Thursday, February 16, 2012

Umat Nabi Musa a.s. Rela di Masukkan Ke Dalam Neraka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi Musa a.s. suatu hari sedang berjalan-jalan melihat keadaan umatnya. Nabi Musa a.s. melihat seseorang sedang beribadah. Umur orang itu lebih dari 500 tahun. Orang itu adalah seorang yang ahli ibadah. Nabi Musa a.s. kemudian menyapa dan mendekatinya. Setelah berbicara sejenak ahli ibadah itu bertanya kepada Nabi Musa a.s :

"Wahai Musa aku telah beribadah kepada Allah SWT selama 350 tahun tanpa melakukan perbuatan dosa. Di manakah Allah SWT akan meletakkanku di syurgaNya? Tolong sampaikan pertanyaanku ini kepada Allah SWT."


Nabi Musa a.s. mengabulkan permintaan orang itu.

Nabi Musa a.s. kemudian bermunajat memohon kepada Allah SWT agar Allah SWT memberitahukan kepadanya di mana umatnya ini akan ditempatkan di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman maksudnya : " Wahai Musa , sampaikanlah kepadanya bahawa Aku akan meletakkannya di dasar nerakaKu yang paling dalam."

Nabi Musa a.s. kemudian mengkhabarkan kepada orang tersebut apa yang telah difirmankan Allah SWT kepadanya. Ahli ibadah itu terkejut. Dengan perasaan sedih ia beranjak dari hadapan Nabi Musa a.s. 


Malamnya ahli ibadah itu terus berfikir mengenai keadaan dirinya. Ia juga mulai terfikir bagaimana dengan keadaan saudara-saudaranya, temannya dan orang lain yang mereka baru beribadah selama 200 tahun, 300 tahun, dan mereka yang belum beribadah sebanyak dirinya, di mana lagi tempat mereka kelak di akhirat?. Keesokan harinya ia menjumpai Nabi Musa a.s. kembali. Ia kemudian berkata kepada Nabi Musa a.s. :

"Wahai Musa , aku rela Allah SWT memasukkan aku ke dalam nerakaNya, akan tetapi aku meminta satu permohonan. Aku mohon agar setelah tubuhku ini dimasukkan ke dalam neraka maka jadikanlah tubuhku ini sebesar-besarnya sehingga seluruh pintu neraka tertutup oleh tubuhku jadi tidak akan ada seorang pun akan masuk ke dalamnya."

Nabi Musa a.s. menyampaikan permohonan orang itu kepada Allah SWT. Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa a.s. maka Allah SWT berfirman maksudnya :

"Wahai Musa , sampaikanlah kepada umatmu itu bahawa sekarang Aku akan menempatkannya di syurgaku yang paling tinggi."


Pengajarannya :

1. Kita tidak boleh merasakan bahawa amalan kita akan masukkan kita kedalam syurga kerana masuknya seseorang itu ke dalam syurga adalah kerana rahmat Allah SWT bukannya dengan amalan yang kita dilakukan. 

Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah." (Hadis Riwayat Muslim) 

2. Sifat mementingkan orang lain dan mendoakan orang lain kepada kebaikan adalah satu sifat mahmudah yang mulia disisi Allah SWT , ganjaran pahala yang besar akan di berikan oleh Allah SWT kepadanya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim). 

(Di petik daripada tulisan Are Ril)
 


2 comments:

Anonymous said...

Salam Ustaz.
Kalau kita mengamalkan selawat pada nabi Muhammad saw contohnya 10x pagi dan 10x petang dan setiap jumaat kita amalkan 100x selawat dengan harapan akan dipilih mendapat syafaat nabi Muhammad saw diakhirat nanti,adakah itu dikira ikhlas kerana Allah swt?kalau kita buat sesuatu dan tinggalkan sesuatu kerana inginkan syurga dan takutkan neraka,adakah itupun dikira ikhlas kerana Allah swt?

abubasyer said...

Waalikumusalam, kita digalakkan berselawat kepada Rasulullah SAW sebanyak yang boleh kerana Nabi SAW sendiri yg memberi jaminan bahawa sesiapa yg banyak berselawat keatas baginda nanti di hari akhirat baginda akan memberikan syafaat kepada umatnya. Tidak salah kita mengharapkan syurga dan memohon agar dijauhi daripada neraka kerana Nabi SAW sendiri yg menyuruhnya, jika kamu berdoa mohonlah syurga yg paling tinggi iaitu Syurga Firdaus. Al-Sonhaji berkata: "Sesetengah orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah dan menyembah-Nya itu ada tiga tingkatan pengabdiannya:

Pertama : Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah kerana takutkan neraka-Nya, Allah amankan dia dari apa yang ditakutinya. Ia sesuai dengan maghfirah (keampunan) yang diberikan oleh Allah.

Kedua : Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah kerana mengharapkan syurga-Nya, Allah jayakan untuk mencapai apa yang dicita-citakannya. Dan ini sesuai dengan rahmat-Nya yang dikurniakan oleh Allah iaitu syurga-Nya kerana salah satu daripada syurga itu bernama Rahmat.

Ketiga : Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah semata-matu untuk ke hadrat Allah dan tidak kepada yang lain, dialah hamba Allah yang tulus ikhlas yang dilayakkan untuk menerima kehormatan dari Allah SWT.