Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji
bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang
istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di setiap rumah seorang mukmin perlulah ada perpustakaan kecil yang dipenuhi dengan kitab suci al-Quran, tafsir al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW, Sirah Nabi SAW dan sirah para sahabat, kitab feqah, buku-buku agama, buku-buku motivasi, majalah-majalah dan risalah-risalah Islam . Termasuk juga buku-buku sains dan teknologi. Inilah salah satu cara untuk memiliki ilmu yang bermanfaat .
Untuk menjadi mukmin yang berilmu, berwawasan jauh dan menjadi daie yang dikasihi Allah SWT maka masa yang ada janganlah banyak dihabiskan untuk menuntun filem-filem dan drama, menuntun program-program lawak jenaka, bersembang-sembang kosong di kedai-kedai kopi. Percayalah jika kalian terleka dengan kehidupan harian yang tidak berwawasan umur kalian akan habis begitu sahaja dan bila tiba saat tua dan sakit kalian sudah tidak berkesempatan untuk mencari ilmu agama dan tidak pula berpeluang menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain. Alangkan ruginya masa hidup yang seketika ini dihabiskan begitu sahaja. Semuanya akan di soal oleh Allah SWT di hari akhirat nanti.
Sahabat yang dimuliakan,
Sahabat yang dimuliakan,
Carilah ilmu yang bermanfaat samaada melalui kuliah-kuliah agama dan tazkirah di masjid-masjid , di television dan radio, dan meneruskan dengan bacaan kitab-kitab atau buku-buku agama, mentelaah kitab-kitab tafsir dan hadis Nabi SAW. Membaca buku-buku agama banyak faedahnya kerana iannya akan menyedarkan kita untuk takut kepada Allah SWT.
Ketahuilah,
bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut
kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah
dan menumbuhkan amal.
Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya yang bermaksud :
"Sebenarnya
yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan
hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (Surah al-Faatir
ayat 28)
Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Ilmu yang bermanfaat yang dimiliki akan dapat melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.
Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah SWT bukanlah orang alim yang sebenarnya. Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, mengejar pangkat, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.
Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.
Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata, "Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".
Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa dan tidak terpaya dengan tarikat dunia yang mengasyikkan.
Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah dan memiliki sifat tawaduk dan merendahkan diri.
Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata: "Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".
Abu Muhammad r.a pernah ditanya: "Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".
Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan: "Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".
Al Wasiti r.a berkata: "Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah SWT dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".
Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".
Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.
Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.
Sebahagian Salaf berkata: "Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".
Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a: "Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".
Sahabat yang dihormati,
Sesiapa yang memiliki ilmu yang bermanfaat nescaya ilmu itu akan
menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah,
menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada
Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi
orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia
kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku
terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan ulama, memuliakan
kekasih-kekasih Allah SWT dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka
utamakan.
Ingatlah apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia.
Allah SWT berfirman (maksudnya): "Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat."
(Surah al-Rum ayat 7)
Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)". (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)
Fudhail ibn 'Iyadh berkata: "Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".
Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.
Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu berusahlah untuk membeli kitab-kitab dan buku-buku agama dan letaklah di dalam perpustakaan kecil di rumah kalian. Jangalah perbanyakkan perhiasan rumah yang mewah-mewah kerana perhiasan ini tidak membantu akhirat kalian ketika berada di alam barzakh, tetapi perbanyakkanlah koleksi buku-buku agama dan bahan-bahan tarbiah dan dakwah supaya anak-anak dan ahli keluarga yang membaca buku-buku yang kita beli akan mendapat pahala di atas ilmu bermanfaat yang ditinggalkan. Mencari ilmu yang bermanfaat fardu ain terutama ilmu agama iaitu
ilmu tauhid, fiqah dan tasauf. Kemudian ilmu-ilmu bermanfaat yang lain
fardu kifayah iaitu ilmu yang boleh menambah kekuatan kepada umat Islam.
Utamakan yang fardu ain dan amalkanlah kerana ilmu tersebut secara
langsung mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan menjadikan kita
takut kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment