Thursday, January 26, 2012

Mencari Keberkatan Rezeki.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: “Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraiannya :

1. Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan.

2. Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.

3. Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya.

4. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal dan menfaatkan semua peluang yang ada selagi ianya tidak bertentangan dengan syarak.

Islam mencela tangan-tangan yang meminta-minta, dan mendorong setiap orang untuk bekerja agar ia mempunyai pendapatan yang halal. Suatu ketika Nabi SAW  ditanya tentang usaha apa yang paling balik ? Baginda menjawab yang maksudnya : "Pedagang yang halal, seseorang yang bekerja dengan tenaganya."   Pada kesempatan yang lain, Nabi SAW menyatakan bahawa "Makanan yang paling baik dimakan adalah makanan yang didapati dari hasil bekerja, sebagaimana Nabi Daud juga bekerja dengan tangannya untuk memperoleh makanannya."




No comments: