سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Dalam semua perkara pada anak Adam yang akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara : Tamak dan angan-angan." (Hadis Riwayat Bukhari - dalam al-Sahih 11/243 dan Muslim dalam al-Sahih 2/724 no. 1047 dan Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin)
Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa ada dua perkara yang menyebabkan anak Adam tua . Perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Tamak
Kedua : Angan-angan.
Huraiannya :
Pertama : Tamak.
Manusia yang menjadikan dunia sebagai matlamat hidupnya akan bersikap tamak haluba dan tidak akan bersyukur di atas nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dia akan terus mencarai habuan dunia tidak kita samaada ianya halal atau pun haram yang penting harta yang diingininya itu mesti dapat dan matlamat yang dituju perlu dicapai.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah emas nescaya dia masih mahukan yang ketiga dan tidak ada yang dapat menutup keinginan anak Adam kecuali tanah, dan Allah akan menerima taubat sesiapa yang bertaubat. Dan sesungguhnya Allah menjadikan harta ini hanya untuk menegakkan sembahyang yang dikeluarkan untuk zakat."
Sifat tamak terhadap harta ini Allah SWT ceritakan dalam al-Quran adalah kisah Qarun di zaman Nabi Musa a.s. Firman Allah SWT maksudnya : “Dia (Qarun) berkata: 'Sesungguhnya aku hanya diberi (harta itu), semata-mata kerana ilmu yang ada padaku." (Surah al-Qashash ayat 78)
Qarun bersifat tamak dan ujub kerana dia merasakan bahawa harta yang banyak yang dia miliki adalah hasil daripada kepandaiannya mengumpulkan harta dan perniagaan yang dia usahakan, sedangkan asalnya dia adalah seorang yang miskin dan tidak memiliki apa-apa kepandaian. Berkat daripada pertolongan dan doa Nabi Musa a.s yang menyebabkan Allah SWT mengurniakan harta yang banyak kepadanya. Ini adalah ujian daripada Allah SWT untuk melihat adakah Qarun hendak bersyukur dan taat kepada-Nya.Kerana sifat tamak dengan harta yang dimilikinya dan sifat ujub maka dia enggn membayar zakat dan menentang perintah Allah SWT yang diwahyukan-Nya kepada Nabi Musa a.s..akhirnya Qarun dibinasakan oleh Allah SWT, dia dan hartanya ditelan bumi dengan izin Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian pada salah seorang antara kamu, lalu ia berkata :'Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orng-orang yang soleh" (Surah al-Munafiqun ayat 10)
Oleh itu jauhilah sifat tamak dengan harta kerana harta yang ada di dunia adalah pinjaman sementara ianya tidak kekal yang kekal adalah apabila harta tersebut di sedekahkan, di infak dijalan Allah SWT dan dikeluarkan zakat.
Orang yang bersifat tamak tidak mahu membayar zakat dan tidak suka bersedekah, akhirnya harta yang disimpan itu akan dibinasakan oleh Allah SWT. hidupnya tidak akan bahagia dan sering menghadapai bala dan musibah.
Kedua : Angan-angan.
Kedua : Angan-angan.
Panjang angan-angan atau banyak berhayal menyebabkab seseorang berada dialam fantasi bukan lagi realiti. Sedangkan ini adalah racun yang berbahaya apatah lagi angan-angan tersebut tidak kesampaian di samping membazir masa sahaja . Lantas, dia sentiasa rugi dalam kehidupannya dan menempuh kehinaan. Sebaliknya mereka yang bercita-cita dan disertakan dengan perlaksanaan mengikut strategi dan buah fikiran yang baik sudah tentu akan mengecapi kejayaan. Angan-angan adalah racun dalam kehidupan dan musibahnya jauh lebih banyak daripada manfaatnya.
Oleh itu hendaklah kita menggantikan sifat panjang angan-angan dengan manfaatkan waktu lapang dengan beribadat. Waktu yang lapang juga digunakan untuk membaca buku-buku agama, membuat kerja-kerja kebajikan, berdakwah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar , ziarah orang sakit , solat sunat, berzikir dan menuntut ilmu.
Ingatlah masa adalah kehidupan, tidak berlalunya sesaat masa itu menandakan sudah habisnya sebahagian daripada kehidupan kita. Semakin berlalunya hari ini bermakna kita semakin hampir dengan kematian.
(Surah al-'Asr ayat 1-3)
Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa pentingnya menjaga masa lapang dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Di samping itu, pesanan Allah SWT. tentang keberuntungan bagi mereka yang menjaga masanya dan memanfaatkan masa hidupnya dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.
Juteru itu janganlah kalian habiskan masa dengan berangan-angan untuk masuk syurga tanpa beramal soleh, untuk menjadi kaya tanpa berusaha atau pun ingin ternama dan disanjung tinggi oleh manusia. Sesungguhnya panjang angan-angan adalah mainan syaitan dan mengikut hawa nafsu. Jangan meletakkan kalian di zon selesa dan suka kepada hayalan yang tidak berfaedah seperti cerita angan-angan 'mat jenin'.
Jangan jadikan harimu berlalu tanpa manfaat dan jangan kalian tanamkan harta kalian ditempat yang tidak berfaedah. Sebab usia itu terlalu singkat untuk di sia-siakan , dan harta itu terlalu sedikit untuk kalian simpan dalam hal-hal yang tidak berguna. Alangkah ruginya jika orang yang berakal menghabiskan waktunya dengan melakukan hal-hal yang dia tidak oleh mengambil manfaat dan kebaikannya, dan membelanjakan hartanya dalam hal-hal yang tidak menghasilkan pahala dan ganjaran. Hidup kalian di dunia ini terlalu singkat oleh itu gunakan sepenuhnya ilmu, masa, tenaga dan harta yang ada demi mencari keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita muhasabah dan mujahadah diri kita supaya kita mampu melawan nafsu yang suka kepada sifat tamak kepada harta, kedudukan , pangkat dan puji-pujian manusia. Pada masa yang sama jauhi angan-angan kosong , hayalan dan duduk rehat-rehat tanpa berusaha dan bekerja. Orang mukmin sifatnya diwaktu siang seperti singa bekerja keras mencari nafkah , berdakwah dan berjihad dijalan Allah SWT kemudian diwaktu malam menjadi abid bertahajjud, berdoa , bermunajat hingga menitiskn air mata penyesalan. Jika kalian jauhi dua sifat mazmumah tersebut kalian akan berbahagia di dunia dan akhirat.
Akhirkata ingatlah pesanan Saidina Ali bin Abi Talib k.wj. : "Yang aku sangat khuatirkan atas kamu dua perkara iaitu panjang angan-angan dan menuruti hawa nafsu, kerana panjang angan-angan itu dapat melupakan akhirat , dan menuruti hawa nafsu itu menghalangi daripada kebenaran (hak)."
1 comment:
salam...boleh sy share info ini dengan rakan-rakan yang lain..?terima kasih..
Post a Comment