Friday, July 20, 2012

Kelebihan Dan Fadilat Amal Di Bulan Ramadan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad SAW., sabdanya: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadan .. menyerulah malaikat, katanya: "Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan!  Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan!  Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka - daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadan). (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Nasa'i)

Dengan kedatangan Ramadan syaitan dibelenggu supaya tidak dapat menggoda orang yang berpuasa.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah SAW. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadan,  terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada menggoda mangsanya)".
(Hadis Riwayat Muslim)
 
Terdapat beberapa amal-amal soleh yang di tuntut kalian laksanakan ketika bulan Ramadan.
Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم بعزيمة ثم يقول : من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائي.

Maksudnya : "Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: “Barangsiapa yang berqiam Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan reda dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Kedua : Kembali sepertimana hari ibunya melahirkannya.

حديث عبد الرحمن بن عوف: من صامه وقامه إيمانا واحتسابا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. رواه النسائي في الكبرى (11،295) والصغرى (2199)، وأحمد (1618، 1645) وابن خزيمة (2015) وابن ماجه (1331) والبيهقي في الشعب (3462).

Maksudnya : "Daripada ‘Abdur Rahman bin ‘Awf, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dan berqiam Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya”. (Hadis Riwayat al-Nasa’i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Baihaqi)

Ketiga : Ditulis dari kalangan para siddiqin dan syuhada.

عن عمرو بن مرة الجهني رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن شهدت أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وأديت الزكاة وصمت رمضان وقمته، فممن أنا ؟ قال : من الصديقين والشهداء. رواه البزار وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما واللفظ لابن حبان.

Maksudnya : "Daripada ‘Amru bin Murrah al-Juhani r.a.  katanya: Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu katanya: 'Wahai Rasulullah, apakah pendapat tuan sekiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya bersolat lima waktu, menunaikan zakat serta berpuasa bulan Ramadan dan berqiam Ramadan, maka dari golongan siapakah saya ini? ' Jawab baginda: ”Dari kalangan para siddiqin dan syuhada’”. (Hadis Riwayat al-Bazzar, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

Keempat : Ditulis baginya pahala seumpama berqiamullail.

حديث أبي ذر : من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة. رواه الترمذي وقال : هذا حديث حسن صحيح -791.

Hadis Abu Zar r.a., sabda Nabi SAW maksudnya : “Barangsiapa berqiam (Ramadan) bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Kelima : Memperbanyakkan bersedekah dan bertadarus al-Quran :

Dari Ibnu Abbas, berkata: "Rasulullah S.A.W adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi S.A.W). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.' (Hadis Bukhari dan Muslim)

Keenam : Banyakkan membaca kaliamah syahadah dan beristighfar, berdoa memohon syurga dan berlindung dari neraka.

Nabi SAW bersabda maskudnya : "Banyakkanlah kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Ada pun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu itu ialah: 

Pertama - Mengucap (kalimah) :


أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله

Kedua - (banyakkanlah) Beristighfar (memohon ampun) kepadanya dengan menyebut:
أستغفر الله

Ada pun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah:

Pertama (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga,  serta berlindung kepadanya dari azab neraka - dengan menyebut:

نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ.

"Dan selain itu, (sabda baginda lagi): "Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga."
(Hadis Riwayat Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menyambut kedatangan Ramadan dengan hati yang bersih, gembira dan reda. Tingkatkanlah amal ibadah, amal soleh dan melakukan ibadah puasa dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan boleh membatalkan pahala puasa kita. Kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh semoga kita mendapat keredaan Allah SWT dan diterima ibadah puasa kita.

No comments: