Monday, October 17, 2011

Tafsir Surah 'Abasa Ayat 1-10.

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT :

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلۡأَعۡمَىٰ (٢) وَمَا يُدۡرِيكَ لَعَلَّهُ ۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣) أَوۡ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكۡرَىٰٓ (٤) أَمَّا مَنِ ٱسۡتَغۡنَىٰ (٥) فَأَنتَ لَهُ ۥ تَصَدَّىٰ (٦) وَمَا عَلَيۡكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ (٧) وَأَمَّا مَن جَآءَكَ يَسۡعَىٰ (٨) وَهُوَ يَخۡشَىٰ (٩) فَأَنتَ عَنۡهُ تَلَهَّىٰ (١٠

Maksudnya :

1.  Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,

2.  Kerana telah datang seorang buta kepadanya

3.  Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa),

4.  Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?

5.  Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup

6.  Maka kamu melayaninya.

7.  Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman).

8. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran),

9.  Sedang ia takut kepada (Allah),

10.  Maka kamu mengabaikannya.

(Surah Abasa ayat 1-10)

Latar belakang surah :

Surah ‘Abasa ini termasuk surah Makkiyah. Bilangan ayatnya empat puluh dua ayat dan diturunkan sesudah surah Al-Najm. Dinamakan surah ‘Abasa : Ia bermuka masam diambil dari perkataan (عَبَسَ ) yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Sebab turun surah ini :

Imam ibn Kathir di dalam tafsirnya IV / 604 – 605 berkata : Ibn Abbas r.a. berkata : “ Pada suatu hari Rasulullah SAW. sedang berhadapan dengan beberapa pembesar Quraisy, antaranya : Utbah bin Rabi’ah, Abu Jahl Bin Hisyam dan Abbas Bin Abdul Muthalib. Baginda SAW sangat menginginkan agar mereka semuanya mendapat hidayah Allah dan masuk Islam. Pada saat itulah datang seorang sahabat yang bernama Abdullah Bin Ummu Maktum yang kedua-dua matanya buta sambil meminta agar Rasulullah SAW  membacakan untuknya ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan Allah kepadanya, ia berkata: "Ya Rasulullah, tolong ajarkan kepadaku apa-apa yang Allah telah ajarkan kepada tuan."

Rasulullah SAW. tidak senang hati dengan pertanyaan Abdullah Bin Ummu Maktum itu, lalu baginda bermasam muka dan berpaling darinya sambil menghadap pembesar-pembesar Quraisy tersebut. Sehubungan dengan peristiwa inilah maka turun surah di atas.

Dengan adanya teguran Allah SWT  ini maka sejak itu baginda SAW sangat memuliakan Abdullah Bin Ummi Maktum dan mengambil berat kepadanya dan selalu bertanya kepadanya: "Apakah engkau ingin sesuatu? Apakah ada sesuatu yang engkau hajatkan?"  dan lain-lain.

Dalam riwayat yang lain  hadis riwayat Tirmidzi dan Hakim, Aisyah r.a menceritakan bahawa suatu hari Ibnu Ummu Maktum r.a. seorang sahabat yang buta mendatangi Rasulullah SAW. Baginda ketika itu menerima salah satu pembesar Quraisy. Ibnu Ummu Maktum r.a berkata : "Wahai Rasulullah berilah aku nasihat." Seketika itu juga Rasulullah SAW memalingkan mukanya. Atas sikap baginda itu turun 10 ayat ini.

 Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam Tafsir Fizilal Quran (ayat 1-10) menyatakan :

"Bimbingan Ilahi yang diturunkan mengenai peristiwa ini  amatlah besar.Ia jauh lebih besar dari apa yang dilihat dalam pandangan seimbas yang pertama. Ia merupakan bimbingan yang berdaya mukjizat disamping merupakan hakikat yang mahu ditegakkannya di bumi ini , serta kesan-kesannya kepada kehidupan manusia setelah ditegakkannya di bumi. Mungkin hakikat ini merupakan mukjizat pertama Islam, juga mukjizat yang teragung. Tetapi bimbingan ini hanya datang begitu saja, dalam bentuk ulasan atau teguran terhadap satu peristiwa peribadi. Inilah cara Ilahi dalam al-Quran. Ia menggunakan suatu kejadian atau peristiwa yang tertentu sebagai peluang untuk menjelaskan satu hakikat yang mutlak dan satu sistem hidup yang tetap teguh.

Begitu juga kita dapat memahami betapa besarnya dan sukarnya perkara ini apabila kita memahami bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri  memerlukan kepada bimbingan ini daripada Allah, malah memerlukan kepada teguran-Nya, yang tajam terhadap tindak-tanduknya iaitu teguran yang menyarankan kehairanan terhadap cara layanannya.

Cukuplah untuk membuktikan betapa penting dan besarnya sesuatu perkara di alam ini apabila dikatakan bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri memerlukan kepada peringatan dan bimbingan dari Allah untuk memahaminya. Bimbingan ini bertujuan agar manusia mengambil nilai-nilai dan ukuran-ukuran mereka dari langit dan bebas dari nilai-nilai bumi dan dari ukuran-ukurannya yang di ambil dari seluruh realiti hidup mereka. Inilah persoalan yang agung."

Di antara pengajaran yang dapat diambil dari ayat-ayat di atas ialah:

1. Allah SWT menegur sikap Rasulullah SAW  yang lebih mengutamakan orang-orang kafir daripada orang yang beriman walaupun orang-orang kafir itu pembesar kaum sedang orang beriman itu pula buta dan miskin. Ini mengandungi pengajaran agar baginda  jangan mengecilkan hati orang-orang beriman kerana mereka lebih baik dari orang-orang kafir walaupun mereka miskin.

2. Sikap Rasulullah SAW demikian bukanlah suatu dosa dan tidak bercanggah dengan sifat maksumnya (terpelihara dari dosa) kerana sikap tersebut muncul dari sifat semula jadi (naluri) baginda  sebagai manusia biasa seperti reda, benci, ketawa, dan menangis yang tidaklah dibebankan dengan dosa di dalam syariat Islam.

3. Sifat merasa diri serba berkecukupan selalu mendorong manusia menjadi angkuh dan sombong. Inilah sifat orang-orang kafir. Padahal jika direnung dengan cermat sebenarnya manusia sangat berhajat kepada bantuan Allah. Oleh itu baginda  tidak sepatutnya memberi perhatian lebih kepada mereka yang memiliki sifat buruk demikian.

4. Sifat orang yang beriman sentiasa berusaha untuk membersihkan dirinya dengan mengambil pengajaran dari Al-Quran. Dan pengajaran Al-Quran sangat berguna bagi orang-orang yang beriman. Mereka takut kalau-kalau terjerumus ke dalam lembah kesesatan. Oleh itu, manusia jenis ini perlu diberi perhatian dan sangat tidak wajar diabaikan.

5.  Para du’at (pendakwah) tidak dibebani dosa jika orang yang didakwah tidak mengikuti ajakan atau dakwah yang disampaikan. Tugas mereka hanya menyampaikan sahaja. Tidak ada paksaan dalam agama. Taufik dan hidayah secara mutlaknya datang daripada Allah SWT.

6. Dalam berdakwah kita dilarang pilih kasih. Sampaikanlah kebenaran kepada pembesar atau masyarakat biasa, yang kaya dan yang miskin agar kita sedar bahawa fakir yang beriman lebih baik daripada orang kaya yang kufur atau derhaka.

Sahabat yang dimulikan,
Allah SWT Maha Mengetahui hati-hati manusia. Kehadiran pembesar Quraisy bertemu Nabi SAW sebenarnya tidak jujur dan ikhlas, mereka datang dengan kesombongan meminta Nabi SAW berhenti daripada berdakwah kepada masyarakat Arab jahiliah, sedangkan sahabat yang beriman yang buta dan miskin datang dengan hati yang ikhlas untuk mendapat bimbingan daripada Nabi SAW. Allah SWT sebenarnya menilai manusia bukan dengan kedudukan mereka di dalam masyarakat tetapi Allah SWT pandang pada hati-hati manusia yang ikhlas dan beriman kepada-Nya, walaupun kedudukan manusia itu hina menurut pandangan masyarakat.

Oleh itu sebagai iktibar daripada ayat 1-10 surah Abasa ini kita perlu menyampaikan dakwah, tarbiah dan nasihat yang baik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan mereka samaada mereka itu orang miskin, orang kurang upaya, anak-anak yatim, orang-orang tua atau pekerja buruh kasar. Nilai yang tinggi dan mulia disisi Allah SWT adalah mereka yang paling bertakwa kepada-Nya.

No comments: