Sunday, July 15, 2012

Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam Siri Pertama.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Isu yang masih hangat diperkatakan oleh media masa dan umat Islam adalah isu cadangan perlaksanaan hukum hudud di Johor oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat . Kesan daripada cadangan tersebut ramai pihak memberi reaksi positif samaada daripada para ulama, mufti, menteri, ahli politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO Islam), Badan-badan Dakwah, Persatuan Peguam Syarie dan umat Islam seluruhnya.

Dengan adanya pandangan, ulasan dan sokongan daripada cendikiawan Islam dalam masyarakat kita maka persepsi hukum hudud telah mendapat gambaran positif dikalangan umat Islam dan orang bukan Islam juga dapat memahami bahawa hukum hudud bukanlah satu hukum yang zalim seperti dimomok-momokkan sebelum ini, kerana hukum-hukum Islam lebih berbentuk pendidikan daripada menghukum seorang pesalah.

Untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci perbahasan kita kali ini lebih tertumpu untuk huraian mengenai Undang-undang Jenayah Islam supaya umat Islam sendiri dapat memahami apakah dia Hukum Hudud, Qisas dan Takzir supaya kekeliruan sebelum ini dapat di perbetulkan dan memberi kefahaman yang menyeluruh.

Apabila kita telah memilih Islam sebagai agama, maka sudah sepatutnya kita menjadikan al-Quran dan as-Sunah sebagai panduan hidup kita dalam melayari kehidupan di muka bumi ini. Maka dengan ini apa-apa sahaja yang diperintahkan kepada kita untuk diikuti, hendaklah dipatuhi dan apa-apa yang dilarang daripada kita melakukannya, hendaklah dijauhi.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua laranganNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)."
(Surah Ali Imran ayat 19)

Undang-undang Jenayah Islam adalah salah satu daripada perkara ysng dibawa oleh Rasulullah SAW yang mana ianya merupakan syariat Allah SWT yang telah diperundangkan olehNya kepada kita umat manusia agar dapat hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram. Ini kerana tujuan utama Allah SWT meletakkan undang-undang tersebut adalah untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebahagian daripada umat Islam menyamakan syariat Islam dengan fiqh Islam. Ini adalah tanggapan yang salah kerana syariat Islam mempunyai pengertian yang lebih umum atau lebih luas dari fiqh Islam. Ini disebabkan syariat bererti kesemua perkara yang diperundangkan Allah SWT dalam agama samaada daripada al-Quran, As-Sunah dan sebagainya yang merangkumi hukum-hukum fiqh, akidah, akhlak dan sebagainya.

Fiqh Islam pula adalah ilmu untuk mengetahui hukum-hukum syarak yang tertakluk pada perbuatan dan perkataan manusia yang diambil dari dalil-dalil yang terperinci iaitu al-Quran, as-Sunah, Ijmak , Qiyas dan Ijtihad.

Apabila kita membicarakan mengenai Hukum Hudud, Qisas dan Takzir ini bermakna kita sedang membicarakan mengenai Undang-undang Jenayah Islam (Fiqh al-Jinayah).

Perlu difahami bahawa kenapa Allah SWT mencipkan undang-undang jenayah untuk manusia patuhi iaitu Hukum Hudud dan Qisas? Ini adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia sendiri. Allah SWT Maha Mengetahui sifat-sifat , hati budi dan tabiat manusia kerana Dia yang mencipta manusia pasti Dia jua mengetahui kekuatan dan kelemahan manusia.
Dia jua Maha Mengetahui apakah bentuk sistem dan cara hidup yang sesuai untuk diamalkan sehingga manusia akan hidup aman dan tenteram di dunia ini.

Bagaimana sempurnanya dasar-dasar pembinaan hukum-hukum Islam yang ditanzilkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW iaitu hukum-hukum Islam tidak menyusahkan, diturunkan berperingkat-peringkat dan perlaksanaannya memberi keadilan mutlak kepada kemaslahatan seluruh manusia.

Imam al-Ghazali rah. menyebut dalam kitab Usulnya : "Sesungguhnya tujuan utama syarak mensyariatkan hukum-hukum Islam kepada umat manusia mengandungi 5 tujuan : Menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda."

Asas Undang-undang Jenayah Islam mengandungi lima perkara pokok :

1. Untuk menjaga agama.
2. Untuk menjaga nyawa.
3. Untuk menjaga akal.
4. Untuk menjaga keturunan.
5. Untuk menjaga harta.

Huraiannya :

1. Untuk menjaga agama :

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia. " (Hadis Riwayat Bukhari : 4/329, 2/251, Abu Daud : 4451 dan lain-lain).

2. Untuk menjaga nyawa :

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan di dalam Hukum Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 179)

3. Untuk menjaga akal.

Saidina Ali bin Abi Talib k.wj berkata : Rasulullah SAW menyebat orang minum arak 40 kali sebat, Abu Bakar r.a. 40 kali sebat juga dan Umar 80 kali sebat. Semuanya adalah sunah Rasulullah SAW dan ini yang lebih aku sukai." (Hadis Riwayat Abu Daud : 4481)

4. Untuk menjaga keturunan :

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Ambillah peraturan dariku, ambillah peraturan dariku. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan jalan untuk mereka. Teruna dan dara yang berzina hukumannya disebat 100 kali dan dibuang negeri setahun dan yang sudah berkahwin hukumannya di sebat 100 kali dan direjam (sampai mati)."
(Hadis Riwayat Muslim : 3199, Abu Daud : 3834 dan At-Tirmizi :1354 lihat As-Syaukani jilid 7 hlm 249)

5. Untuk menjaga harta :

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa , lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Maidah ayat 38)

Sahabat yang dihormati,
Jika kita mengkaji secara mendalam dengan hati yang terbuka, kita akan mendapati undang-undang Islam cukup sempurna dan tidak ada cacat celanya. Terdapat 5 keistimewaan undang-undang Islam iaitu :

1. Undang-undang Islam adalah ciptaan Allah SWT yang Maha Pencipta.
2. Undang-undang Islam mendidik jiwa manusia.
3. Undang-undang Islam amat mendalam.
4. Undang-undang Islam memperuntukkan ganjaran (pahala) dan menghapus dosa.
5. Undang-undang Islam tidak berubah dan sesuai untuk setiap zaman dan ketika.

Sayid Sabiq menghuraikan makna pengertian jenayah : Segala perbuatan yang diharamkan, iaitu perbuatan yang ditegah oleh syarak yang boleh memberi kemudharatan dan berlaku ke atas agama, jiwa. akal, keturunan dan harta. (Kitab Fiqh as-Sunnah)

Ibn Rushd pula menyatakan : Pengertian jenayah adalah meninggalkan segala sesuatu yang disuruh oleh syarak seperti meninggalkan solat, puasa, zakat dan sebagainya, serta melakukan sesuatu yang dilarang seperti mencuri, minum arak, membunuh dan sebagainya.(Kitab Bidayatul Mujahid wa al-Nihayatul Muqtasid, bab al-Jinayat)

Terdapat 3 bentuk hukuman atau peruntukan dalam kesalahan jenayah dalam Perundangan Islam iaitu :

Pertama  : Hukum Hudud
Kedua      : Hukum Qisas dan Diat
Ketiga      :  Hukum Takzir

Huraiannya :

Pertama : Hukum Hudud.

Darisegi bahasa Hudud bermaksud pencegahan / penghalang. 


Dari sudut istilah pula Hudud bermaksud : Keseksaan atau hukuman yang bentuknya telah ditetapkan oleh Allah SWT yang wajaib dilaksanakan bagi tujuan menjaga hak Allah SWT atau dengan lain perkataan juga disebut sebagai menjaga kepentingan awam/ umum.

Firman Allah SWT maksudnya : "Itulah batas-batas larangan (hudud) Allah maka janganlah kamu menghampirinya." (Surah al-Baqarah ayat 187)

Terdapat 7 kesalahan-kesalahan hudud :

1. Zina
2. Menuduh zina
3. Minum arak
4. Mencuri
5. Merompak
6. Murtad
7. Penderhakaan

Kedua : Hukum Qisas dan Diat .

Qisas dari sudut bahasa : sama/ seimbang.

Dari sudut istilah syarak pula maksudnya : Suatu bentuk hukuman/ keseksaan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang wajab dilaksanakan bagi tujuan menjaga hak atau kepentingan individu. (al-Mawardi dlm kitab Al-Ahkam al-Sultoniyah m/s 219)

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-Baqarah ayat 178)

"Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 179)

Diat pula menurut istilah syarak ialah : Denda yang telah ditetapkan oleh syarak sebagai menggantikan hukuman Qisas yang telah dilaksanakan.

Suatu pembunuhan yang berlaku biasanya akan menghadapi salah satu daripada 3 kemungkinan bentuk hukuman :


1. Di balas bunuh sebagai hukum Qisas.
2. Di hukum membayar Diat/ denda.
3. Kemaafan tanpa syarat.

Jenis-jenis kesalahan Qisas dan Diat ada 2 jenis kesalahan :
1. Kesalahan membunuh jiwa manusia.
2. Kesalahan menyebabkan kecederaan tubuh badan manusia.

Ketiga : Hukum Takzir .

Dari sudut bahasa ia bermaksud : Membesarkan dan mengagungkan. (Sayid Sabiq : Fiqh al-Sunnah jilid :2 m/s 393)

Dari sudut istilah perundingan Islam, Takzir bermaksud : Hukuman atau keseksaan yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syarak dan dilaksanakan sama ada untuk menjamin kepentingan atau hak individu atau kepentingan awam/ masyarakat (hak Allah) dalam semua kes selain kes hudud dan Qisas.

Kesalahan-kesalahan takzir ini adalah kesalahan yang hukumannya akan ditentukan atau ditetapkan oleh pihak pemerintah/ Ulil Amri atau pihak mahkamah dari semasa ke semasa mengikut bentuk atau jenis kepentingan yang perlu dijaga.

Para Fuqaha telah membahagikan kesalahan-kesalahan Takzir kepada 3 bahagian :


1. Takzir pada perbuatan maksiat
2. Takzir untuk kepentingan umum.
3. Takzir atas kesalahankesalahan kecil.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bersihkan dan kukuhkan akidah kita supaya kita benar-benar meyakini tanpa ragu-ragu akan undang-undang ciptaan Allah SWT yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah . Islam adalah ad-Din , satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna merangkumi dalam urusan akidah/ tauhid, ibadah, muamalah, munakahat, faraid, hukum jenayah Islam (hudud dan qisas) dan peraturan perang dan perundangan antara bangsa.

Kita jangan mudah terpengaruh dengan pendapat-pendapat yang sesat yang cuba mempertikaikan undang-undang Allah SWT dan mengatakan bahawa undang-undang Allah SWT tidak sesuai dalam masyarakat majmuk dan mengagungkan undang-undang ciptaan manusia.

Perlu diingat bahawa keimanan kita kepada undang-undang Allah SWT berbentuk ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji dan tidak ada bezanya untuk kita beriman dan yakin kepada undang-undang jenayah Islam seperti Hudud dan Qisas. 


Berdoalah semoga Allah SWT memudahkan urusan perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam. Supaya undang-undang ini dapat diperkasakan dan berkuasa dan dilaksanakan dalam kehidupan kita di muka bumi ini, insya Allah.

(Rujukan : Fiqh Al-Jinayah - Perbahasan Undang-undang Islam oleh Ustaz Mohd Rafizal Zulkifli al-Yamani)

No comments: