Sunday, January 22, 2012

Tafsir Surah Hud Ayat 7.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah Azza wa Jalla:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَلَئِنْ قُلْتَ إِنَّكُمْ مَبْعُوثُونَ مِنْ بَعْدِ الْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ هَذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ (7)

Maksudnya: “dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “ArasyNya, berada di atas air (ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Demi sesungguhnya! Jika engkau (Wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati” tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)”.(Surah Hud ayat 7)

Huraiannya :

Ayat yang mulia ini menjelaskan kepada kita berkenaan permulaan penciptaan langit-langit dan bumi yang dicipta oleh Allah Azza wa Jalla dalam enam hari sedangkan ketika itu ArasyNya berada di atas air.

Allah SWT juga menjelaskan bahawa tujuan diciptakan alam ini adalah untuk menguji hamba-hambaNya siapakah di antara mereka yang paling elok amalannya.
(Al-Syanqiti, Muhammad Amin, Adwa’ al-Bayan, 2/279, Ibn Kasir, 4/307)

Sudah tentunya Kuasa Maha Perkasa Allah SWT yang menciptakan segala makhluk dan Allah menentukan ketentuan-ketentuan (takdir) mengenai semua makhluk sebelum kejadian langit dan bumi.

Allah SWT kemudian menjelaskan bahawa kaum kafir itu jika diberitahu kepada mereka bahawa mereka akan dihidupkan semula setelah mati mereka akan mengingkarinya dan menyatakan ianya adalah sihir sahaja.

Namun, keingkaran mereka ini merupakan cermin kebodohan diri mereka sendiri kerana mereka mengingkari Allah SWT akan menghidupkan semula mereka namun dalam masa yang sama mereka mengakui bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan yang mencipta alam ini daripada ‘adam mahd’ (ketiadaan mutlak) sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

Maksudnya: “dan Sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”..”(Surah al-Ankabut ayat 61).

Sedangkan memulakan ciptaan jika dibandingkan dengan mengulang ciptaan, maka mengulang ciptaan itu lebih mudah pada qudrah.

Firman Allah SWT :

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ

Maksudnya: ”dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah baginya…”(Surah al-Rum ayat 27)
(Tafsir Ibn Kasir,4/308)

Asbabun Nuzul Surah al-Rum ayat 27 :

Ikrima r.a. meriwayatkan, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan dengan kaum kafir yang merasa hairan dengan kemampuan Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim. Lihat ad- Darrul Mansur :5/168)

Imam al-Tabari rahimahullah menyatakan ayat ini membawa makna istifham menempelak kaum kafir, yakni adakah setelah jelas Allah SWT yang mencipta langit-langit dan bumi kamu masih lagi menyatakan Dia lemah untuk menghidupkan semula makhklukNya yang telah Dia matikan? (Al-Tabari,15/244)

Oleh itu, dalil kewujudan dan kekuasaan Allah SWT atas alam ini amat jelas dan nyata sehingga tidak diberi keuzuran orang yang mengingkarinya kerana jahil. Bahkan mereka yang ragu-ragu terhadap kekuasaan Allah SWT menghidupkan  semula alam ini setelah musnah merupakan kekufuran yang jelas sebagaimana firman Allah:

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَى رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا (36) قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا (37)

Maksudnya: “dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?”(Surah al-Kahfi ayat 36-37)

Maka sesiapa sahaja yang mengingkari kewujudan hidup setelah mati dihukum kafir.

Sahabat yang dimuliakan,
Betapa mudah Allah SWT menciptakan langit dan bumi dan di antara keduanya . Begitu juga amat mudah Allah SWT menghidupkan semula semua makhluk yang dimatikan-Nya. Manusia dan jin yang kufur kepada Allah SWT dan tidak beriman kepada kehidupan di hari akhirat akan dimasukkan kedalam Neraka Jahanam dan mereka kekal di dalamnya.

Allah SWT menciptakan langit dan bumi (alam semesta) dalam enam masa.

Terdapat lebih kurang tujuh ayat menjelaskan bahawa Allah SWT menciptakan langit-langit dan bumi serta isinya dalam masa enam hari.

Firman Allah SWT:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa…" (Surah al-A’raf ayat 54)

Telah sabit pula daripada Mujahid dan Ikrimah bahawa permulaan kejadian itu bermula pada hari Ahad dan berakhir pada Jumaat. Juga sabit daripada Ibn Abbas radiallahuanhu dan Mujahid rahimahullah, satu hari tersebut bersamaan seribu tahun pada kiraan manusia."
(Al-Tabari,12/482, al-Durrul Mansur, 4/246)

Namun, terdapat sebuah hadis menjelaskan sebagai berikut:

عن أبي هريرة قال: أخذ رسول الله صلى الله عليه وسلم بيدي فقال : خلق الله التربة يوم السبت، وخلق الجبال فيها يوم الأحد، وخلق الشجر فيها يوم الاثنين، وخلق المكروه يوم الثلاثاء، وخلق النور يوم الأربعاء، وبثّ فيها من كل دابة يوم الخميس، وخلق آدم بعد العصر من يوم الجمعة في آخر الخلق في آخر ساعات الجمعة ، فيما بين العصر إلى الليل .

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu katanya: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam memegang tanganku lalu bersabda: “Allah mencipta tanah pada hari Sabtu, mencipta bukit pada hari Ahad, mencipta pokok pada hari Isnin, mencipta perkara-perkara yang tidak disukai pada hari Selasa, mencipta cahaya pada hari Rabu, menebarkan atasnya haiwan melata pada hari Khamis, dan mencipta Adam pada selepas Asar hari Jumaat pada masa penciptaan terakhir di akhir saat hari Jumaat antara Asar hingga malam”. (Hadis Riwayat Muslim (7231), Ahmad (8323)).

Hadis ini adalah sahih dan dikeluarkan dalam Sahih Muslim sebagai ‘Umdatul Bab’ (Hadis Tonggak) dan kesahihannya disetujui oleh al-Albani rahimahullah dan Ahmad Syakir rahimahullah.
(Lihat Takliq Ahmad Syakir pada: Tafsir al-Tabari,15/244, hadis no. 17971. Lihat Silsilah al-Sahihah hadis no.1833.)

Arasy Allah SWT di Atas Air dan Awal Makhluk.

Telah jelas dalam ayat di atas Allah SWT menyatakan bahawa ketika Dia memulakan penciptaan bumi dan langit-langit, ArasyNya telah wujud dan berada di atas air. Pernyataan ini turut dijelaskan dalam hadis-hadis sahih berikut:

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ ، رَضيَ اللهُ عَنْهُمَا ، قَالَ: دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، وَعَقَلْتُ نَاقَتِي بِالْبَابِ ، فَأَتَاهُ نَاسٌ مِنْ بَنِي تَمِيمٍ ، فَقَالَ : اقْبَلُوا الْبُشْرَى يَا بَنِي تَمِيمٍ ، قَالُوا : قَدْ بَشَّرْتَنَا فَأَعْطِنَا ، مَرَّتَيْنِ ، ثُمَّ دَخَلَ عَلَيْهِ نَاسٌ مِنْ أَهْلِ الْيَمَنِ ، فَقَالَ : اقْبَلُوا الْبُشْرَى يَا أَهْلَ الْيَمَنِ ، إِذْ لَمْ يَقْبَلْهَا بَنُو تَمِيمٍ ، قَالُوا : قَدْ قَبِلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالُوا : جِئْنَاكَ نَسْأَلُكَ عَنْ هَذَا الأَمْرِ ، قَالَ : كَانَ اللهُ ، وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ ، وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ ، وَكَتَبَ فِي الذِّكْرِ كُلَّ شَىْءٍ ، وَخَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ.فَنَادَى مُنَادٍ : ذَهَبَتْ نَاقَتُكَ يَا ابْنَ الْحُصَيْنِ ، فَانْطَلَقْتُ ، فَإِذَا هِيَ يَقْطَعُ دُونَهَا السَّرَابُ، فَوَاللهِ ، لَوَدِدْتُ أنَِّي كُنْتُ تَرَكْتُهَا .

Maksudnya: Daripada Imran bin Husain radiallahuanhuma katanya: “Aku masuk menemui Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan aku ikat untaku di pintu lalu datang sekumpulan manusia daripada Bani Tamim lalu baginda bersabda: “Terimalah khabar gembira wahai Bani Tamim”. Kata mereka: “Engaku telah menggembirakan kami (Wahai Rasulullah) maka berikan kami (khabar gembira itu)”, mereka ucapkannya dua kali. Kemudian datang pula sekumpulan manusia daripada Yaman lalu baginda berkata: “Terimalah khabar gembira wahai Ahli Yaman yang tidak diterima Bani Tamim”. Mereka berkata: “Telah kami terima wahai Rasulullah”. Mereka berkata lagi: “Kami datang ini untuk bertanya berkenaan perkara ini (penciptaan alam)”. Jawab Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: “Adalah Allah itu wujud dan tiada sesuatu pun selain Dia, dan adalah ArasyNya berada di atas air dan Dia menulis dalam al-Zikr (Lauh Mahfuz) semuanya (daripada takdir makhluk) dan dia mencipta langit-langit dan bumi”. Maka tiba-tiba seseorang menyeru memanggilku (Imran bin Husain): “Untamu terlepas wahai Ibn Husain!”.Maka aku dapati untaku melalui fatamorgana, demi Allah, aku suka jika aku biarkan saja untaku itu”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Ahmad).

