Monday, March 18, 2013

Rezeki Yang Berkat Akan Di Gunakan Di Jalan Yang Di Redai Oleh Allah SWT


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu soalan yang akan di tanya oleh Allah SWT di hari akhirat nanti adalah dari mana sumber harta yang kita miliki dan kemana pula harta tersebut di gunakan?

Rezeki yang berkat adalah rezeki yang diperolehi daripada sumber-sumber yang halal. Dan digunakan pula rezeki tersebut untuk kebaikan dan di jalan Allah SWT

Apabila kita mensyukuri rezeki Allah SWT maka Allah SWT akan memberkati hidup kita dan Dia akan memberi tambahan rezeki dijalan yang tidak disangka-sangka.

Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya, “ Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang. ” ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap mukmin hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu reda dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan ‘alhamdulillah’ di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang maksudnya, “ Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.”  (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Rezeki adalah ketentuan Allah SWT . Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.

Kita sering mendengar berita orang kaya rezekinya melimpah ruah tetapi hidup keluarganya porak peranda, anak-anaknya menjadi penjenayah dan penceraian berlaku di antara suami istari. Ini menunjukkan tidak ada keberkatan rezeki yang mereka perolehi ada sesuatu yang tidak kena maka berlakulah keadaan seperti ini.

Kita juga mendengar suatu keluarga yang pendapatannya kecil menanggung anak-anak yang ramai tetapi anak-anaknya menjadi insan yang berakhlak mulia dan berjaya di dalam kerjaya dan kehidupan. Ini menunjukkan ada keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “ Telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi ( pengedar ) rezeki kepada Bani Adam : Mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Naim )

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap wang ringgit atau harta yang kita miliki pastikan dipergunakan kepada jalan-jalan kebaikan. Jangan membazir dan jangan bakhil kerana membazir dan bakhil itu adalah amalan syaitan. Jauhkanlah diri kalian daripada menjadi salah satu golongan yang di benci oleh Allah SWT. 

Golongan yang mulia dan dikasihi oleh Allah SWT adalah golongan yang memiliki harta kemudian harta tersebut digunakan ke jalan yang diredai oleh Allah SWT iaitu :

1. Bersifat pemurah dan suka memberi sedekah dan menginfakkan harta di jalan Allah SWT.

2. Mempergunakankan hartanya untuk menuntut ilmu yang bermanfaat. Daripada ilmu yang diperolehi akan di sebarkan dan di sampaikan kepada orang lain.

3. Mempergunakan hartanya untuk membeli kitab suci al-Quran, tafsir al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW, buku-buku agama , buku-buku tazkirah dan majalah-majalah Islam yang berupaya meningkatkan ilmu syarak dan memberi manfaat yang besar.

4. Membiayai pembinaan sekolah agama, maahad tahfiz, masjid-masjid dan pusat-pusat dakwah dan membiyai persekolahan anak-anak yatim dan golongan miskin untuk meneruskan persekolahan dan pengajian tinggi.

5. Hartanya di gunakan dalam bidang perniagaan mengikut cara Islam supaya dengan harta ini dapat dikembangkan dan dapat memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan dapat di bayar zakat perniagaan.

Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah bahawa sesungguhnya setiap harta yang di zakatkan, di sedekahkan dan di beri sumbangan kebajikan untuk membantu golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan golongan tertindas (seperti di Palestin dan Syria) maka harta tersebut akan di berkati dan ini merupakan saham akhirat yang tidak akan mengalami kerugian di akhirat nanti. Jika harta yang kalian guna untuk makan dan minum secara mewah maka ianya akan bertukar menjadi najis, jika di beli kenderaan mewah maka kenderaan akan buruk dan rosak tetapi jika harta kalian di sumbang dan infakkan di jalan Allah SWT maka saham ini tidak akan rugi atau jatuh malahan keuntungannya akan di pergandakan oleh Allah SWT sehingga 700 kali ganda.


Firman Allah SWT maksudnya : "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya." 
(Surah Al-Baqarah ayat 261)




No comments: