Sunday, October 21, 2012

Nikmat Yang Paling Besar Di Syurga Adalah Dapat Melihat Zat Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah kalian mengetahui nikmat paling besar yang akan diperolehi oleh ahli syurga?

Nikmat ini lebih besar dari pada dicemerlangkan muka. Ia lebih besar pula dari pada segala kenikmatan yang ada di dalam syurga.

Tahukah kalian? Nikmat itu adalah apabila diizinkan oleh Allah SWT melihat  Zatnya sendiri.

Terdapat satu hadis qudsi : Shuhaib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda :  “Jika calon ahli syurga telah masuk kedalam syurga, Allah SWT berfirman, ‘ Hai ahli syurga! Apakah kalian ingin sesuatu yang lebih dari nikmat ini?’

Mereka menjawab, ‘Bukankah Engkau telah mencermelangkan muka kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari neraka?’

Maka, disingkaplah hijab. Maka, tidak ada kenikmatan yang lebih mereka senangi dari pada memandang Tuhan mereka.”

(Hadis ini sahih. Ia dikeluarkan oleh Muslim (181), Ahmad (4/333), At-Tirmidzi (2552), dan Ibnu    Majah (187).)

Jika ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah memberi mereka kemampuan dan kekuatan untuk melihat Zat-Nya. Dapat melihat Zat Allah ini adalah nikmat ahli syurga yang paling besar. Dalil yang membenarkan bahawa ahli syurga akan dapat melihat Zat Allah adalah firman-Nya dalam Al-Quran, maksudnya : "Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat,” (Surah Al-Qiyamah ayat 23-24).

Sahabat yang dimuliakan,
Memang ada keterangan daripada hadis menunjukkan bahawa syurga ada pasar. Akan tetapi pasar syurga itu bukanlah tempat berjual beli. Pasar syurga adalah tempat pertemuan dan perkenalan ahli syurga. Di sana mereka saling bercerita mengenai kehidupan semasa di dunia sehingga memperoleh kenikmatan syurga yang abadi.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Said bin Musayyab yang bermaksud: Bahawa sesungguhnya ia (Ibnu Musayyab) bertemu dengan Abu Hurairah pada suatu hari.

Maka Abu Hurairah berkata kepadanya: "Aku mohon kepada Allah untuk dikumpulkan-Nya antara aku dan engkau di pasar syurga". Maka berkatalah Said: "Apakah di syurga ada pasar?" Jawabnya: "Ya, ada."

Dalam riwayat yang lain pula menyebut (yang bermaksud): Sesungguhnya dalam syurga itu ada pasar yang tidak ada padanya jual beli. Akan tetapi apabila sampai ahli syurga di dalamnya, duduklah mereka bersandar di atas mutiara lembut dan tanah dari kasturi. Ketika itu mereka saling berkenalan dalam syurga seperti mereka di dunia. Mereka saling menyebut mengenai ibadat mereka terhadap Tuhan dan bagaimana keadaan mereka menghidupkan malam dengan sembahyang dan berpuasa pada siang hari. Bagaimana kefakiran di dunia serta kekayaannya dan bagaimana keadaannya mati.

Begitulah keadaan pasar di syurga berbeza dengan pasar di dunia. Ahli syurga bertemu di pasar itu pada Jumaat dan keadaan penghuni syurga semakin hari semakin cantik.

Hadis riwayat Muslim daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): "Sesungguhnya di syurga ada pasar yang dikunjungi penghuninya setiap Jumaat, lalu bertiuplah angin dari arah utara yang menerpa wajah dan pakaian mereka, sehingga mereka semakin tampan (cantik) itu, lalu keluarga mereka berkata: Demi Allah kamu semakin cantik. Mereka menjawab: Demi Allah kamu juga semakin bertambah cantik setelah kami tinggal pergi."

Hakikatnya syurga adalah tempat nikmat yang kekal. Penghuninya memperoleh kemuncak nikmat yang tidak dapat dibayangkan. Untuk memperoleh syurga Allah bukanlah suatu yang mudah sebagaimana yang disangka sebahagian orang dengan hanya semata-mata mengakui beriman seperti yang diwarisi oleh datuk nenek.

Juga semata-mata mengerjakan amal ibadat seperti gerak geri sembahyang, menahan dari makan dan minum pada bulan Ramadan, boleh mendapat balasan baik. Padahal hatinya penuh dengan hasad dengki, perasaan dendam, riak, takbur, mulutnya tidak putus-putus berdusta, maki-hamun, mengumpat dan membuat fitnah, dan sikapnya memperhambakan diri kepada apa saja yang boleh memenuhi kemahuan nafsunya.

Sesiapa yang demikian keadaannya, jauh sekali memperoleh balasan baik untuk orang yang takut melanggar perintah Tuhan dengan iman yang sebenar-benarnya serta amal ibadat yang dilakukan dengan khusyuk, ikhlas dan bersih dari maksiat zahir dan batin.

Sahabat yang dihormati,
Ahli-ahli syurga akan dapat bertemu dengan ahli keluarga dan saudara-maranya yang besar yang sama-sama memasuki syurga. Daripada jalur ke atas dimulai daripada ibu bapa , datok, nenek , moyang ke atas dan juga daripada jalur ke bawah anak-anak, cucu, cicit dan seterusnya generasi ke bawah.

Allah SWT berfirman dalam Surah At-Thuur ayat 21: Maksudnya : “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya”

Ayat ini memberikan penjelasan  bahawa agar orang tua dan anak dapat berkumpul dalam kebahagiaan di syurga, maka syaratnya harus memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Jika salah satu dari anggota keluarga melakukan dosa-dosa besar dan tidak sempat bertaubat sebelum meninggal dunia, maka tempatnya adalah di neraka dan tidak akan dapat bertemu di syurga.

Di izinkan Allah SWT kita bertemu dengan ahli keluarga  di syurga, merupakan kesempurnaan kenikmatan bagi mereka yang berhak masuk ke syurga. Dalam salah satu riwayat di jelaskan bahawa ketika orang-orang yang berhak masuk syurga meletakkan kakinya di pintu syurga, pertanyaan pertama yang muncul adalah dimanakah ibu bapa, anak-anak, dan isteri-isteri kami?.

Ini menunjukkan bahawa orang yang masuk syurga merasakan ‘kekurangan’ selama mereka belum melihat keluarganya. Ketika anak-anak dan keluarganya tidak bersama di syurga, mereka pun menyampaikan keinginannya kepada Allah SWT . Ahli syurga akan berdoa dan meminta rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Ada di antara permohonan (syafaat) ahli-ahli syurga  diterima oleh Allah SWT untuk menyelamatkan ahli keluarganya yang disahkan masuk neraka dan ada pula yang terpaksa melalui seksa neraka dahulu barulah lepas menjalani hukuman akan dimasukkan pula ke syurga dengan rahmat Allah SWT.

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman maksudnya : “Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam Syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Ghaafir ayat 8)

Sahabat yang dikasihi,
Perkara penting yang perlu di ingatkan bahawa amal ibadah dan amal soleh kita sendirilah yang akan dihiasab dan dinilai oleh Allah SWT samaada kita ikhlas atau pun tidak dan penentuannya adalah di sisi Allah SWT , sesungguhnya Allah SWT tidak akan menzalimi para hamba-Nya. Janganlah kita harapkan syafaat daripada anak-anak atau ibu bapa kita untuk masuk syurga. Jika kelebihan ini dimiliki oleh ahli keluarga kita alhamdulillah ini adalah satu bonus (kelebihan) jika tidak ada pun kita telah memiliki amal-amal kita sendiri untuk mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Memang benar kita masuk syurga dengan rahmat Allah SWT tetapi untuk mendapat rahmat Allah SWT perlulah dengan amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan yang kita lakukan di dunia, kerana walaupun sebesar zarrah amal kebaikan akan ditimbang dan di nilai oleh Allah SWT di akhirat nanti. Oleh itu teruskan beramal , berjihad dan berdakwah di dunia ini sebagai tanda hamba Allah yang bersyukur dan mengharapkan rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.


No comments: