Wednesday, February 8, 2012

Orang Mukmin Sentiasa Mencari Kerberkatan Umur Dalam Hidupnya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.” (Hadis Riwayat Tarmizi).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dari Abdul Rahman bin Abi Bakraah daripada bapanya, sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam katanya: Wahai Rasulullah, manusia bagaimanakah yang baik sifatnya? Sabda Rasulullah, siapa yang panjang umurnya dan baik amalannya, pemuda itu bertanya lagi: Manusia bagaimanakah yang buruk sifatnya? Sabda Baginda: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya". (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Berkata Utsman bin Affan r.a. bahawasanya Nabi SAW  bersabda: “Allah telah berfirman:
"Apabila hamba-Ku telah mencapai usia empat puluh tahun, Aku akan jauhkan dia dari tiga macam bencana, iaitu: gila, kusta dan sopak. Dan apabila ia mencapai usia lima puluh tahun, Aku akan menghisabnya dengan hisab yang ringan.  Dan apabila dia mencapai usia enam puluh tahun, Aku akan mendorongnya agar suka bertaubat...."

Berdasarkan hadis-hadis di atas Nabi SAW menjelaskan bahawa umur manusia adalah kehidupan dan setiap saat berjalan saja umur itu pasti akan ditanya kemanakan dihabiskan umur itu? Adakah untuk mentaati Allah SWT atau umur itu digunakan untuk bermaksiat kepada Allah SWT?


Manusia sering lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Apabila masa berjalan ini bermakna umur manusia akan bertambah. Bila umur bertambah sepatutnya akan bertambah amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan untuk menghampirkan diri kepada Tuhan semesta alam. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. Masa mengubah kita. Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka.

Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya. Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta.  Jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan. Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar si kaya, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.

Untuk itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi. Firman Allah dalam Surah al-‘Asr maksudnya : “Demi Masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”. (Surah al-‘Asr 1-3).

Demikian Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Maksudnya hidup ini bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah SWT dan rasul-Nya dan sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang keberkatan. Antaranya firman-Nya yang bermaksud : “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi”. (Surah al-A’raf ayat 96).

Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya) : “Dan berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat”. (Surah al-Mukminun ayat 29).

Kata Nabi Isa: (maksudnya) : “Allah menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada..” (Surah Maryam ayat 31).

Barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah SWT kepada sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.

Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti yang dirancangkan.
Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menginsafi diri kita yang kerdil ini di sisi Allah SWT. Berdoa dan bermunajatlah kehadrat Allah SWT semoga Dia menjadikan masa dan umur kita berkat di sisi-Nya. Semakin bertambah umur semakin banyak kebaikan dapat kita berikan dan semakin terbina kecintaan kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Hati yang di saratkan dengan iman dan takwa akan mendapat ketenangan, keberkatan dan rahmat yang tiada putus-putus daripada Allah SWT.

"Ya Allah Kau berkatilah umurku  supaya dapat aku berkhidmat dijalan dakwah-Mu dan memulihkan kerosakan yang berlaku dimuka bumi  ini dengan izin-Mu. Jadikanlah sisi-sisi umurku untuk menyanjung tinggi dan memuliakan syariat-Mu, menegakkan kebenaran walaupun manusia membencinya. Betapa banyak tugas yang patut aku tunaikan sedangkan masa yang ada terlalu sedikit maka aku mohon pada-Mu ya Allah Kau berkatilah masa dan umurku sehingga setiap saat dapat ku manfaatkan demi mendapat redha dan kasih sayang-Mu. Pilihlah aku dan sahabat-sahabatku yang berada dialam maya dan alam nyata supaya kami menjadi para mujahidin-Mu di dunia ini dan pertemukanlah kami di syurga-Mu nanti bersama hamba-hamab-Mu yang Kau rahmati dan berkati. Terimalah rintihan , doa dan hajat kami."



No comments: