Tuesday, January 24, 2012

Bersedekah Kepada Ahli Keluarga Yang Miskin Mendapat Dua Fadilat.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Nabi SAW maksudnya: "Sedekah kepada orang miskin adalah sedekah, manakala sedekah kepada keluarga ada dua fadilat iaitu fadilat sedekah dan fadilat silaturrahim"
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa bersedekah kepada orang miskin akan mendapat pahala sedekah sedangkan pahala bersedekah kepada keluarga terdapat dua fadilat iaitu fadilat bersedekah dan fadilat silaturahim.

Huraiannya :

Bersedekah adalah amalan yang mulia disisi Allah SWT kerana banyak hadis Nabi SAW yang menceritakan kebaikan-kebaikan bersedekah.

Sedekah itu berasal daripada perkataan bahasa Arab, iaitu as-sadakah : benar. Jadi apabila kita sebut tentang keimanan mahupun keyakinan kepada janji Allah SWT., sudah tentu di sana perlu kepada pembuktian. Jelaslah sedekah itu adalah sebagai bentuk pembuktian kepada kebenaran iman kita dengan mengeluarkan sebahagian daripada harta kita yang Allah SWT. kurniakan. Malah apabila kita menyebut sedekah ini, hukumnya sunat, berbeza dengan nazar dan zakat.

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (su'ul khatimah) dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Orang yang banyak bersedekah akan dapat membersihkan hatinya daripada sifat bakhil dan mementingkan diri sendiri. Bersedekah  dapat meredakan kemurkaan Allah SWT dan menjauhi su'ul khatimah. Bersedekah boleh menjauhkan bala dan musibah dengan izin Allah SWT dan merupakan salah satu cara dapat menghapuskankan dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Bersedekah juga sebagai salah satu rawatan dan penyembuhan penyakit yang dihadapi oleh seseorang mukmin.

Pertama : Bersedekah kepada orang miskin.

Bersedekah kepada orang miskin adalah satu tuntutan agama kerana orang-orang miskin adalah hamba Allah SWT yang diuji dengan kekurangan harta untuk menyara kehidupan mereka.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Hadis Riwayat Ahmad).

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW juga pernah bersabda, : "Orang yang bekerja keras untuk membantu janda dan orang miskin adalah seperti pejuang di jalan Allah atau seperti orang yang terus menerus solat malam atau terus berpuasa" (Hadis Riwayat Muslim).

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Segala sesuatu ada kuncinya, dan kunci syurga adalah mencintai orang-orang miskin" (Hadis Riwayat  Ad Daruqutni dan Ibnu Hiban).

Kedua : Sedekah kepada ahli keluarga (isteri dan anak-anak, ibu bapa, adik beradik, bapa dan ibu saudara dan ahli keluarga yang lain).

Bersedekah kepada ahli keluarga yang miskin adalah mendapat dua fadilat iaitu fadilat sedekah dan akan merapakan lagi silaturahim sesama ahli keluarga.

Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya:” Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah SWT, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah SWT kelegaan kepadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (menjalinkan hubungan baik) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezeki, ditambah umurnya dan Allah SWT. memasukkan ke dalam syurga."(Hadis Riwayat Ar-Rabii)

Hadis di atas secara jelas menyatakan betapa tingginya nilai silaturahim. Bahkan Rasulullah SAW  memberi jaminan bagi para pelaksana silaturahim, hanya dengan satu amalan, ini ia memperolehi empat jaminan sekaligus; dicintai keluarga, diluaskan rezeki, dipanjangkan usia dan yang paling penting menjadi penghuni syurga Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita meningkatkan kualiti diri kita disisi Allah SWT dengan membanyakkan bersedekah . Jika ada ahli keluarga kita yang miskin maka dahulukan ahli keluarga kita sendiri sebelum bersedekah kepada orang lain yang bukan ahli keluarga. Jika tidak ada ahli keluarag kita yang miskin maka keutamaan sedekah kita adalah kepada orang miskin tegar yang terdapat di dalam masyarakat kita.

Mengabaikan ahli keluarga sendiri yang miskin dan memerlukan bantuan adalah satu sifat tercela dan  dimurkai oleh Allah SWT.

No comments: