Friday, January 27, 2012

Mulakan Setiap Amalan dan Pekerjaan Dengan Kalimah Bismillaahirahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebelum memulakan apa sahaja pekerjaan samada makan, minum, tidur, berpakaian , mengambil atau menyimpan barang atau memasuki rumah perlulah memulakan dengan membaca nama Allah SWT (membaca Bismillaahirahmanirrahim).

Nabi SAW telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : "Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu."
Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu iaitu kongsi makan)"
 (Hadis Riwayat Muslim)
Memulakan dengan membaca bismillaah adalah sunah Nabi SAW dan akan mendatangkan keberkatan dan akan terhindar daripada gangguan dan godaan syaitan.

Terdapat satu kisah bagaimana hikmah dan keberkatan perkataan bismillaah.
Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillaah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillaah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah. Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah SWT. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata dalam hatinya : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah SWT. menghantar malaikat Jibrail a.s. untuk mengembalikan beg duit dan meletakkan semula ditempat ianya mula-mula disimpan.

Alangkah terperanjat suaminya, apabial beliau dapati bag duit tersebut berada di tempat yang disimpan oleh isterinya. Dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah SWT, dan dia juga membaca Bismillaah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Sahabat yang dimuliakan,
Pengajaran yang kita boleh pelajari daripada kisah di atas adalah seseorang yang memulakan sesuatu urusan duniawi dan amal ibadah dengan perkataan bismillaah sebenarnya dia berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah SWT maka dengan doanya ini dia akan mendapat pertolongan-Nya dan akan terhindar daripada bala dan musibah.

Membaca bismillaah juga adalah berzikir kepada Allah SWT dan akan dijauhi daripada hasutan dan godaan syaitan laknatullah kerana syaitan akan menjauhkan dirinya apabila kalimah Allah SWT diucapkan.

Oleh itu amalkanlah ucapan bismillaahirahmanirrahim ini di setiap masa apabila kalian ingin memulakan sesuatu amal ibadah, pekerjaan atau keperluan harian kalian.

2 comments:

Muslimah Optimis said...

perkongsian yang sangat baik.... Allah Maha Besar.. AAllahuakhbar

abubasyer said...

Assalamualaikum, sahabat yg dimuliakan, mulakan setiap amalan dengan niat yg baik kerana Allah SWT dan ucapkan KALIMAH BISMILLAAH. Insya Allah kita sentiasa dlm pemeliharaan Allah SWT dan terhindar daripada hasutan syaitan dan bisikan hawa nafsu. Wassalam.