Friday, October 21, 2011

Pemilihan Calun Untuk Pasangan Hidup Perlulah Berlandaskan Syarak

السَّلاَمُ عَلَيْكُم

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sudah menjadi fitrah manusia bahawa seorang lelaki atau wanita yang belum berkahwin memerlukan mencari pasangan hidup yang sesuai supaya dapat di bina bahtera kehidupan untuk menuju alam perkahwinan yang inginkan kebahagiaan dan keredaan Ilahi. Ada yang berjaya hingga ke akhir hayat membina keluarga bahagia (sakinah mawahdah warahmah) dan ada di antara mereka gagal dipertengahan jalan hingga berlaku perceraian dan memisahkan di antara mereka.

Berjaya atau gagal sebenarnya bergantung kepada niat dan matlamat utama perkahwinan tersebut. Jika nilai kecantikan, kebendaan dan pangkat kedudukan itu sebagai kreteria utama dan meletakkan agama, akhlak dan ketakwaan dibelakang maka rumah tangga tersebut tidak akan wujud keberkatan dan tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT. Masing-masing akan curiga mencurigai, tidak mempercayai kejujuran di antara mereka dan sering mengikut hawa nafsu amarah dan hilang kewarasan apabila berlaku pergeseran dan perbezaan pendapat. Itulah sebabnya kenapa kadar perceraian dikalangan masyarakat Islam cukup tinggi berbanding dengan masyarakat bukan Islam.

Persoalannya adalah bagaimana seorang muslim dapat mengenalpasti ciri muslimah (bakal isteri) sebelum berkahwin, kerana ia diperintahkan untuk menundukkan pandangan (shaddul bashar) terhadap wanita? Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku)." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam masalah ini, at-Tabari berkata: "Sahabat Rasulullah SAW bernama 'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." (Surah al- Ma'iddah ayat 87)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : ”Ambillah isteri, kerana beristeri lebih membuka pintu rezeki bagi kamu.”(Hadis Riwayat Thusiy)

Untuk mendapat calun yang baik perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silatur-rahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah an-Nissa ayat 1)

Permohonan kepada Allah SWT dengan meminta jodoh yang diredai-Nya, merupakan keperluan penting manusia kerana kejayaan manusia mendapatkan jodoh berpengaruh besar dalam kehidupan dunia dan akhirat seseorang.

Islam ada menggariskan beberapa ciri-ciri bakal suami dan bakal isteri yang dituntut di dalam Islam. Namun, ia hanyalah panduan dan tiada paksaan untuk mengikut panduan-panduan ini.

 Ciri-ciri bakal suami

* Beriman dan  bertakwa kepada Allah SWT

* Bertanggungjawab terhadap semua benda

* Memiliki akhlak-akhlak yang terpuji

* Berilmu agama agar dapat membimbing bakal isteri dan anak-anak ke jalan yang benar

* Tidak berpenyakit yang berat seperti gila, AIDS dan sebagainya

* Rajin berusaha untuk kebaikan rumahtangga seperti mencari rezeki yang halal untuk kebahagiaan keluarga.

Ciri-ciri bakal isteri

* Beriman dan  solehah (berpakaian menutup aurat)

* Rupa paras yang sedap mata memandang, dapat menyejukkan hati suami

* Memiliki akhlak-akhlak yang terpuji

* Menentukan mas kahwin yang rendah (hantarannya juga tidak terlalu tinggi)

* Wanita yang subur

* Berasal dari keturunan yang baik

* Bukan keturunan terdekat

* Tidak memandang harta semata-mata

Sahabat yang dimuliakan,
Semasa mencari calun yang sesuai sekiranya bertemu dialam siber, perlulah berhati-hati jangan terlalu mudah mempercayai seseorang dan jangan terlalu cepat mencurahkan kasih sayang sedangkan kita masih belum mengenali akhlak dan peribadi seseorang. Memang benar rasa cinta dan kasih sayang merupakan fitrah yang tumbuh didalam sanubari manusia bersama lahirnya manusia itu ke dunia ini. Perasaan timbul jika ada rangsangan dari luar, akhirnya kecenderungan itu akan lahir dalam bentuk sikap, reaksi ataupun ungkapan kata-kata.

Selalunya ungkapan kata-kata yang berlebihan tentang rasa kasih sayang ini antara lelaki dan wanita akan menimbulkan berahi dan dorongan syahwat yang akhirnya mengundang terjadinya perkara yang dilarang dalam Islam.

Ungkapan rasa cinta dan kasih sayang hanya sesuai dilafazkan bagi mereka yang telah bernikah, namun bagi mereka yang baru berkenalan bahkan hanya melalui internet, maka perkara ini merupakan perbuatan yang sia-sia dan merosakkan fitrah kasih sayang tadi.

Jadi batas hubungan antara lelaki dan wanita yang belum menikah ini cukup sekedar ingin mengetahui latarbelakang seseorang yang diingininya tersebut. Apakah ia dari keturunan yang baik atau sebaliknya, apakah ia tergolong subur atau berpenyakit, kemudian apakah ia dari kalangan orang yang berada ataupun sebaliknya dan yang terakhir tentang agamanya, apakah ia tergolong orang yang taat kepada Allah ataupun orang yang lalai dengan hukum-hakam Allah.

Nabi SAW berabda maksudnya : "Dikawini wanita itu kerana empat perkara :

1. Kerana hartanya. 2. Kerana keturunannya. 3. Kerana kecantikannya. 4. Kerana agamanya.

Maka pilihlah kerana agamanya, akan beruntunglah kamu."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraiannya :

Dari hadis Rasulullah SAW di atas, ada empat kreteria utama yang perlu dipertimbangkan dalam memilih jodoh, iaitu:

(1) Agama

Hendaklah isteri itu seorang yang solehah dan berpegang teguh kepada agama. Termasuk ke dalam kategori agama adalah baik budi pekertinya, akhlaknya, menutup aurat dan tidak suka pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita. Inilah sebaik-baik pilihan.

(2) Kecantikan

Manis atau cantik rupanya; ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri yang buruk rupa. Jika disebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah bererti melarang memilih yang cantik rupanya. Janganlah utamakan kecantikan semata-mata kerana kecantikan akan hilang apabila usia meningkat.

(3) Keturunan baik

Hendaklah wanita itu dari golongan keturunan yang baik, maksudnya dari kaum yang terkenal menjaga urusan agamanya dan termasyhur dengan perjalanannya yang lurus. Sebab wanita dari rumahtangga yang seumpama itu akan memelihara dan mendidik anak-anaknya pada jalan yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya.

(4) Harta

Ada juga yang memilih jodoh kerana calon isteri atau suami mempunyai harta yang banyak. Inipun tidak dilarang. Tetapi sebaik-baik pilihan adalah kerana agama. Janganlah harta menjadi perkara yang paling penting dalam urusan pemilihan calun isteri kerana harta akan habis dan harta juga boleh menyebabkan seseorang lupa pada tanggungjawabnya kepada Allah SWT jika tidak diuruskan dengan baik.

Perkara yang paling penting dalam memilih pasangan hidup adalah melihat sejauhmanakah calon suami atau isteri kita itu benar-benar menjalankan agamanya, sebab orang yang menjalankan agama dengan baik akan menjadi pasangan yang baik dan diredai Allah SWT.

Jadi mengucapkan kata-kata sayang dalam internet sama juga mengucapkan kata-kata itu ketika kita sedang berhadapan, jika ucapan itu dengan jelas untuk menggoda dan bahkan menumbuhkan dorongan untuk melakukan perkara yang tidak baik jika bertemu nanti maka perkara ini dilarang dalam agama.

Sahabat yang dikasihi,
Terdapat beberapa langkah-langkah yang perlu diambil sebelum perkahwinan

1. Disunnatkan melihat bakal isteri sebelum berkawin.

Dari Abu Hurarah r.a.  katanya ;"Ketika saya berada dekat Nabi SAW datang seorang lelaki menceritakan kepada baginda bahawa dia hendak mengahwini (meminang) seorang perempuan dari kaum Ansar,
Rasulullah SAW menanyakan kepadanya ; "Sudahkah dia engkau lihat?" Dia menjawab belum! . Baginda berkata; "Pergilah melihatnya kerana di mata orang Ansar ada sedikit (mungkin cacat)
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebaiknya jika benar-benar ikhlas ingin mencari pasangan hidup, boleh berjumpa dengan membawa mahram dan melihat keadaan pasangan tersebut apakah memenuhi syarat dan kreteria yang  ditentukan agama seperti yang disebutkan diatas. Setelah itu lakukanlah solat istikharah agar pilihan kita itu benar dan diredai Allah SWT.

Dalam hal ini berdua-duaan dilarang dalam ajaran Islam. Bukankah berdua-duaan itu sama saja dengan mendekati zina. Jika masing-masing sudah sesuai maka segera saja melamar dan meneruskan perkahwinan.

2. Pertunangan (Khitbah)

Khithbah adalah meminang (melamar) yaitu permintaan seorang laki-laki kepada anak perempuan orang lain untuk dikahwini, sebagai pendahuluan pernikahan, namun belum berupa akad nikah. Pertunangan merupakan permintaan dan janji untuk mengadakan perkahwinan.

Dalam melakukan pertunangan ini perlu diperhatikan adab-adabnya, antara lain :

- Tidak boleh (haram) meminang pinangan orang lain.

Umar bin Khattab berkata dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim : Nabi  SAW melarang sebagian kamu menawarkan atas penawaran sebagian yang lain, dan tidak boleh seseorang meminang pinangan saudaranya hingga peminang sebelumnya meninggalkannya atau mengizinkannya.

Oleh kerana pertunangan ini bukanlah akad nikah, maka status peminangan masih tetap sebagai orang lain bagi yang dipinang (bukan mahram), dan tidak diperkenankan untuk berkhalwat atau berdua-duaan.

Pertemuan yang sopan bagi laki-laki yang meminang dan wanita yang dipinang ialah dengan kehadiran mahram wanita, kerana hal tersebut akan menambah kemudahan untuk saling mengenal. Dengan pemberian hadiah dari peminang kepada wanita yang dipinang diharapkan akan mempererat lagi tali silaturrahim di antara mereka.

Marilah sama-sama kita ikut garispanduan Islam semasa memilihan jodoh, jangan ikut adab dan cara hidup jahiliah atau barat kerana pemilihan kita ini adalah menentukan keturunan kita di dunia dan akhirat. Jika kita berhajat mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan kita nanti jika kita telah berada di alam barzakh maka suami isteri perlulah menjadi soleh dan solehah terlebih dahulu. Jadi pemilihan ini adalah paling penting untuk kebahagiaan masa depan kita disisi Allah SWT.

No comments: