Wednesday, October 24, 2012

Setiap Manusia Akan Di Kumpulkan Bersama-sama Orang Yang Di Cintai Ketika Di Dunia


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a. : Ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW : “Bilakah kiamat itu tiba?”

Rasulullah bersabda : “Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?”

Lelaki itu menjawab : “Cinta Allah dan Rasul-Nya.”

Rasulullah menjawab : “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 4775)

 Huraiannya :


Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap mukmin yang beriman dan bertakwa akan bertemu di syurga orang yang dicintai ketika di dunia dahulu.

Apabila ditanya oleh Nabi SAW kepada Arab Badwi apakah persiapan beliau untuk menghadapi kiamat, beliau menjawab dia mencintai Allah  dan Rasul-Nya. Jika benar apa yang beliau ucapkan maka di hari akhirat nanti beliau akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT mencintai dan meredainya. Begitu juga jika beliau mencintai Rasul-Nya maka beliau akan bertemu dan berkumpul bersama-sama baginda di syurga.

Jika di dunia kita mencintai Rasulullah SAW, para sahabat baginda, alim ulama, orang-orang soleh, para mujahid Islam, orang-orang mukmin, ibu bapa, isteri, anak-anak, ahli keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan insya Allah kita akan bertemu dengan mereka di dalam syurga , salah satu tempatnya adalah di Pasar Syurga setiap hari Jumaat.

Tanda kita mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mengikut sunah dan ajaran Rasulullah SAW dan banyak berselawat ke atas baginda maka kita akan bertemu dan dikumpulkan bersama baginda.

Nabi SAW menyuruh umatnya apabila ingin mencari sahabat maka carilah sahabat yang soleh kerana sahabat yang soleh bukan sahaja akan membantu menyelamatkan kita ketika di dunia tetapi dia juga akan memberi syafaat ketika di hari akhirat nanti.

Nabi SAW mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Ulama Salaf ada memberi pesanan : "Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semuga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah SWT. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."

Begitu juga jika kita mencintai ulama kerana ilmunya yang bermanfaat dan sentiasa menasihati kita supaya terdorong untuk mentaati Allah SWT dan menjauhi daripada maksiat dan dosa , kemudian kita berusaha melaksanakan kebaikan tersebut, kita akan bertemu dengannya di syurga dalam keadaan cinta mencintai dan berkasih sayang.

Sahabat yang dimuliakan,
Perlulah kalian berhati-hati ketika kalian mencintai seseorang manusia. Jika kalian silap memilih pemimpin dan kalian mencintai pemimpin yang zalim dan dia membelakangkan peraturan Allah SWT maka kalian akan dikumpulkan bersama-sama dengan mereka di hari akhirat nanti. Maka ketika ini apa alasan kalian hendak berikan kepada Allah SWT? Ketika ini sudah terlambat dan penyesalan ketika itu sudah tidak berguna lagi.

Firman Allah SWT maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu, orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan..."(Surah al-Maaidah ayat 57)

Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :"Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).." (Hadis Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri sendiri dan berhati-hatilah ketika di dunia supaya jangan kita mencintai golongan yang terang-terang menentang Islam kerana dikhuatiri akan berkumpul bersama dengan mereka di hari akhirat nanti. Oleh itu cintailah semua manusia yang dicintai Allah SWT terutama Rasulullah SAW, para sahabat dan orang-orang soleh, semoga kita dapat bersama dengan mereka di syurga nanti insya Allah.



No comments: