Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang pendakwah yang berada di dalam Jemaah Islam perlulah memahami kaedah syarak dalam apa sahaja tindakkan dan amalan kita di dalam masyarakat. Jika kita bergerak tanpa ada matlamat yang jelas, kaedah yang betul, bertindak mengikut emosi dan kefahaman yang sempit maka ianya akan merugikan Islam dan umat Islam.
Nabi SAW mengajarkan kita supaya bertindak mengikut kaedah dan ulub yang betul supaya proses dakwah dan tarbiah yang kita jalankan kepada masyarakat akan mendatangkan hasil yang baik dan terhindar jauh fitnah terhadap Islam dan ajarannya.
Salah satu perkara yang perlu difahami oleh pendakwah Islam dan pemimpin Islam adalah memahai Fiqh Awlawiyat.
Fiqh Awlawiyat atau fiqh keutamaan (priority) adalah dua perkataan yang di ambil dari ‘fiqh’ dan ‘awlawiyat’. Fiqh bermaksud ‘faham’. Fiqh disini bukan bermaksud pengertian fiqh disegi istilah para ahli fekah tetapi ialah satu kefahaman yang dikurniakan Allah SWT sebagai satu syarat untuk mencapai tahap kesempurnaan kebaikan dan petunjuk sesuai dengan hadis Nabi SAW : “ Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan ke atasnya, maka diberinya kefahaman terhadap ad-deen (agama)”. (Hadis Riwayat Bukhari)
“Awlawiyat’ pula adalah kata jamak dari ‘awla’ iaitu yang paling baik, paling sesuai, paling utama seperti yang disebut di dalam kamus-kamus bahasa ( Mukhtar as-Sihah).
Maka pengertian fiqh awlawiyat ialah memahami apa yang paling utama daripada beberapa perkara dari sudut pelaksanaan. Ini bermakna memberikan hak keutamaan didahulukan pada perkara yang mesti didahulukan daripada perkara yang lain yang utama dikemudiankan, sesuai dengan masa dan waktu perlaksanaannya.
Di dalam istilah fiqh atau ilmu usul ia disebut sebagai ‘khilaf awla’ yang bermaksud sekalipun berlaku khilaf (perselisihan para ulama) di dalam masalah atau hukum tersebut tetapi ia paling sesuai untuk dilaksanakan.
Al-Fadhil Dr. Yusuf al-Qardawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat seperti berikut :
“Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil”.
Kedua : Kesan Pengabaian Fiqh Awlawiyat
1. Realiti masakini seperti pembunuhan dan serangan terhadap terhadap umat Islam, gejala Islam liberal, ancaman murtad dan sebagainya maka yang paling utama ialah membina kesatuan umat Islam dari berselisih di dalam masalah ijtihad yang bersifat furuk (cabang). Begitu juga berusaha memelihara penampilan Islam dari memelihara penampilan tanzim (organisasi/jemaah). Bukan sibuk menonjolkan pendapat siapa yang paling benar, ijtihad siapa yang paling betul yang mengakibatkan kesatuan umat terabai dan terbengkalai dan memudahkan para musuh merobek-robek kekuatan saf ummah. Keutamaan sekarang ialah menzahirkan kekuatan sof umat dan menyatukan suara umat menjadi satu suara yang kuat, digeruni, berwibawa dan mampu menggugah kekuatan musuh-musuh Islam.
2. Tidak mengambil peduli terhadap perkara ini akan membawa penzahiran kekuatan musuh Islam terhadap umat Islam, memecahbelahkan perpaduan umat Islam bahkan membawa kepada pertumpahan darah sesama Islam, perkelahian, sikap taksub membuta tuli kepada kumpulan masing-masing.
3. Dari sudut yang lain sepatutnya ‘wala’ hanya kepada Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman , tetapi telah bertukar ‘wala sepenuhnya’ kepada tanzim dan menganggap mereka yang diluar tanzim bukan dari kalangan ahli wala. Ini akan memecah kesatuan umat Islam dan akan membawa kegagalan, kekalahan dan kerugian.
Satu kaedah syarak mengatakan : “ Wa la tanaza’uu fatafsyalu watazhaba reehukum" maksudnya : Janganlah kamu berselisih maka kamu akan memperolehi kegagalan dan hilang segala kekuatan.
4. Begitu juga dalam masalah akidah. Sepatutnya mengutamakan usul (pokok) dari masalah furuk (cabang). Ini sebagai menjaga sebab berlaku khilaf yang membawa kepada fenomena takfir (mengkafirkan), menyesatkan orang dan kumpulan lain atau memporak perandakan kesatuan umat Islam. Akidah Islam tegak atas prinsip ‘Syahadatain’. Selama mana ia bersyahadah, maka dia diiktiraf sebagai muslim dan perselisihan tidak merosakkan kasih sayang sesama muslim. Bermaaf-maafan di dalam perkara yang diperselisihkan.
Ketiga : Bidang Awlawiyat (Keutamaan)
1. Bidang Ilmu
Penguasaan dalam pelbagai cabang ilmu merupakan satu fardhu kifayah. Antara yang dituntut di dalam fiqh awlawiyat (keutamaan) ialah :
a. Memahami keperluan semasa umat kemudian melahirkan pakar-pakar di dalam pelbagai bidang ilmu. Antara bidang-bidang strategik yang diperlukan umat ialah bidang ekonomi, perubatan, ketenteraan, pembuatan polisi, teknologi, ict, kejuruteraan genetik, aeronatik, disamping menguasai bidang syarak.
Contohnya meramaikan doktor pakar sakit puan dari kalangan wanita Islam bagi memenuhi kadar peranakan yang tinggi wanita Islam. Statistik menunjukkan bilangan doktor sakit puan muslimah masih berkurangan dengan nisbah keperluan tersebut.
b. Setiap era menuntut penguasaan luas dalam beberapa disiplin ilmu yang tidak diperlukan pada era sebelumnya. Contohnya pada satu masa perlu menguasai ilmu logik dan falsafah bagi menghadapi aliran falsafah Yunani dan Greek. Begitu juga , ada zaman yang menuntut kepada memahami disiplin ilmu khilaf bagi menangani kejumudan pemikiran dan sebagainya lagi.
2.Bidang Hisbah
Inilah sikap terpuji, penuh hikmah dan memahami fiqh awlawiyat seperti yang dilakukan oleh Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah kepada anak-anak muridnya yang ingin menghalang tentera Tartar dari meminum arak. Beliau menggesa agar dibiarkan mereka minum arak supaya ia tidak membunuh nyawa umat Islam yang lain. Kaedah menyatakan “yunkiru ‘ala muttafaq ‘alaihi wa la yunkiru al mukhtalaf fihi..”. Ini bertujuan tidak menimbulkan kemudaratan yang lebih besar.
3. Bidang Tasyri’
Nabi Yusuf a.s memohon diberi tanggungjawab memimpin jabatan kewangan negara agar tidak berlaku penyelewengan, salah urus tadbir , korupsi di dalam pengurusan kewangan negara.
4. Bidang Dakwah
Nabi SAW menjauhi dari meruntuhkan berhala-berhala disekeliling Kaabah sekalipun beliau berkemampuan melakukannya. Begitu juga larangan Nabi SAW kepada para sahabat r.a dari memerangi kaum musyrikin walaupun baginda dan para sahabat r.a mampu. Kaedah mengatakan : “manista’jala qabla awanihi ‘uqiba bihirmanihi” (barangsiapa tergesa-gesa mencapai sesuatu sebelum masanya, maka ia dihukum haram mendapatkannya).
