Friday, December 9, 2011

Dakwah Melalui Amal Jamaie Adalah Satu Tuntutan Dalam Jamaah Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Dakwah Islamiah sebenarnya mempunyai kekuatannya yang tersendiri, ini adalah kerana Islam itu sendiri mempunyai kekuatan yang paling tinggi sebagai ad-Din yang komprehensif, dan mengatasi segala agama dan aliran pemikiran yang lain. Dalam hal ini

Allah SWT. berfirman: 
 
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

Maksudnya: "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan rasulNya dengan hidayat dan dengan agama yang sebenar demi untuk mengangkatnya mengatasi agama-agama yang lain, walau dibenci oleh orang-orang yang syirik".

Kegemilangan dakwah Islamiah telah pun bermula sejak dari zaman Nabi Nuh a. s. dan ianya berterusan sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Dalam perbincangan yang berkaitan dengan isu faktor kegemilangan dakwah Islamiah disepanjang zaman, artikel ini akan mengutarakan beberapa faktor utama yang membawa kepada kejayaan dan kegemilangan, antaranya ialah:

Kesyumulan Islam (alamiyyah al-Islam)

Islam membawa ajaran yang berteraskan prinsip yang menyeluruh, ajaran Islam merangkumi seluruh aspek hidup yang berkaitan dengan perkara dunia dan akhirat. Islam mengajar manusia tentang nilai-nilai kemanusiaan yang sebenar dan memandu mereka ke arah kebahagiaan dan keselamatan dalam kehidupan seharian. Dengan asas ajaran Islam yang menyeluruh itu, maka dakwah Islamiah dapat berjalan dengan berkesan dalam menarik manusia kepada agama Allah SWT. dan membina mereka ke arah kehidupan yang lebih sempurna dalam aspek-aspek peribadatan, sosial, ekonomi, akhlak dan sebagainya.

Kekuatan Pejuang atau Para Duat (Akhlaqiyyah al-duat)

Para pejuang Islam atau duat di sepanjang zaman mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi dalam perjalanan dakwah mereka. Mereka muncul bukan sekadar pejuang dalam medan ketenteraan bahkan mereka adalah duat yang membawa bersama kekuatan roh dan jiwa, kemantapan akahlak dan tingkah laku, di mana semuanya itu telah dapat membawa kemenangan demi kemenangan dalam jihad dan perjuangan yang disertai oleh mereka. 

Justeru itu, persiapan diri amat diperlukan demi untuk menarik sasaran dakwah, kerana itulah asas utama dalam perjuagan para duat. Sesungguhnya para duat mempu berdepan dengan sasaran mereka berasaskan metodologi dakwah yang sesuai dan mampu berbicara dengan hati manusia dan menarik mereka untuk menerima Islam sebagai ad-Din. Para duat sewajarnya membawa contoh yang hidup melalui tutur bicara, pergaulan dan perwatakan mereka. Dalam situasi tertentu, para duat seharusnya banyak menggunakan lisan al-hal dari lisan al-maqal, ini adalah kerana lisan al-hal lebih mendapat perhatian dari sasaran dakwah kerana ianya merupakan sesuatu yang dapat dinilai melalui penglihatan dan pengamatan mata kasar mereka. Faktor ini adalah sesuatu yang amat penting dalam membawa kegemilangan dakwah Islamiah di sepanjang zaman.

Metod Dakwah Yang Berkesan (Ta'thir uslub al-da'wah)

Sumber metod dakwah Islam ialah dari al-Quan dan al-Sunnah. Ianya adalah antara faktor utama yang membawa kepada kegemilangan dakwah Islamiah di sepanjang zaman. Ini adalah kerana tumpuan utama metod dakwah ialah ke arah untuk menarik sasaran dakwah melalui berbagai cerita, peristiwa dan penjelasan mampu untuk menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang kosong dari nilai-nilai yang sewajarnya. Betapa banyak peristiwa penerimaan seseorang terhadap Islam adalah disebabkan pembacaan dan penghayatannya dari ayat-ayat suci al-Quran begitu juga dari hadia-hadis Rasulullah SAW. juga hasil dari pelaksanaan dakwah yang berterusan berasaskan metod yang dipetik dari al-Quran dan al-Hadis. Hasil dari kedua-dua sumber tersebut menyebabkan metod dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Keyakinan Pejuang Islam Dalam Berdakwah (thabat al-duat fi sabil al-da'wah)

Kesan tarbiah yang diterima oleh pejuang Islam atau duat melahirkan peribadi yang beriman, bertakwa, mempunyai jati diri dan kesabaran yang tinggi dalam medan perjuangan dakwah. Dengan itu, mereka lahir sebagai pejuang atau duat yang kental semangatnya, dan yakin dengan janji-janji Allah SWT  terhadap usaha dakwah yang mereka lakukan. Ini telah dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya: 

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Berkmaksud: "Ada di antara orang-orang beriman itu para pejuang yang benar janji mereka dengan Allah, ada di kalangan mereka yang telah gugur syahid dan sebilangan yang lain pula sedang menunggu untuk mati syahid dan mereka sama sekali tidak akan menukar janji mereka dengan Allah". 
 
Dengan berbekalkan keyakinan yang penuh kepada Allah SWT, maka sejarah telah membuktikan bagaimana para pejuang dan duat dapat melebarkan kekuatan Islam di merata tempat, kadang-kadang tanpa menumpahkan peluh mahu pun darah. Keyakinan yang tinggi dan kesabaran dalam perjuangan di kalangan para duat telah menghasilkan kejayaan yang gemilang dalam rangka untuk menarik minat sasaran dakwah untuk menjadikan Islam sebagai pegangan hidup mereka.

Kejelasan Matlamat Tarbiah Islam (wudhuh ghayat al-tarbiah al-Islamiah)

Matlamat tarbiah Islam atau pendidikan Islam yang jelas adalah antara faktor utama dalam arus kegemilangan dakwah Islamiah di sepanjang zaman, di mana penekanan tarbiah Islam ialah ke arah pembinaan insan yang bersepadu dalam aspek moral, akhlak, iman dan amal dan akidah yang mantap supaya lahir seorang insan yang mempunyai ciri-ciri yang sejati sebagai hamba Allah SWT. Penekanan kepada aspek pembinaan iman dan pembersihan hati dan jiwa seterusnya pembangunan akhlak yang sejati telah menjadikan dakwah Islamiah sebagai dakwah yang unggul dan dapat menarik perhatian manusia terutamanya dalam realiti keperluan manusia terhadap kedamaian dan keselamatan dalam kehidupan seharian. 

Kejelasan matlamat tarbiah Islamiah adalah kerana ianya bersumberkan kepada al-Quran dan al-Sunnah dan asas kepada manhaj pula ialah taghyir wa takwin al-nafs (merubah dan membina jiwa manusia).

Islam Menyeru Ke Arah Kesejahteraan (Da'wah al-Islam ila al-amn)

Dasar utama dakwah Islamiah ialah ke arah membina kesejahteraan dan keamanan. Islam tidak cenderung kepada peperangan, pertelingkahan dan permusuhan. Firman Allah SWT :

وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Bermaksud: "Dan jika pihak musuh itu cenderung kepada berdamai maka cenderunglah engkau (wahai Muhammad) kepadanya serta bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Mengetahui.(Surah al-Anfal ayat 61)

Islam tidak mengharuskan peperangan terhadap manusia semata-mata untuk mengislamkannya sebagaimana ia tidak menegah daripada pembunuhan orang Islam apabila jelas hukum qisas. Islam telah meletakkan garis panduan dalam perkara peperangan seperti tidak halal memerangi orang perempuan, orang-orang tua, kanak-kanak serta orang yang lemah.

Berasaskan hal tersebut, jelas Islam adalah agama yang sentiasa menyeru kepada perhubungan yang baik, aman dan harmoni antara sesama umat Islam begitu juga dengan golongan bukan Islam. Islam tidak menyeru ke arah peperangan dan permusuhan kecuali dalam keadaan seperti untuk mempertahankan hak-hak dakwah, hak-hak negara dan harta dan fitnah terhadap agama, maka ketika itu jihad wajib ditegakkan. 

Nilai kesejahteraan dan keamanan dalam Islam telah berjaya menarik minat golongan bukan Islam untuk menerima dakwah Islam dan seterusnya membina kehidupan yang bahagia dan harmoni bersama-sama umat Islam yang lain. Faktor ini adalah sesuatu yang amat wajar diketengahkan dalam dakwah terutamanya dalam konteks dakwah pada masa kini.

Dakwah Melalui Amal Jamaie (al-Dakwah bi al-Amal al-Jamaie)

Pelaksanaan dakwah secara berjamaah adalah amalan utama para Rasul alaihimussalam dalam perjalanan dakwah mereka di sepanjang zaman. Dakwah secara berjamaah memberikan banyak kekuatan dalaman dan luaran dan ianya akan dapat memudahkan sesuatu perancangan dilaksanakan dengan tersusun dan teratur. 

Firman Allah SWT:
 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah amat menyukai roang-orang berperang di jalanNya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh."
 
Sejarah dakwah telah membuktikan bahawa para Rasul telah menggerakkan amalan dakwah berasaskan kepada amal jamaie dan ianya kemudian diikuti oleh para sahabat dan para duat kemudiannya, 

Amal Jamaie dalam berdakwah dapt membina berbagai kekuatan sama ada dari aspek pelaksanaan manhaj, sasaran dakwah dan penyelarasan kerja-kerja dakwah. Hasil dari amal jamaie pula akan mencapai matlamat yang telah digariskan.

Sejarah telah membutikan bagaimana kejayaan dakwah Islamiah di sepanjang zaman adalah hasil dari amal jamaie di kalangan duat dan dengan demikian akan lahir kekuatan Islam dan umat Islam melalui kebangkitan gerakan Islam dan pertubuhan Islam sama ada di dunia umat Islam atau di negara bukan Islam. Justeru itu, gerakan Islam melalui amal berjamaah ini telah memberikan sumbangan yang besar terhadap kegemilangan dakwah Islamiah sejak dari zaman para Rasul hingga kini.

Kesimpulannya sesungguhnya dakwah Islamiah adalah landasan utama dalam perjuangan membina dan mendidik umat sejagat kearah kehidupan yang sebenarnya iaitu kehidupan yang berasaskan kepada konsep al-falah (kejayaan) di dunia dan juga di akhirat nanti. 

Dakwah Rasulullah SAW. telah berjaya membina peribadi dan anggota masyarakat yang unggul dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap Islam. Kejayaan yang dicapai tersebut adalah berteraskan kepada keupayaan dalam menyusun gerak kerja dakwah yang teratur di samping manhaj yang rapi dan pelaksanaan dakwah yang berterusan.

Dengan itu, kegemilangan dakwah akan tetap berkesinambungan dalam arus perdana masyarakat pada hari ini jika sekiranya perjalanan dakwah mengambil kira aspek-aspek kekuatan dan kejayaan dakwah pada zaman Rasulullah SAW. dan selepasnya. Justeru itu, kegemilangan dakwah dan kecemerlangannya adalah tanggungjawab para duat di sepanjang zaman, dan dakwah Islamiah pula akan terus gemilang dengan perjuangan para duat dengan bersandarkan kepada keiklasan dan pengorbanan mereka.

Sahabat yamg dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bergerak dalam satu saf yang teratur dan tersusun rapi. Kita mulakan dakwah dengan memperkokohkan asas iman dan akidah Islam kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan rukun iman yang lain. Daripada kekuatan iman akan melahirkan individu muslim mukmin dalam jamaah yang memiliki akhlak Islam. Kita buat sesuatu amalan itu perlulah menjurus kepada amal jamaie iaitu amalan yang tidak boleh dipisahkan dengan jamaah.

http://www.abubasyer.blogspot.com

No comments: