Friday, March 22, 2013

Tafsir Surah Al-Baqarah Ayat 121



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,


Firman Allah SWT :

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (121) 

Maksudnya : "Orang-orang yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."
(Surah al-Baqarah ayat 121)

Di antara Ahli Kitab iaitu orang-orang yang mengikuti kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada nabi-nabi-Nya, seperti orang Yahudi mengikuti kitab Taurat, orang Nasrani mengikuti kitab Injil dan sebagainya, ada yang benar-benar membaca kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka dengan bacaan yang benar-benar tidak diikuti oleh keinginan dan hawa nafsu mereka. Mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya dengan memahaminya sepenuh hati, tidak menakwilkan atau menafsirkannya menurut keinginan diri sendiri, tidak menambah, mengurangi atau merubahnya. 

Menurut Ibnu Masud dan Ibnu Abbas: "Membaca dengan bacaan yang sebenarnya ialah menghalalkan yang dihalalkannya, mengharamkan yang diharamkannya, membacanya seperti diturunkan Allah, tidak merubah-rubah atau memalingkan perkataan dari tempat yang semestinya dan tidak menakwilkan sesuatu dari kitab itu dengan takwil yang bukan takwilnya."

Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya yang lain yang dimaksud dengan bacaan yang sebenarnya. 

Firman Allah SWT : 

إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا (107) 

Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, nescaya mereka tersungkur atas muka sambil bersujud." (Surah Al-Israk ayat 107) 

Dan firman-Nya lagi dalam Al-Quran : 

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ 

Maksudnya : "Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. (Surah Yusuf ayat 111) 

Dari ayat-ayat di atas difahamkan bahawa semua kitab Allah yang diturunkan kepada hamba-hamba-Nya (para Rasul) merupakan pengajaran bagi mereka yang tujuannya untuk memimpin dan memberi petunjuk ke jalan yang lurus. Kerana itu wajib para hamba Allah membaca dengan sebenar-benarnya, berulang-ulang, berusaha memahami pimpinan dan petunjuk Allah SWT di dalamnya. 

Firman Allah SWT :

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا (82) 

Maksudnya : "Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran. Kalau kiranya Al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapati pertentangan yang banyak di dalamnya. (Surah An-Nisaa' ayat 82) 

Dan firman Allah SWT :

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا (24) 

Maksudnya : "Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran atau hati mereka terkunci? (Surah Muhammad ayat 24) 

Dari ayat-ayat di atas difahamkan bahawa membaca Al-Quran dengan tidak memperhatikan maksud dan maknanya, menafsirkannya dengan sekehendak hati adalah sama dengan membaca Al-Kitab oleh ahli Kitab. 

Dari ayat di atas difahamkan bahawa membaca Kitab-kitab Allah dengan bacaan yang sebenarnya wajib dilakukan oleh manusia. Membaca Al-Kitab tidak dengan bacaan yang sebenarnya, tidak mengamalkan apa yang dibaca itu bererti memperolok-olokkan kitab-kitab Allah dan menantang Allah. 

Kerana itu Allah SWT. memerintahkan hamba-hambanya-Nya bangun di malam hari dalam keadaan yang tenang dan sunyi untuk mengerjakan solat, membaca Al-Quran dengan bacaan yang perlahan-lahan, memperhatikan maksud dan tujuan ayat demi ayat. Bacaan yang demikian akan berbekas di dalam hati dan bacaan yang dapat memahami hidayat dan petunjuk Allah bagi pembacanya. 

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mendekatkan diri kita dengan Al-Quran. Membacanya setiap hari dengan membaca terjemaahnya sekali. Perhatikan setiap ayat-ayat yang dibaca dengan hati yang penuh insaf dan hayati arahan-arahan Allah SWT . Mukmin yang bersih hati dan jiwanya adalah mukmin yang sentiasa hidup di taman Al-Quran sedangkan orang fasik dan munafik tidak suka membaca Al-Quran apatah lagi menghayati hidup berpandukan Al-Quran. Janganlah jadi seperti ahli Kitab Yahudi dan Nasrani yang cuba mengubah Kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT mengikut hawa nafsu mereka. Mereka telah dilaknat oleh Allah SWT kerana telah berdusta atas nama Allah SWT.





No comments: