Monday, February 6, 2012

Jauhi Musibah dan Bala Dengan Mengamalkan Doa-doa Yang di Ajarkan Oleh Nabi SAW.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita sering mendengar kebakaran berlaku disana sini yang melibatkan asrama para pelajar sekolah agama dan maahad tahfiz . Kebakaran kadangkala berpunca daripada kelalaian manusia seperti terlupa ketika memasak air dengan menggunakan dapor gas, terlupa menutup suis semasa menggunakan peralatan letrik, penggunaan lilin semada terputus bekalan letrik dan sebagainya. Dalam peristiwa kebakaran tersebut terdapat juga kemalangan yang mengorbankan nyawa para pelajar yang tidak sempat menyelamatkan diri.

Dalam Harian Metro Isnin, 6 Februari, 2012 satu lagi kebakaran yang berlaku pada jam 4.00 petang 5 Februari, 2012, melibatkan kebakaran asrama pelajar maahad tahfiz yang terletak di Pekan Meru, Pusat Tahfiz Darul Mustaffa,Batu 7 1/2 Meru, Kelang , Selangor. Menurut pemiliknya Mohd Sallehodin bin Sobiyee, 50 tahun, beliau terkejut dengan jeritan orang minta tolong sebelum melihat api melihat api marak membakar asrama bersebelahan rumahnya. Katanya dia segera keluar dan meredah api bagi menyelamatkan dan membawa keluar  pelajar yang masih berada di dalam asrama berkenaan.

Katanya lagi, " Saya hanya fikirkan keselamatan pelajar yang masih berada di dalam  rumah yang terbakar dan mengadai nyawa menyelamatkan pelajar. Syukur tiada kehilangan nyawa kerana jiran banyak  membantu dan kebetulan terdapat kenduri kahwin berlangsung berdekatan rumah, jadi tetamu majlis berkenaan turut sama membantu menyelamatkan pelajar dan peralatan. Rumah berkenaan sudah dua tahun di jadikan asrama pelajar tahfiz dan kerugiaan di anggarkan RM 150,000.00."

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang mukmin kita wajib percaya dan yakin bahawa setiap peristiwa yang berlaku di muka bumi adalah suatu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Peristiwa yang telah berlaku seharusnya menjadi pengajaran kepada kita bahawa untuk masa akan datang perlu berhati-hati supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya kebakaran. Pihak pengurusan maahad tahfiz, guru-guru  dan semua pelajar perlu memiliki displin yang tinggi supaya penggunaan peralatan letrik, penggunaan dapor untuk memasak diawasi dengan baik supaya tidak berlaku kelalaian semasa menggunakannya. Pihak pengurusan maahad tahfiz perlu juga memanggil kontraktor letrik untuk membuat pemereksaan berkala keatas pendawaian letrik dan suis utama (kerana ada kes kebakaran berpunca daipada litar pintas), terutama apabila bangunan yang digunakan adalah bangunan lama.

Saya sendiri berkesempatan melawat tapak kebakaran Pusat Tahfiz Darul Mustaffa selepas solat Asar daripada tinjauan dan perbualan dengan beberapa orang yang membantu membawa keluar pelajar di dalam asrama tersebut mungkin puncanya kerana berlaku litar pintas.

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT semua para pelajar maahad tahfiz yang tinggal di rumah tersebut telah diselamatkan oleh Allah SWT terhindar daripada bala dan musibah semasa kebakaran dan tidak mengalami kecerderaan.

Kebakaran yang berlaku adalah dugaan dan ujian daripada Allah SWT, Dia sahaja Maha Mengetahui dibalik ujian ini mengandungi hikmah dan kebaikan.

Allah SWT mencintai mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.

Dalam kitab Sahihnya, Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dari Hajjaj bin Minhal dari Syu’bah dari Alqamah bin Martsad dari Sa’ad bin Ubaidah dari Abu Abdirrahman As-Sulami dari Utsman bin Affan radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,

        خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ .

Maksudnya : “Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Tidak satu kaum berkumpul disalah satu rumah Allah membaca kitab-Nya dan mempelajarinya diantara mereka kecuali diturunkan bagi mereka ketenangan, diliputi mereka dengan rahmat dan mereka diliputi malaikat dan Allah menyebutkan pada hamba-hamba-Nya yang ada disisi-Nya” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Perumpamaan orang yang membaca al-Quran dan dia hafal maka dia akan bersama para malaikat, perumpamaan orang yang membaca al-Quran dan dia langgeng (terus) membacanya maka baginya dua pahala” (Hadis Riwayat Muttafaq ‘alaih)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Dikatakan bagi orang yang membaca al-Quran : 'Bacalah, tingkatkanlah, dan bacalah dengan tartil sebagaimana kalian membacanya didunia, maka sesungguhnya kedudukan kalian pada akhir ayat yang kalian baca” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Nabi SAW  bersabda maksudnya : “Barang siapa membaca al-Quran dan mempelajarinya dan mengerjakan isinya, kedua orang tuanya akan diberikan mahkhota dari cahaya sinarnya seperti sinar matahari, dan dipakaikan kedua orang tuanya perhiasan yang tidak didapatinya didunia, lalu keduanya bertanya : dengan amal apa hingga kita diberikan pakaian ini ? dikatakan :' kerana anakmu menghafal al-Quran'.” (Hadis Riwayat Hakim)

Sahabat yang dikasihi,
Nabi SAW mengajar kita agar sentiasa berdoa diwaktu pagi dan petang supaya terhindar daripada musibah dan bala.

Doa memohon selamat daripada bala dan kehinaan ini terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi SAW. ada mengajarkan kepada kita untuk berdoa : "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qadak dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)"

Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), tujuh kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu')

Rasulullah SAW berdoa diwaktu pagi dan petang :

بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم

Maksud: “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

“Barangsiapa membacanya sebanyak tiga kali ketika pagi dan petang hari, maka tidak ada sesuatu pun yang membahayakan dirinya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud 4/323, At- Tirmidzi 5/465, Ibnu Majah dan Ahmad. Lihat Shahih Ibnu Majah 2/332.)

Oleh itu kalian perlulah amalkan doa-doa tersebut di atas dan ajarkan kepada anak, isteri dan orang lain semoga terhindar daripada musibah dan bala samaada berbentuk kebakaran atau kemalangan jalan raya dengan izin Allah SWT.

2 comments:

Kang Nasir said...

Ustaz,
Bagaimana dgn sambutan maulid yg ada sesetengah ilmuan berpendapat ianya adalah bidaah. perlu dihindari.

Kami sebenarnya dikelirukan,
Saya mohon huraian & penjelasannya.
Tksh ustaz.

abubasyer said...

Assalamualaikum, Kang Nasir, menyambut Maulidur Rasul tidak pernah dibuat oleh Rasulullah SAW tetapi ulama berpendapat bahawa sambutan seperti ini tidaklah bercanggah dengan syariat dan akidah umat Islam malahan ada hikmah dan kebaikkannya kerana membesarkan kemuliaan Nabi SAW, berselawat kepada baginda, mengambil contoh-contoh yang mulia yg pernah ditunjukkan oleh baginda. Dalam sejarah Islam Sallehuddin al-Ayubi yg mulakan sambutan ini kerana umat Islam ketika itu sudah melupakan perjuangan Rasulullah SAW, hasil daripada sambutan ini menyatukan semula umat Islam dan memberi nafas baru unt terus berjihad dijalan Allah SWT hingga berjaya mengalahkan tentera salib. Kang Nasir berhati-hatilah daripada golongan muda yg mengaku ulama tetapi suka membidaahkan amalan yg baik dan taksub dengan pendapat 'guru' mereka sendiri, golongan ini juga anti mazhab dan suka mencela para ulama muktabr dan ulama mazhab. wasslam.