Dalam lafaz yang lain menyatakan:

كان الله ولم يكن شيء قبله

Maksudnya: “Adalah Allah wujud dan tiada sesuatu pun (wujud) sebelumNya…”

Lafaz ‘Qabla’ lebih tepat kerana sesuai dengan sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

اللَّهُمَّ أَنْتَ الأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَىْءٌ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah yang Awal maka tiada sesuatupun sebelum-Mu..” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dauda, al-Tarmizi, Ibn Majah, Ahmad).

Adapun lafaz yang pertama, kemungkinan besar perawinya meriwayatkan secara makna sebagaimana yang dinyatakan para ulama hadis.

Hadis Kedua:

عن وكيع بن حدس عن عمه أبي رزين قال قلت : يا رسول الله أين كان ربنا قبل أن يخلق خلقه ؟ قال كان في عماء ما تحته هواء وما فوقه هواء وخلق عرشه على الماء قال أحمد بن منيع قال يزيد بن هارون العماء أي ليس معه شيء

Maksudnya: Daripada Waki’ bun Hudus (Udus) daripada ayah saudaranya Abu Razin radiallahuanhu katanya: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, di mana Tuhan kita berada sebelum Dia mencipta makhlukNya?” Jawab baginda: “Adalah Dia dalam al-Ama’, tiada di bawahnya udara dan tiada di atasnya udara dan Dia mencipta ArasyNya di atas air”. Kata Ahmad bin Mani’ (perawi hadis): Berkata Yazid bin Harun: “al-‘Ama’
(Al-Ama’ dalam bahasa bermaksud awan. Namun, tafsiran Yazid bin Harun lebih utama diikuti.) yakni tiada suatupun bersamaNya”. (Hadis Riwayat Tarmizi, Ibn Majah, Ahmad-hasan) (Imam al-Tarmizi menyatakan hadis ini hasan dan ulama salaf berhujjah dengannya demikian juga Ibn Taimiah rahimahullah.)

Hadis Ketiga:

عن العباس بن عبد المطلب قال : كنت بالبطحاء في عصابة . وفيهم رسول الله صلى الله عليه و سلم . فمرت به سحابة . فنظر إليها . فقال ( ما تسمون هذه ؟ ) قالوا السحاب . قال ( المزن ) . قالوا والمزن . قال ( والعنان ) قال أبو بكر قالوا والعنان . قال ( كم ترون بينكم وبين السماء ؟ ) قالوا لاندري . قال ( فإن بينكم وبينها إما واحدا أو اثنين أو ثلاثا وسبعين ستة . والسماء فوقها كذلك ) حتى عد سبع سماوات . ( ثم فوق السماء السابعة بحر . بين أعلاه وأسفله كما بين سماء إلى سماء . ثم فوق ذلك ثمانية أو عال . بين أظلافهم وركبهن كما سماء إلى سماء . ثم على ظهورهم العرش . بين أعلاه وأسفله كما بين سماء إلى سماء . ثم الله فوق ذلك . تبارك وتعالى )

Maksudnya: Daripada al-Abbas bin Abdul Muttalib katanya: “Aku berada di al-Batha’ bersama beberapa orang lagi dan bersama mereka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lalu terdapat awan berarak dan baginda memandangnya seraya bersabda: “Apakah yang kamu namakan ini?”

Jawab mereka: “al-Sahab” (Awan).

Kata baginda: “al-Muzni”.

Kata mereka: Ya, juga al-Muzni (Awan).

Kata baginda: “al-Anan”

kata mereka: Ya, juga al-Anan (awan).

Kata baginda: “Agak-agak kamu berapakah jaraknya antara kamu dan langit?”

Jawab mereka: “Kami tidak tahu”.

Sabda baginda: “sesungguhnya antara kamu dan langit sama ada 71,72 atau 73 tahun perjalanan, demikian juga antara langit ke langit”.

Baginda menyebut sehingga langit ketujuh lalu berkata: “Kemudian di atas langit ketujuh itu terdapat laut, antara atasnya ke bawahnya seperti jarak antara langit ke langit kemudian di atas laut itu terdapat 8 malaikat dalam bentuk Au’al, jarak antara kuku kakinya ke lututnya seperti jarak antara langit ke langit kemudian di atas belakang mereka terdapat Arasy, jarak antara atasnya dengan bawahnya sama seperti antara langit ke langit kemudian Allah berada di atas Arasy itu Tabaraka wa Taala”. (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah).

(Imam Ibn Taimiah rahimahullah mempertahankan kesahihan hadis ini demikian juga al-Azim al-Abadi dalam Aunul Makbud.)

Hadis ini menunjukkan bahawa Air, Arasy, Udara, al-Qalam, dan al-Lauh al-Mahfuz telah wujud terlebih dahulu sebelum Allah SWT mencipta langit dan bumi. Maka persoalannya, antara makhluk-makhluk ini, manakah yang terlebih dahulu diciptakan Allah SWT? Yakni apakah makhluk yang paling awal secara mutlak diciptakan Allah SWT?.

Dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ اكْتُبْ. قَالَ رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ قَالَ اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَىْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya benda yang paling awal dicipta Allah adalah al-Qalam, lalu Dia berfirman kepadanya: “Tulislah”. Berkata Qalam: “Wahai Tuhanku, apa yang hendak aku tulis?”. Kata Allah: “Tulis takdir-takdir segala sesuatu sehingga hari kiamat”. (Hadis Riwayat Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad).

Namun, jika diteliti hadis-hadis sebelum ini, kita dapati Arasy telah wujud sebelum al-Qalam demikian juga air dan udara. Terdapat asar daripada Ibn Abbas radiallahuanhuma menyatakan:

عن سعيد بن جبير قال: سئل ابن عباس عن قول الله:(وكان عرشه على الماء) ، قال: على أي شيء كان الماء؟ قال: على متن الريح

Maksudnya: “Daripada Said bin Jubair katanya: Ditanya Ibn Abbas berkenaan firman Allah: (maksudnya) ‘dan adalah ArasyNya di atas air’, air itu berada di atas apa pula? Jawab beliau: “Di atas angin”.

Namun, tidak ada pertentangan antara hadis-hadis ini kerana hadis al-Qalam itu bukanlah menunjukkan permulaan penciptaan secara mutlak.

Berkata Syeikh al-Mubarakfuri rahimahullah:

قال في الأزهار أول ما خلق الله القلم يعني بعد العرش والماء والريح

Maksudnya: “Berkata dalam al-Azhar: Awal yang dicipta Allah adalah al-Qalam maksudnya selepas Arasy, air dan angin”.

(Tuhfatul Ahwazi, Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri, 6/307, Dar al-Kutub al-Ilmiah-Beirut.)

Adapun Jumhur ulama berpandangan sebelum al-Qalam, Allah telah mencipta Arasy dan air demikian juga udara yang diletakkan air atasnya berdalilkan hadis:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلاَئِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ - قَالَ - وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ.

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amru bin al-As radiallahuanhuma katanya: “Aku mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda: “Allah telah menulis takdir makhluk sekaliannya sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak masa 50,000 ribu tahun”. Baginda berkata: “sedangkan Arasy-Nya ketika itu berada di atas air”.(Hadis Riwayat Muslim)

Jumhur ulama menyatakan bahawa al-Qalam adalah makhluk yang pertama diciptakan daripada alam ini (Permulaan Penciptaan Langit-langit dan Bumi).

(Lihat al-Bidayah wan Nihayah, Ibn Kasir, 1/9&10, Dar al-Ihya’ al-Turas al-Arabi.)

Perlu diingatkan bahawa air yang terdapat di Arasy Allah SWT tidak dapat diketahui bagaimana rupabentuknya atau bagaimana  zatnya.  Justeru Arasy berada pada dimensi yang berbeza. Ia adalah benda ghaib dan berada di alam ghaib. Namun, sains bukanlah segala-galanya. Ada perkara dalam kehidupan dan alam ini yang tidak mampu diukur oleh sains seperti roh yang tidak mampu dinilai oleh dunia Sains dan banyak lagi.

Sahabat yang dikasihi,   
Faedah dan pengajaran yang boleh kita perolehi daripada ayat-ayat dan hadis di atas adalah :

1. Allah Subhanahu Wa Taala adalah Pencipta dan Pentadbir alam ini, maka secara otomatis Dia jualah satu-satunya Zat yang berhak disembah.

2. Allah Subahanahu Wa Taala bersemayam di atas ArasyNya dengan sebenarnya tanpa diketahui kaifiatnya.

3. Arasy adalah makhluk yang mulia dan merupakan bumbung alam ini serta makhluk yang paling besar dalam alam ini.

4. Udara dan Air merupakan anugerah Allah Taala yang sangat berharga pada makhlukNya yang lain, oleh itu wajib atas manusia menjaga air dan udara daripada pencemaran.

5. Allah Subahanahu Wa Taala mencipata makhlukNya kerana hikmah yang diketahuiNya tetapi Dia sama sekali tidak berhajat kepada makhlukNya sama ada Arasy atau lainnya.

6. Semua yang berlaku dalam alam ini adalah dengan takdir dan kehendak Allah Taala dan semuanya makhluk Allah.

7. Bukti Tauhid Rububiyah, Uluhiyah, dan al-Asma’ wal Sifat bagi Allah sangat jelas dan terang dan mereka yang ingkar akan menjadi syirik.

No comments: