Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Saidina Ali k.w.memberi kata-kata nasihatnya : "Siapa yang tidak ada padanya sunah Allah, sunah Rasul dan sunah wali-Nya, maka tiadalah apa-apa kebaikan padanya." Ditanya orang pada beliau“Apakah sunah Allah?” beliau menjawab, “Menyembunyikan rahsia (misalnya menutup aib orang lain).” Ditanya lagi, “Apakah pula sunah Rasulullah?” beliau berkata, “Berlemah lembut dengan sesama manusia.” Ditanya lagi, “Apakah pula sunah wali-Nya?” beliau menjawab, “Sabar dalam menanggung penderitaan.”
Oleh itu terdapat tiga perkara sunah yang perlu diamalkan untuk mendapat kebaikan iaitu :
Pertama : Sunah Allah adalah menyembunyikan rahsia (menutup aib oarng lain)
Kedua : Sunah Rasul adalah berlemah lembut sesama manusia.
Ketiga : Sunah wali Allah adalah sabar menanggung penderitaan.
Huraiannya :
Pertama : Sunah Allah adalah menyembunyikan rahsia (menutup aib oarng lain)
Sesiapa di dunia ini menutup aib saudaranya yang lain dan tidak mengumpat dan mencela maka di hari akhirat nanti aib dan kesalahannya akan ditutup oleh Allah SWT. Sebaliknya jika seseorang itu suka menceritakan keburukan saudaranya dan menjadikannya sebagai bahan sensasi dan menjatuhkan maruh dirinya maka di dunia lagi Allah SWT akan aibkan dirinya walaupun ketika dia berada di dalam rumahnya.
Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya." (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Sesunggunnya Allah ketika orang beriman didekatkan lalu bagian sisi badannya diletakkan kemudian ditutup, Allah berfirman: Apakah kamu mengenal dosamu yang begini?, apakah kamu mengenal dosamu yang begini? Orang beriman itu berkata: Ya, Tuhanku. Hingga ketika sudah diakui dosa-dosanya dan dia melihat bahwa dirinya akan celaka, Allah berfirman: 'Aku telah merahasiakannya bagimu di dunia dan Aku mengampuninya buatmu hari ini'. Maka orang beriman itu diberikan kitab catatan kebaikannya. Adapun orang kafir dan munafiqin, Allah berfirman: Dan para saksi akan berkata: ' itulah orang-orang yang mendustakan Tuhan mereka.'Maka laknat Allah untuk orang-orang yang zalim. (Hadis Riwayat Bukhari)
Kedua : Sunah Rasul adalah berlemah lembut sesama manusia.
Mungkin ada segelintir dari kita yang kurang sabar dalam berdakwah dan mengajak ke arah kebaikan, dengan melepaskan perkataan-perkataan kesat dan mengutuk berlebihan. Semoga kita lebih sabar, dan cuba mengajak orang lain kepada kebaikan demi kerana Allah, dan sesama saudara Islam kita , bukannya berdakwah dan mengajak ke arah kebaikan dengan perasaan benci dan marah kepada orang lain.
Firman Allah SWT maksudnya : "Ajaklah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat yang baik, dan berdialoglah dengan cara yang lebih baik, Allah lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan siapa yang mendapat petunjuk." (Surah an-Nahl ayat 125)
Allah SWT menjadikan Rasulullah SAW dengan sifat lemah lembut dan tidak keras serta paling tinggi sabarnya. Lagi pun Islam diturunkan dengan hujjah, maka yang paling penting ialah sertakan hujjah-hujjah yang berkesan, bukannya kekerasan membabi-buta sehingga boleh menyebabkan syaitan-syaitan tertawa.
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Jika engkau kasar dan keras hati, nescaya mereka akan lari dari engkau, maka maafkanlah mereka dan pohonkan keampunan untuk mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka.” (Surah Ali-Imran ayat 159).
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Ketiga : Sunah wali Allah adalah sabar menanggung penderitaan.
Sifat orang yang dikasihi Allah (wali Allah) adalah sentiasa bersabar di atas dugaan di dunia ini, dia tidak kecewa dan berkeluh kesah dan tidak merungut kerana ujian yang menimpa dirinya. Dia redha dengan qadak dan qadar dan sentiasa berserah diri dan bersangka baik terhadap Allah SWT.
Allah SWT berfirman,
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya : “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa (seseorang) kecuali denga izin Allah; 'Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk ke (dalam) hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah At Taghaabun ayat 11)
Ibnu Katsir mengatakan, “Makna ayat ini: seseorang yang ditimpa musibah dan dia meyakini bahawa musibah tersebut merupakan ketentuan dan takdir Allah, sehingga dia bersabar dan mengharapkan (balasan pahala dari Allah), disertai (perasaan) tunduk berserah diri kepada ketentuan Allah tersebut, maka Allah akan memberikan petunjuk ke (dalam) hatinya dan menggantikan musibah dunia yang menimpanya dengan petunjuk dan keyakinan yang benar dalam hatinya, bahkan boleh jadi Dia akan menggantikan apa yang hilang darinya dengan yang lebih baik baginya.”
(Tafsir Ibnu Katsir, 8/137)
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 155)
Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un," bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.
Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan.
Daripada tenggelam dengan kesedihan akibat kesusahan dan kesulitan, mengapa kita tidak berusaha mengambil hikmah dengan cara berprasangka baik kepada Allah SWT. Mungkin dengan datangnya kesusahan kepada kita akan memberi banyak kebaikan :
1. Memiliki hati yang lebih kuat, sebab kesusahan menguatkan hati kita
2. Sadar dengan segala kekurangan dan kesalahan sehingga kita bertaubat
dan dosa kita diampuni.
3. Bebas dari rasa ‘ujub, kesusahan adalah boleh mendidik kita supaya merendahkan diri.
4. Tidak lalai, sudah nyata kesusahan ada dihadapan kita.
5. Lebih banyak mengingat Allah SWT.
6. Lebih benyak bersabar dan mengerjakan solat, kerana mungkin sahaja dengan kesusahan ini akan melatih kita untuk lebih bersifat sabar.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita hayati tiga sunah yang dinyatakan oleh Saidina Ali k.w iaitu sunah Allah, sunah Rasul dan sunah wali Allah untuk mendapai kebaikan dan keredhaan daripada Allah SWT. Jika kita tinggalkan sunah-sunah ini kita akan jauh daripada petunjuk Allah SWT dan akan mendapat kemurkaan-Nya.
No comments:
Post a Comment