5. Bidang Tarbiyah
Allah membetulkan urutan keutamaan di dalam proses tarbiyah . Firman Allah SWT maksudnya : "Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul (Muhammad) dari (kalangan) kamu yang membecakan ayat-ayat Kami, menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Kitab (al-Quran) dan Hikmah (sunah) , serta mengajarkan apa yang belum kamu ketahui." (Surah al-Baqarah ayat 151)
Di mana proses tarbiyah itu menurut urutannya yang sebenar ialah tilawah (membacakan ayat-ayat Kami), tazkiyah (menyucikan kamu) dan taklim (mengajarkan kamu al-Quran dan sunah). Kecacatan dalam menentukan urutan keutamaan tersebut boleh membawa kepada kegagalan di dalam proses tarbiyah dan manhaj tarbiyah.
Keempat : Awlawiyat “membina agenda masyruk (projek) Islam” di dalam Manhaj al-Banna
Membina dan menyediakan satu projek Islam yang merangkumi keperluan umat, membina kesatuan umat, memperkasa identiti umat adalah perkara utama di dalam manhaj dakwah dan tarbiyah Imam Hasan al-Bana. Projek Islami dapat memenuhi maslahah ummah jika dibandingkan penumpuan kepada organisasi semata-mata tanpa ada agenda untuk umat.
Hasan al-Banna mengasaskan projek agenda membina peradaban umat (masruk li nahdatil ummah) dan menjadikan organisasi wahana untuk mencapai agenda tersebut . Sikap inilah yang menyebabkan Imam Hasan al-Bana dikagumi wawasan pemikirannya oleh para tokoh-tokoh politik dan pemimpin pelbagai pertubuhan. Ada yang datang untuk berbaiah dan tertarik untuk bersama dengan gerakan Ikhwan.Beliau menyeru mereka agar mengutamakan maslahah terbesar umat, beramal untuk Islam melalui agenda projek islam.
Bukti yang jelas ialah pendirian beliau mendekati Ustaz Hasan al-Hudhaibi dan mempelawanya memimpin Ikhwan Muslimin sebagai Mursyid al- Am walaupun beliau tidak melalui urutan tarbiyah organisasi secara sempurna. ( halaqah-usrah-jenjang keanggotaan-katibah-pengurusan dll – hanya melalui hubungan fardi)
Kelima : Awlawiyat adabiyat syari’yyah mendahului adabiyat tanzimiyyah (Keutamaan adabiyat syariah mendahului tatasusila dalam tanzim/organisasi)
Perkara yang penting dan sewajarnya diberi perhatian dan penelitian ialah kembali meletakkan keutamaan adabiyat syarak dari tatasusila tanzim /organisasi. Ketidak seimbangan ini akan membawa kecacatan pada tanzim dan akan meletakkan setiap perkara mengutamakan organisasi dari tuntutan syarak. Ini akan membawa kecelakaan dalam amal Islami.
Sebagai contoh, kadang-kadang organisasi berlembut atau memandang remeh pada anggotanya dalam perkara yang bercanggah dengan syariat ( budaya adu domba, fitnah, dusta, mengumpat, sumber rezeki yang bukan masyruk, riak,penipuan..). Pada ketika yang sama organisasi berkeras dalam hal yang berkaitan dengan tanzim yang kadang-kadang bertentangan dengan hukum syarak. Sepatutnya adabiyat tanzim (tatsusila organisasi) adalah untuk khidmat kepada adabiyat syarak dan bukan sebaliknya.
Semoga dalam kerja-kerja dakwah, kita mengukur dan mengutamakan keperluan syarak lebih daripada kepentingan organisasi agar maslahah dakwah tercapai.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memahami fiqh awlawiyat iaitu kita utamakan apa yang perlu diutamakan dalam amal Islami , mana yang perlu di kemudiankan maka di kemudiankan. Dengan ini keindahan Islam akan dapat dirasai dan dinikmati dan ini adalah satu cara dakwah yang berkesan untuk mengajak kembali umat Islam yang telah lama meninggalkan cara hidup Islam dan untuk kita mengajak orang bukan Islam menerima ajaran Islam atau setidak-tidaknya mereka menghormati Islam dan tidaklah memandang negatif kepada Islam .
No comments:
Post a Comment