perempuan dilarang berkahwin lain dan dia juga dikenakan beberapa peraturan lain, iddah sebenarnya memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Lelaki yang ingin berkahwin dengan seorang perempuan yang baru bercerai atau kematian suami, jika si perempuan tadi tidak beriddah, tidakkah nanti jika perempuan itu tiba-tiba didapati hamil akan menimbulkan keraguan tentang siapakah ayah ‘hakiki’ bagi bayi yang dikandungkan itu?

Bagi perempuan yang kematian suami pula, iddah merupakan satu penghormatan kepada isteri untuk menzahirkan kesedihan dan dukacita atas pemergian suami tercinta. Tempoh tertentu yang diberikan untuk perempuan ini pula dapat membantunya agar tidak berterusan berada dalam kesedihan. Cukuplah tempoh yang ditentukan oleh Allah SWT. Selepas habis tempoh itu, hendaklah dia bertawakal kepada Allah SWT dan meneruskan hidupnya dengan kesabaran.

Iddah pada pengertian ialah membilang atau menghitung. Maksud Iddah pada Syara' pula ialah seseorang wanita yang telah diceraikan oleh suaminya ataupun yang kematian suaminya, maka wanita tersebut dilarang dari berkahwin dengan lelaki lain untuk tempoh beberapa waktu sehinggalah tempoh waktu itu berakhir. Dengan cara ini dapatlah dipastikan kesucian wanita tersebut, sama ada ia mengandung ataupun tidak.

Hikmah yang lain adalah memuliakan ikatan pernikahan yang lalu, menghormati hak suami yang telah bercerai dan menampakkan kepada masyarakat bahawa ia telah bercerai.

Masa iddah ini terbagi atas 4 jenis iaitu :

1. Iddah masa mengandong, iaitu waktunya sampai masa kelahiran kandungan yang disebabkan talak ba’in (perceraian yang mengakibatkan tidak kembali kepada suaminya) atau talak raj’i (perceraian yang dapat kembali kepada suaminya) dalam keadaan hidup atau mati.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan.” (Surah Ath-Thalaq ayat 4)

2. Iddah muthlaqah (masa perceraian),

Tempoh ini ialah untuk perempuan yang masih didatangi haid dan berpisah melalui perceraian. Maksud tiga kali suci ini ialah, jika dia diceraikan, maka dia perlu beriddah sehingga tiga kali suci daripada haid.

Firman Allah s.w.t, maksudnya: “Perempuan-perempuan yang diceraikan hendaklah menahan diri mereka (menunggu) selama tiga kali quru’ (suci).” (Surah al-Baqarah ayat 228)

Bagaimana mengiranya?

Jika dia diceraikan ketika suci dari haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja datang haid yang ketiga.

Contoh: Diceraikan dalam keadaan suci (Suci 1) > Haid 1 > Suci 2 > Haid 2 > Suci 3 > Haid 3 —— iddah habis sebaik sahaja haid 3 bermula.

Jika dia diceraikan ketika haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja kedatangan haid yang keempat.

Contoh: Diceraikan ketika haid (Haid 1) > Suci 1 > Haid 2 > Suci 2 > Haid 3 > Suci 3 > Haid 4 —— iddah habis sebaik sahaja haid 4 bermula.

3. Perempuan yang tidak ada haid.

Siapa yang perlu beriddah selama 3 bulan? (diulangi, 3 bulan. Ia berbeza dengan 3 kali suci)

Perempuan yang perlu beriddah selama 3 bulan ialah perempuan yang belum pernah didatangi haid atau yang telah berhenti haidnya (menopause) . Sekiranya dia diceraikan, maka dia perlu mengira iddah dari hari perceraian hinggalah cukup tiga bulan Qamariyyah. Perlu diingatkan, tempoh 3 bulan ini tidak semestinya 90 hari. Hal ini kerana dalam kalender Islam, ada kalanya jumlah hari sebulan ialah 29 hari dan ada kala berjumlah 30 hari. Tetapi tiada yang berjumlah 31 hari!

Firman Allah SWT maksudnya :
“Perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus haid mereka, jika kamu ragui tentang tempoh masa idah mereka, maka masa idah mereka ialah selama tiga bulan. Begitulah juga idah perempuan-perempuan yang belum datang haid.” (Surah al-Talaq ayat 4)

4. Isteri yang ditinggal suaminya kerana meninggal dunia.

Allah SWT menjelaskan masa iddahnya sebagai berikut :

a)Bagi wanita/isteri yang tidak mengandung :

Tempohnya ialah 4 bulan 10 hari dari tarikh kematian. Perlu diingatkan bahawa ‘bulan’ di sini ialah bulan dalam kalender Islam/ Hijrah bukannya kalender Masehi. Oleh itu, jumlah hari yang dia kena beriddah ialah kira-kira 130 hari.

Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang yang meninggal dunia diantaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari.” (Surah Al-Baqarah ayat 234)

b)Bagi wanita/ isteri yang mengandung.

Untuk wanita seperti ini, secara ringkasnya iddahnya tamat sebaik sahaja melahirkan anak (dan bukan 4 bulan 10 hari). Malah, jika selang masa antara kematian suami dan juga kelahiran anak itu sangat pendek, iddahnya tetap berakhir.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan.” (Surah Ath-Thalaq ayat 4)

Dalil daripada hadis sahih juga menjelaskan keadaan perempuan yang hamil ketika kematian suami lalu Rasulullah SAW. membenarkannya berkahwin lain selepas bersalin (tidak perlu menunggu hingga 4 bulan 10 hari). Hukum ini telah dijelaskan oleh baginda dalam hadis tentang Sabi’ah al-Aslamiyah yang bersalin beberapa hari selepas kematian suaminya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,

Apakah larangan Islam terhadap wanita yang kematian suaminya?

Wanita yang kematian suami hendaklah beriddah selama 4 bulan 10 hari. Tetapi jika dia mengandung, maka hendaklah dia beriddah sehingga bersalin. Tempoh ini digunakan untuk memastikan rahim kosong (bersih) dan digunakan oleh wanita untuk menyatakan kesedihan atas kematian suami. Ia juga merupakan fasa perubahan yang sukar dan perlu disokong oleh kaum keluarga, rakan-taulan dan jiran tetangga.

Terdapat lima larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:

1. Bertunang (secara berterus-terang)
2. Berkahwin
3. Berhias pada diri atau pakaian
4. Tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. Keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu (jika keluar rumah kerana bekerja diharuskan)

PERTAMA: BERTUNANG SECARA BERTERUS-TERANG

Para fuqaha sependapat bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bertunang ataupun dipinang dengan cara berterus-terang. Namun jika mahu dipinang dengan berkias, maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Tiada larangan ke atas kamu tentang apa yang kamu kiaskan untuk meminang wanita”.

KEDUA: BERKAHWIN

Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, tujuan iddah iaitu untuk memastikan rahim bersih dari benih suami. Firman Allah SWT., maksudnya: “Dan janganlah melakukan ikatan pernikahan hinggalah sampai tempoh tangguhnya (iddahnya)”.

Ayat ini menjelaskan bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bernikah sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut.

KETIGA: BERHIAS DAN BERWANGI-WANGIAN PADA DIRI ATAU PAKAIAN

Wanita dalam iddah wajib menjauhkan diri daripada perhiasan atau berhias-hias sama ada pada tubuh badan mahupun pada pakaian. Malah dianjurkan supaya wanita ini menyatakan kesedihan atas kematian suami dan mengelakkan diri daripada menjadi perhatian lelaki kerana dia berada dalam fasa dilarang bernikah. Ini dapat mengelakkannya daripada perkara-perkara terlarang serta menghindari fitnah.

Dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW. ada menjelaskan bahawa tidak dihalalkan bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung lebih dari 3 hari kecuali kerana (kematian) suami. Baginda seterusnya menjelaskan bahawa wanita yang kematian suami tidak boleh memakai celak, tidak boleh memakai pakaian yang berhias-hias dan tidak boleh menggunakan pewangi (perfume), kecuali jika dia membersihkan diri iaitu dengan sedikit haruman sahaja.

[Lihat penjelasan lanjut dalam Fath al-Bari, jld 9, hlm. 491].

Hadis sahih ini jelas menyatakan bahawa wanita yang kematian suami dilarang memakai wangi-wangian, berhias pada diri atau pakaian termasuk memakai barang kemas pada badan. Dalam hal ini, dianjurkan supaya wanita ini menjauhkan diri daripada memakai pakaian yang menarik perhatian seperti berwarna terang kerana dikhuatiri akan membawa fitnah dan keinginan pada lelaki sedangkan dia masih dalam tempoh larangan berkahwin.

Walau bagaimanapun, tidak semestinya wanita dikehendaki memakai pakaian berwarna hitam. Hitam ialah lambang berkabung bagi seluruh penduduk dunia. Harus wanita dalam iddah berpakaian hitam tetapi tiada larangan untuk dia memakai pakaian berwarna lain.

Diharuskan juga menggunakan pewangi sekadar untuk menghilangkan bau yang busuk pada badan seperti semasa mandi wajib selepas habis haid iaitu digunakan pada faraj.

Diharuskan pula memakai celak untuk perubatan, tetapi jika mahu dipakai untuk kecantikan, maka ia dilarang.

Diwajibkan ke atas wanita untuk tetap menjaga kebersihan seperti mandi, bersyampu, menyabun badan dan lain-lain tetapi hendaklah mengelakkan daripada menggunakan peralatan yang mempunyai wangian atau sekurang-kurangnya wangiannya sangat sedikit.

KEEMPAT: TIDUR DI RUMAH LAIN

Larangan ini terpakai untuk wanita yang berada dalam iddah kematian suami dan juga iddah perceraian biasa.

Ertinya, dilarang tidur di rumah yang bukan menjadi kebiasaannya tidur semasa masih dalam ikatan perkahwinan.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mengikut masanya dan hendaklah isteri-isteri kamu mengikut iddah dan takutilah Allah tuhan kamu. Janganlah kamu keluarkan isteri-isteri kamu dari rumah-rumah mereka dan janganlah pula mereka keluar darinya kecuali jika datang kebinasaan yang jelas.” (Surah al-Talaq: ayat 1)

Dalil ini terpakai ke atas semua wanita yang berada dalam iddah bahawa mereka dilarang meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini. Malah suami yang menceraikan juga dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan. Kelonggaran untuk tinggalkan rumah hanya dibenarkan jika ‘datang kebinasaan yang jelas’ seperti banjir, rumah hampir roboh dan sebarang ancaman yang lain.

Hujah ini disokong pula oleh hadis sahih bahawa pada satu ketika seorang sahabat wanita bernama Furai’ah telah kematian suami dan memohon kebenaran Rasulullah SAW. untuk pulang ke rumah keluarganya. Namun Rasulullah SAW. memerintahkannya untuk terus tinggal di rumah yang selama ini didiami sehingga habis iddah iaitu 4 bulan 10 hari. Sabda baginda SAW. maksudnya: “Tinggallah tetap di rumah kamu sehingga habis tempoh tangguh (iddah)”.

KELIMA: KELUAR DARI RUMAH TANPA TUJUAN (KEPERLUAN TERTENTU)

Larangan tidur di rumah lain mempunyai kaitan dengan larangan yang kelima iaitu tidak dibenarkan keluar dari rumah jika tiada keperluan atau tujuan tertentu yang penting. Hal ini disepakati oleh majoriti fuqaha.

Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan bahawa Jabir bin Abdullah berkata, maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan, kemudian dia mahu memetik nakhil (buah kurma) maka seorang lelaki telah melarangnya (daripada keluar memetik nakhil), maka ibu saudaraku pergi bertemu Rasulullah SAW, maka baginda bersabda: Bahkan pergilah memetik buah tersebut mungkin kamu dapat bersedekah dengannya atau melakukan perkara yang baik.”

Para fuqaha mengqiyaskan hadis ini dengan wanita yang dalam iddah kematian suami bahawa lebih utama lagi untuk membenarkan mereka keluar rumah terutamanya untuk mencari nafkah kerana tidak ada orang yang menanggung nafkah mereka.

[Sila ambil perhatian bahawa wanita yang diceraikan, nafkahnya semasa dalam iddah masih ditanggung oleh suami yang menceraikan. Jika suami engkar, buatlah aduan dan tuntutan di Mahkamah Syariah].

Dalam satu hadis yang lain, isteri-isteri para syuhada Perang Uhud yang tinggal berjiran bertemu Rasulullah SAW. dan bertanya, maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berasa gusar di malam hari, bolehkah kami tidur di rumah jiran kami? Apabila siang kami akan pulang ke rumah kami.” Rasulullah SAW menjawab, “Bercakaplah sesama kamu tetapi apabila kamu mahu tidur maka kembali setiap wanita ke rumah masing-masing.”

Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita dalam iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang tetapi dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para fuqaha, antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan membeli barang keperluan rumah.

Dalam mazhab Maliki pula ditambah penjelasan bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar untuk ziarah menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) (kecuali jika itu sumber nafkahnya), dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah (seperti menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan kelahiran bayi), dilarang keluar untuk mengucapkan takziah (seperti menziarahi orang sakit atau kematian) dan dilarang tidur kecuali di dalam rumahnya sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita yang dalam iddah dilarang mengerjakan haji atau umrah.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Sekarang terserah kepada kalian semua memahami dan mematuhi peraturan yang dinyatakan oleh ajaran Islam. Sama ada kalian sedang dalam iddah, mempunyai ibu yang dalam iddah, jiran atau adik-beradik yang dalam iddah atau sebagainya. Semua pihak perlu saling faham-memahami situasi wanita dalam iddah dan saling ingat-mengingatkan jika ada orang yang kalian kenal telah tersilap langkah semasa berada dalam iddah. Bantulah mereka melalui tempoh peralihan yang sangat perit ini.

Semoga semuanya berada dalam rahmat Ilahi. Kasih sayang Allah SWT sentiasa mendahului kemurkaan-Nya, maka janganlah kita memilih kemurkaan-Nya sedangkan azab Allah SWT itu sangat pedih manakala syurga yang indah dengan nikmat melimpah ruah menanti wanita mukminah yang sabar meniti kehidupan tanpa seorang suami!

Rujukan untuk nota di atas :

1. Bada’i al-Sana’i, al-Syarh al-Saghir, Nihayat al-Muhtaj fi Fiqh al-Syafii dan Kashshaf al-Qina’.

2. Di ambil daripada Kitab Al-Hadyu An-Nabawi karya Ibnul Qoyyim (5/594-595 ; cetakan Al-Muhaqqaqah)

3. Di ringkas dari kitab Tanbihaat ‘ala Ahkam Takhtashu bil Mu’minaat karya Syaikh Sholih Al-Fauzan ; edisi terjemah “Panduan Fiqh Praktis Bagi Wanita” penerbit Pustaka Sumayyah.

No comments: