Thursday, December 8, 2011

Hukum Faraid dan Soal Jawab Faraid

 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT maksudnya : "Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu: Bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi-dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.(Surah an-Nisaa (4) ayat 11)

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun. (Surah an-Nisaa (4) ayat 12)

Faraid (Pewarisan)

Dari segi bahasa bermakna ketetapan atau kewajipan.

Dari segi istilah bermaksud pembahagian harta pusaka kepada warisnya yang berhak menerima mengikut ketetapan Al-Quran dan sunah nabi.

RUKUN PUSAKA 3 perkara iaitu:

-Orang yang memberi pusaka

-Orang yang menerima pusaka

-Barang yang dipusaka yakni apa yang ditinggalkan oleh si mati.

SYARAT PUSAKA iaitu:

-Mati pemberi pusaka secara hakiki/hukmi atau takdiri.

-Hidup penerima pusaka secara hakiki/hukmi atau takdiri.

-Tiada yang menegah dari mempusakai harta.

Hilang hak mempusakai harta sekiranya:

-Hamba

-Membunuh dengan bertujuan untuk mendapatkan pusaka.

-Berlainan agama.

-Murtad.

WARIS LELAKI yang mendapat harta:

-Anak lelaki

-Cucu lelaki (daripada anak lelaki hingga ke bawah)

-Bapa

-Datuk lelaki

-Saudara lelaki seibu sebapa

-Saudara lelaki sebapa

-Saudara lelaki seibu

-Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa

-Anak lelaki dari saudara lelaki sebapa

-Bapa saudara seibu sebapa (sebelah bapa)

-Bapa saudara sebapa (sebelah bapa)

-Anak lelaki bapa saudara saibu sebapa (sepupu)

-Anak lelaki bapa saudara sebapa (sepupu)

-Suami

-Tuan yang membebaskan hamba dan asabahnya

WARIS PEREMPUAN yang mendapat harta pusaka:

-Anak perempuan

-Cucu perempuan (daripada anak lelaki)

-Ibu

-Nenek sebelah ibu

-Nenek sebelah bapa

-saudara perempuan seibu sebapa

-Saudara perempuan sebapa

-Saudara perempuan seibu

-Isteri

-Puan yang memerdekakan hamba

CARA PEMBAHAGIAN FARAID

1/2 bahagian

-Suami jika mati tidak meninggalkan anak dan cucu daripada anak lelaki.

-Seorang saudara perempuan seibu sebapa jika simati tidak meninggalkan:

< anak dan cucu daripada anak lelaki.

< bapa dan datuk.

< saudara perempuan yang lain.

< saudara lelaki seibu sebapa.

-Seorang saudara perempuan sebapa jika si mati tidak meninggalkan:

< anak dan cucu daripada anak lelaki.

< bapa dan datuk.

< saudara perempuan yang lain.

< saudara lelaki sebapa.

< saudara lelaki atau saudara perempuan seibu sebapa.

-Seorang anak perempuan jika simati tidak meninggalkan:

< anak perempuan yang lain.

< anak.

-Seorang cucu perempuan daripada anak lelaki jika simati meninggalkan:

< cucu yang lain.

< anak.

1/4 bahagian

 -suami jika simati meninggalkan anak dan cucu daripada anak lelaki.

-Isteri jika simati tidak meninggalkan anak dan cucu daripada anak lelaki.

1/8 bahagian

-Isteri jika simati meninggalkan anak dan cucu daripada anak lelaki.

2/3 bahagian

-Dua orang saudara perempuan seibu sebapa atau lebih jika simati tidak meninggalkan:

< anak dan cucu daripada anak lelaki.

< bapa atau datuk.

< saudara lelaki seibu sebapa.

-Dua saudara perempuan seibu sebapa atau lebih jika simati tidak meninggalkan:

< anak dan cucu dari anak lelaki.

< bapa dan datuk.

< saudara lelaki sebapa.

< saudara lelaki atau perempuan seibu sebapa.

-Dua anak perempuan seibu sebapa atau lebih jika simati tidak meninggalkan anak lelaki.

-Dua orang cucu perempuan daripada anak lelaki jiak simati tidak meninggalkan:

< cucu lelaki daripada anak lelaki.

< anak.

1/3 bahagian

-Ibu jika simati tidak meninggalkan:

< anak dan cucu daripada anak lelaki.

< dua orang atau lebih saudara lelaki atau perempuan.

-Dua orang saudara seibu sebapa atau lebih jika simati tidak meninggalkan;

< anak dan cucu daripada anak lelaki.

< bapa dan datuk.

-Seorang saudara perempuan seibu atau lebih.

1/6 bahagian

-Bapa jika simati meninggalkan anak dan cucu dari anak lelaki.

-Ibu jika simati meninggalkan;

< anak dan cucu dari anak lelaki

< setelah tiada bapa.

-Nenek (dari kedua-dua pihak) jika si mati tidak meninggalkan ibu.

-Saudara perempuan sebapa jika simati:

< meninggalkan seorang saudara perempuan seibu sebapa.

< tidak meninggalkan saudara lelaki seibu sebapa.

< tidak meninggalkan saudara sebapa.

< tidak meninggalkan anak dan cucu dari anak lelaki.

< tidak meninggalkan bapa atau datuk.

< tidak meninggalkan saudara perempuan seibu sebapa dua orang keatas.

-Seorang saudara sama ada lelaki atau perempuan jika simati:

< meninggalkan seorang anak.

< tidak meninggalkan anak dan cucu dari anak lelaki.

< tidak meninggalkan bapa dan datuk.

-Seorang cucu perempuan atau lebih dari anak lelaki jika simati:

< meninggalkan seorang anak.

< tidak meninggalkan anak lelaki dan cucu daripada anak lelaki.

 Soalan Hukum Faraid :

Soalan Pertama : 

Seorang lelaki meninggal dunia dengan meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan.( 2 orang anak lelaki daripada isterinya yang pertama dan 2 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan dengan isterinya kedua). Ibu dan bapa simati telah lama meninggal dunia. Harta peninggalan simati berjumlah rm 5000.00, si mati juga mempunyai anak tiri perempuan seorang bersama isterinya yang pertama. Bagaimana cara pembahagian mengikut hukum faraid?

Jawapannya :

Nisbah kepada si mati, maka anak -anaknya adalah sama, sama ada daripada isteri pertama atau yang kedua, dan yang dikira sebagai anaknya itu ialah anak kandung hasil daripada perkahwinan yang sah. Dalam hal ini tidak termasuk anak tiri perempuan (anak perempuan daripada isterinya yang pertama).

Yang membezakan mereka hanyalah daripada lelaki dan perempuan dalam pandangan ilmu faraid, di mana pihak lelaki mendapat kadar dua bahagian daripada bahagian perempuan. Dalam kes seperti ini si isteri mendapat 1/8 daripada harta peninggalan suamiya. Jadi mengikut hukum faraid harta berkenaan tidak boleh dibahagi-bahagikan kepada anak tiri perempuan daripada isteri pertama si mati. Pembahagian harta waris yang berjumlah rm5,000.00  itu adalah seperti berikut:

Seorang isteri mendapat -1/8, 4 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan(termasuk anak-anak daripada isteri pertama dan kedua) akan mendapat bahagian daripada baki selepas ditolak bahagian isteri simati. ('ashabah).

Pengertian 'ashabah ialah: "Baki daripada yang 1/8 mereka bahagi-bahagikan bersama dengan mengambil kira bahawa bahagian seorang lelaki sama seperti bahagian dua orang perempuan, ia disebut di dalam al-Quran dengan perkataan: للذكر مثل حظ الأنثيين

Huraiannya :

Hartanya : rm 5,000.00
Isteri mendapat 1/8 bahagian : rm 625.00
Baki : rm 5000.00 - 625.00 = rm 4375.00
rm 4375 dibahagi kepada 10 bahagian = rm 437.00
2 orang anak perempuan = rm 437.50 x 2 orang = rm 875.00
4 orang anak lelaki = rm 875.00 x 4 orang = rm 3,500.00

Wallahu a'lam.

Soalan Kedua : 

Seorang lelaki meninggal dunia tidak meninggalkan anak, yang ditinggalkan adalah  seorang isteri, ibu kandung dan 3 adik perempuan dan 1  adik lelaki. Harta yang ditinggalkan adalah berjumlah rm 100,000.00. Bagaimanakah cara pembahagian mengikut hukum faraid?

Jawapannya :

Hartanya : rm 100,000.00
Isteri mendapat 1/4 bahagian = rm 25,000.00
Ibu mendapat 1/6 bahagian =  rm 33,333.33
Adik perempuan (3 org) dan lelaki (1org) mendapat 1/3 bahagian = rm 41,666.67

Pembahagian untuk adik-adik perempuan dan lelaki dibahagikan sama banyak oleh itu rm 41,666.67 dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu rm 10,416.66 (bahagian setiap orang).

Wallahu a'lam.

Soalan Ketiga : 

Saya ingin meminta nasihat ustaz tentang pembahagiaan harta. Si mati mempunyai 2 orang isteri. Isteri pertama tidak mempunyai zuriat kandung dan dia telah mengambil 2 orang anak angkat yang ber "bin" serta ber "binti" kan si mati. Manakala isteri kedua si mati mempunyai 5 orang anak kandung. Mengikut hukum faraid, isteri akan mendapat bahagian tersendiri, tetapi masalahnya dia merupakan warga asing yang hanya mempunyai visa dan tidak mempunyai mykad. Adakah isteri kedua si mati boleh menuntut harta peninggalan suaminya mengikut bahagian yang telah ditetapkan mengikut faraid? Dan adakah anak-anak angkat yang ber "bin/binti" si mati boleh menerima harta peningalan si mati? Adakah isteri pertama boleh menuntut harta sepencarian dari harta peninggalan suami? Sekian, saya dahului dengan ribuan terima kasih.

Jawapannya :

1) Harta sepencarian layak diperolehi oleh isteri melihat kepada sejauhmana sumbangannya terhadap harta perolehan suami. Dalam hal ini tidak ada beza antara isteri pertama dan isteri kedua. Jika isteri pertama berhak menuntut harta sepencarian, maka isteri kedua juga berhak menuntutnya, namun hendaklah dibuktikan sumbangan dan peranan masing-masing. Biasanya, proses tuntutan harta sepencarian dibuat melalui Mahkamah Syari’ah.

2) Anak angkat tidak berhak memperolehi harta peninggalan si mati kecuali jika si mati ada meninggalkan wasiat untuk mereka sebelum ia mati. Anak angkat tidak boleh dimasukkan ke dalam senarai ahli-ahli waris kerana ia bercanggah dengan ketetapan Syari’at. Sekalipun ia berbin atau berbintikan kepada si mati, namun dari segi Syarak ia tetap bukan anak kandung dan tidak berhak mewarisi harta si mati. Malah perbuatan membin atau membintikan seseorang kepada bukan bapanya merupakan dosa besar dalam Islam. Di dalam surah al-Ahzab, Allah berfirman yang bermaksud : “..Dan Dia juga (yakni Allah) tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja...." (Surah al-Ahzab ayat 4). 

Dia berfirman lagi; "....Panggil lah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah..." (Surah ai-Ahzab ayat 5).

3) Orang yang telah disenaraikan oleh Syarak sebagai ahli waris tidak ada sesiapapun boleh menafikan haknya untuk mewarisi harta si mati. Walaupun ibu saudara warga asing, kedudukan beliau sebagai isteri si mati tetap diiktiraf oleh Syarak kerana Syarak tidak menilai berdasarkan jenis bangsa atau tempat tinggal, tetapi menilai berdasarkan hak dan hukum. Oleh demikian, bahagian untuk isteri iaitu 1/8 hendaklah dibahagi sama-rata oleh kedua-dua isteri si mati. Baki daripada harta simati hendaklah dibahagikan kepada 5 orang anak simati. Soalannya tidak jelas 5 orang anak itu lelaki atau perempuan? Jika terdapat lelaki dan perempuan maka pembahagiaannya anak lelaki mendapat dua bahagiaan daripada anak perempuan.

Wallahu a'lam.

Soalan Keempat : 

Saya ingin bertanya bagaimana pembhagian harta peninggalan arwah ibu saya mengikut faraid kepada :

1. Bapa
2.Ibu arwah mak
3.Abang sulung saya yang sudah berkahwin & ada 2 orang anak (lelaki dan perempuan)
4.Seorang lagi abang dan adik lelaki saya yang belum berkahwin
5.Saya(anak perempuan) yang sudah berkahwin tetapi tiada anak.
6. 3 orang adik perempuan saya yang belum berkahwin
Saya berharap persoalan ini dapat dirungkaikan. Terima kasih .

Jawapannya :

Berdasarkan penerangan saudari, Ibu saudari meninggal dengan meninggalkan waris-waris berikut;
1. Suami
2. Ibu (iaitu nenek saudari)
3. 3 orang anak lelaki
4. 4 anak perempuan
5. Cucu-cucu.

Pembahagian faraidnya adalah seperti berikut;

1. Suami; akan mendapat 1/4 dari harta peninggalan.
2. Ibu; akan mendapat 1/6 dari harta peninggalan.
3. Baki harta akan di kongsi oleh anak-anak lelaki dan perempuan dengan nisbah 2:1, yakni anak lelaki akan mendapat sekali ganda bahagian anak perempuan.
4. Adapun cucu-cucu; mereka terhalang dari mendapat harta peninggalan kerana si mati mempunyai anak-anak.
Jika harta dibahagi 12 bahagian, maka suami akan mendapat 4 bahagian (1/4 dari 12), ibu mendapat 2 bahagian (1/6 dari 12) dan bahagian selebihnya (iaitu 6 bahagian) diagihkan antara anak-anak mengikut nisbah tadi. Dua bahagian anak perempuan sama dengan satu bahagian anak lelaki.

Wallahu a'lam.

Soalan Kelima :

Bagaimana fixed asset seperti, rumah, tanah dikira di dalam pembahagian harta pusaka kepada pewaris yg terdiri dari beberapa org.

Jawapannya :

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Harta pusaka yang berbentuk aset yang tidak boleh dibahagi antara waris-waris, cara pembahagiannya: menisbahkan bahagian setiap waris kepada harta itu. Kemudian, mereka dianggap memiliki aset tersebut secara isytirak (bersekutu).

Contoh: Seorang lelaki mati meninggalkan seorang isteri dan seorang seorang anak lelaki. Harta yang ditinggalkan ialah: sebuah banglo dan sebuah kereta.

Penyelesaian: isteri mendapat 1/8, dan anak lelaki mendapat lebihan harta iaitu 7/8. Maka, pemilikan isteri terhadap banglo ialah 1/8, dan pemilikannya terhadap kereta ialah 1/8. Manakala anak lelaki mendapat pemilikan 7/8 daripada banglo, dan 7/8 daripada kereta.

Ertinya, apabila mereka (isteri dan anak lelaki simati) menyewakan rumah banglo dan kereta itu, keuntungannya hendaklah dibahagi berdasarkan nisbah 1:7. Begitu juga jika mereka menjual aset-aset itu, harganya dibahagi antara mereka berdua dengan nisbah 1:7 (isteri: 1. anak lelaki: 7).

Tetapi selama harta-harta itu tidak dijual, maka selagi itulah pemilikan mereka adalah secara isytirak.

Cara ini dinamakan dalam ilmu faraid sebagai cara nisbah. Ada satu lagi cara iaitu cara Qirath. Tapi cara ini agak rumit dan dianggap oleh sesetengah ulama moden sebagai tidak praktikal.

Wallahu a'lam.

rujukan:
- atTahqiqaat al-Mardhiyyah m/s 200

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menggunakan hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka untuk melaksanakan perintah Allah SWT dalam al-Quran dan mengikut sunah Nabi SAW. Sekiranya kita gagal mengunakan cara yang betul dalam pembahagian harta tersebut maka kita telah melakukan kezaliman kepada waris yang sepatutnya mendapat harta mereka yang ditinggalkan oleh warisanya. Tetapi jika ahli-ahli waris bersetuju untuk memberikan kepada salah seorang ahli waris lain dan tidak berhajat menuntutnya itu adalah hak mereka. Tetapi jika mereka menuntut harta mereka kepada pemegang amanah (ahli waris yang diamanahkan) maka hak itu wajib diberikannya kerana di hari akhirat nanti tuntutannya akan dibuat dihadapan Allah SWT.

3 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum.......

saudara saya mempunyai ibu tiri dan ayah beliau mempunyai harta bernilai 1 juta( tanah/rumah/kebun) (anggaran).beliau mempunyai 9 orang adik beradik.ibu tiri tiada anak bersama ayahnya...sejak dari ayahnya sakit, ibu tirinya selalu memperkatakan tentang harta tersebut..soalan saudara saya macammana pembahagian harta jika ayah tidak sempat menukar nama waris.

Sabariah Khairudin said...

Jika seorang wanita itu meninggal dunia, dia meninggalkam seorang anak perempuan serta 2 orang cucu perpuan serta 1 orang cucu lelaki...bagaimana kiraan faraidnya

Ct Maria said...

Assalamualaikum...saya ingin meminta pndapat..jika seorang ank lelaki yg dh bkwin tetapi langsung tidak mengambil tahu ttg mkn minum,keperluan apatah lg bertanya khabar,mnziarahi atau menghulur wang kpd ibu kandungnya yg tinggal sndirian stlah kmatian suami.smua tnggungjwb d lpaskn pd adik beradik prmpuan yg dh bkwin dan x bkerja tp semampunya mnyediakn ape jga kperluan ibunya.tiba2 dia si ank lelaki bersuara ttg ilmu faraid yg mngatakan ank lelaki harus mndpt lbih harta drpd ank prmpuan.apakah pndapat ustaz dan jln yg terbaik dan adil utk pnyelesaian ini.