Sunday, December 4, 2011

Tafsir Surah Al-Maun Ayat 4-7

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Solat adalah ibadah yang terpenting dan akan mula-mula ditanya di hari akhirat. Jika betul solatnya dan diterima maka amalan-amalan lain akan di terima tetapi sebaliknya apabila solatnya tidak di terima maka amalan-amalannya yang lain akan ditolak oleh Allah SWT. Solat yang bernilai disisi Allah SWT adalah solat yang di laksanakan dengan khusyuk kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT :

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4)الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5
الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6)
وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)

Maksudnya : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riak, dan enggan (menolong dengan) barang berguna."(Surah al-Maun ayat 4-7)


Asbabun Nuzul surah al-Maun ayat 4 -7
Ibnu Abas r.a memaparkan bahawa keempat-empat ayat ini diturunkan berkenaan dengan dengan kaum munafik yang riak melakukan solat jika berada ditengah-tengah kaum muslimin. Namun jika kaum muslimin tidak ada, mereka meninggalkan solat. Selain itu, mereka enggan memberikan pinjaman kepada kaum muslimin." (Hadis Riwayat Ibnu Munzir)

Firman Allah SWT :
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4)الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5

Maksudnya : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya" (Surah al-Maun ayat 4-5)

Allah SWT mengungkapkan satu ancaman iaitu celakalah orang-orang yang mengerjakan solat dengan tubuh dan lidahnya tidak sampai ke hatinya. Dia lalai tidak menyadari apa yang diucapkan lidahnya dan yang dikerjakannya oleh sendi anggotanya. Ia rukuk dan sujud dalam keadaan lalai, ia mengucapkan takbir tetapi tidak menyadari apa yang diucapkannya. Semua itu adalah hanya gerak geri biasa dan kata-kata hafalan semata-mata yang tidak mempengaruhi apa-apa, tidak ubahnya seperti robot.

Terdapat banyak tafsiran dan kupasan tentang maksud “lalai” dalam ayat ini. Secara umumnya terdapat tiga tafsiran yang dibuat oleh ulama tafsir iaitu :

Pertama :  Melalai-lalaikan solat dengan sengaja sehingga habis waktunya (solat dikerjakan dengan mengqadakannya) ataupun lalai untuk mengerjakan solat iaitu tidak melakukan solat terus kerana malas.

Kedua : Lalai semasa solat iaitu tidak khusyuk . Iaitu tidak hadir hati dalam solat. Dalam solat teringat perkara-perkara diluar solat yang tidak ada kena mengena dengan solat. Malahan, bukan sahaja tidak hadir hati dalam solat, tetapi maksud perbuatan dan lafaz dalam solat pun tidak diketahui atau difahami. Jauh sekali untuk dihayati atau dijiwai.

Ketiga :  Lalai kerana tidak melaksanakan segala ikrar dan janji yang dibuat di dalam solat. Dalam solat berbagai-bagai ikrar dan janji dibuat. Diantaranya dia berikrar bahawa segala solatnya, ibadahnya, hidup dan matinya  hanyalah kerana Allah SWT. Tetapi selesai sahaja solat , janji itu dilupakan. Buat kerja seolah-olah Tuhan itu tidak wujud atau tidak nampak apa yang dilakukannya.

Walau bagaimana pun , kalau di kaji betul-betul ketiga-tiga tafsiran di atas, maka punca sebenar yang akan di dapati adalah kerana ketiadaan khusyuk dalam solat. Tidak khusyuk semasa mengerjakan solat adalah kerana tidak khusyuk di luar solat. 

Sekiranya seseorang itu khusyuk diluar solat iaitu taat dan patuh kepada perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya, maka khusyuk itu sudah pasti berterusan dan akan dibawa ke dalam solat. Ertinya, orang yang khusyuk dalam hidupnya diluar solat akan merasa khusyuk dalam solat. Hanya apabila di dalam solat, rasa khusyuknya lebih subur dan lebih tajam kerana solat itu ada rukun dan disiplinnya.

Bagi orang yang khusyuk, tidak timbul masalah cuai untuk mengerjakan solat hingga habis waktunya kerana orang yang khusyuk itu selalu menanti-nanti dan menunggu-nunggu waktu untuk bersolat. Menunggu solat itu baginya seperti menunggu untuk bertemu kekasih.Tidak juga timbul hati tidak hadir dalam solat atau teringat perkara-perkara lain diluar solat kerana orang yang khusyuk itu hatinya sentiasa bergelora dengan Tuhannya.

Tidak menunaikan ikrar dan janji semasa diluar solat adalah kerana berpunca kerana hatinya tidak hadir dan tidak merasai khusyuk . Apabila hati tidak khusyuk, segala janji yang dibuat hanyalah di lidah semata-mata. Paling tinggi, akal mungkin turut serta dalam membuat ikrar dan janji tersebut. Tetapi hati tidak ada peranan kerana tiada khusyuk. Khusyuk itu perkara hati. 

Oleh itu ikrar dan janji berkenaan dibuat tanpa komitmen dan kesungguhan kerana hati tidak dilibatkan dan tidak dibawa bersama. Ertinya ikrar dan janji itu tidak dibuat dari hati. Janji yang bukan dari hati bukan janjilah namanya. Tidak hairanlah kenapa janji hanya tinggal janji.

Khusyuk yang dituntut dari manusia bukan hanya ketika dalam solat. Allah SWT bukan wujud dalam solat sahaja. Allah SWT wujud setiap masa dan ketika. Oleh itu kita perlu khusyuk sepanjang masa. Orang yang khusyuk dalam solat itu ialah orang mukmin yang berjiwa Tauhid. Orang yang rasa cinta dan takutnya dengan Tuhan sentiasa mencengkam jiwa dan hati nuraninya. Rasa-rasa ini dibawanya ke mana-mana sahaja dia pergi. Lebih-lebih lagilah dalam solatnya.

Solat yang tidak lalai itu adalah solat yang khusyuk yang sentiasa mempunyai rasa bahawa dia melihat Allah SWT (sifat ihsan) . Jika sekiranya dia tidak dapat melihat Allah SWT maka dia akan yakin sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan solatnya. Bermula dari takbiratulihram hinggalah kepada salam dia sentiasa memahami maknanya dan tuntutan kalimah yang diucapkannya. Inilah solat yang tidak lalai, solat yang benar-benar khusyuk.



Firman Allah SWT :

الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6)

Maksudnya : "Orang-orang yang berbuat riak." (Surah al-Maun ayat 6)

Dalam ayat ini Allah menambah penjelasan tentang sifat orang pendusta agama iaitu: mereka melakukan perbuatan-perbuatan lahir hanya semata kerana riak tidak terkesan pada jiwanya untuk meresapi rahasia dan hikmahnya.
Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: 'Tentu.' Baginda bersabda: 'Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya'." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Firman Allah SWT :
وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)

Maksudnya : "Dan enggan (menolong dengan) barang berguna." (Surah al-Maun ayat 7)

Dalam ayat ini Allah menambahkan lagi sifat pendusta itu iaitu; mereka tidak mahu memberikan barang-barang yang diperlukan oleh orang-orang yang memerlukannya, sedang barang itu tidak sepatutnya ditahan. Penahanan barang-barang  tersebut adalah mencerminkan kerendahan budi dan tidak mempunyai akhlak Islam.

Keadaan orang yang membesarkan agama berbeda dengan keadaan orang yang mendustakan agama, kerana yang pertama nampak dalam tata kehidupannya iaitu bersikap yang jujur, adil, kasih sayang, pemurah dan lain-lain.

Sedangkan sifat pendusta agama ialah membenci anak yatim, tidak mahu bersedekah kepada fakir miskin, riak, curang, aniaya, takabur, kikir, memandang rendah orang lain, tidak mementingkan yang lain kecuali dirinya sendiri, bangga dengan harta dan kedudukan serta tidak mau mengeluarkan sebahagian dari hartanya, baik untuk keperluan perseorangan maupun untuk masyarakat.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghayati perintah Allah SWT dalam ayat di atas iaitu tidak lalai dalam solat dan sentiasa khusyuk , tidak riak dalam amal ibadah dan amal soleh yang kita lakukan kepada Allah SWT dan tidak bakhil untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada orang-orang yang memerlukannya samaada wang ringgit atau barang keperluan.

No comments: