Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 96 adalah menjawab persoalan orang Islam yang tidak mahu kahwin, hak waris, akad wakalah aqiqah / korban melalui sms, tuduhan seseorang ahli syurga atau neraka dan perkara-perkara yang boleh membatalkan iman.
761. Soalan : Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya bagi orang Islam yang tidak berkahwin? Adakah kalau kita tidak berkahwin tidak mengikut sunah Nabi Muhammad SAW ? Tetapi berdasarkan pengetahuan saya, ulama terkenal Ibn Jarir al-Tabari tidak berkahwin sepanjang hayat mereka. Minta ustaz tolong memberi penjelasan.
Jawapan :
Untuk menjawab soalan berkenaan dengan hukum orang Islam lelaki yang tidak berkahwin, hendaklah kita melihat kepada keadaannya. Para ulama telah menjelaskan bahawa hukum berkahwin itu terbahagi kepada tiga keadaan.
Keadaan pertama, dia tidak mempunyai syahwat terhadap wanita, maka hukumnya mubah iaitu dibenarkan.
Keadaan kedua, dia mempunyai syahwat terhadap wanita tetapi masih dapat mengawal dirinya daripada berzina jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah sunat.
Keadaan ketiga, dia mempunyai syahwat terhadap wanita dan sukar mengawalnya, bahkan boleh menyebabkan dia berzina atau beronani jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah wajib.
Begitulah ringkasan huraian para ulama seperti al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf, berkenaan hukum berkahwin.
Seterusnya, bagi keadaan kedua dan ketiga, sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut harta, maka hendaklah dia berpuasa untuk menahan gelojak nafsunya.
Rasulullah SAW telah pun bersabda maksudnya, "Wahai sekelian remaja, siapa yang mempunyai kemampuan hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa akan mengurangi nafsunya” (Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400).
Berkenaan dengan para ulama yang tidak berkahwin, memang benar terdapat sejumlah para ulama yang tidak berkahwin. Akan tetapi ini tidak boleh dijadikan hujah untuk umat Islam dewasa ini menjauhi amalan mulia ini, iaitu perkahwinan.
Para ulama yang tidak berkahwin itu, sebenarnya mereka bukan membenci perkahwinan tetapi mereka mempunyai keadaan-keadaan tertentu yang menyebabkan mereka tidak berkahwin seperti kesungguhan dalam berdakwah dan mengajar, peperangan dan sebagainya.
Justeru hendaklah kita mendahulukan hadis Nabi SAW yang menggalakkan perkahwinan dan janganlah kita jadikan perbuatan sebahagian para ulama itu sebagai alasan untuk meninggalkan sunah Rasulullah SAW yang mulia ini.
Satu perkara yang perlu ditekankan di sini ialah hukum orang yang tidak berkahwin kerana dia ingin fokus melakukan ibadah. Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar.
Perbuatan ini telah ditegur oleh Rasulullah SAW. Di zaman Nabi SAW, apabila datangnya tiga orang lelaki bertanyakan tentang amalan Nabi SAW, setelah diberitahu oleh isteri-isteri Baginda, mereka merasakan amalan Rasulullah SAW seperti sedikit. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, Saya akan solat malam selamanya.” Seorang lagi berkata, Saya akan puasa sepanjang tahun.” Dan seorang lagi berkata, Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin buat selamanya.” Setelah Rasulullah SAW pulang dan diberitahu tentang perkara ini, Baginda telah bersabda, Anda semua berkata begini dan begitu. Sesungguhnya akulah yang paling takutkan Allah dan bertakwa terhadap-Nya. Akan tetapi aku puasa dan berbuka, solat dan tidur, aku juga mengahwini wanita. Maka siapa yang benci sunahku, dia bukan golonganku” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5063 dan Muslim no. 1401).
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjauhi amalan perkahwinan dengan alasan memberi fokus kepada amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang menyalahi sunah Rasulullah SAW.
762. Soalan : Harta yang kita miliki dan isteri kita sekarang, contohnya kereta, rumah, wang atau tanah perlukah diletakkan penama atau orang yang akan mewarisinya kelak jika kita meninggal dunia. Jika diletakkan, adakah ia akan dikira sebagai hibah, atau ianya dikira harta pusaka yg wajib dibahagi mengikut hukum faraid setelah peninggalan kita. Jika tidak diletakkan penama, apakah risiko yg akan kita hadapi setelah meninggal nanti. Minta penjelasan ustaz.
Jawapan :
Perlu atau tidak meletakkan penama pada harta adalah bergantung kepada maslahah pemilik harta dan waris-warisnya. Namun menurut fatwa ulama ; Penama tidak lebih dari pemegang amanah sahaja. Apabila berlaku kematian pemilik harta, penama wajib menguruskan harta tersebut dengan membahagikannya kepada waris-waris si mati. Ia tidak boleh dianggap hibah kerana hibah ialah pemberian ketika hidup dan hibah hanya dikira sah apabila telah diterima/dipegang oleh penerima hibah (yakni telah bertukar nama/milik kepadanya).
Oleh kerana harta/wang yang ditinggalkan itu masih atas nama si mati, maka harta itu dianggap harta peninggalan si mati dan mesti diagihkan kepada waris-warisnya setelah ditolak hutang-hutang. nazar (jika ada). upah haji (jika belum menunaikan haji dan berkemampuan) dan wasiatnya (jika ada). Jika ada wasiat si mati maka jumlah wasiat tersebut tidak boleh melebihi 1/3 harta si mati.
763. Soalan : Boleh atau tidak aqad wakalah aqiqah / korban dlm sms / e-mail / whatsapp dan lain-lain jika kita bercadang membaut aqiqah? Jika boleh minta ustaz huraikan.
Jawapan;
Sebarang akad tidak sah melainkan dengan sighah yang jelas. Maksud sighah ialah pernyataan secara zahir dari kedua pihak yang berakad sebagai tanda kerelaan mereka untuk melakukan aqad. Ia meliputi ijab (iaitu pernyataan untuk beraqad dari pihak yang memulakan akad) dan qabul (iaitu penerimaan/persetujuan dari pihak kedua).
Sighah (pernyataan) ini boleh berupa percakapan, tulisan, bahasa isyarat yang difahami ( Ruj : al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/160 (perkataan ‘sighah’). atau dengan perbuatan / tindakan (seperti satu pihak memberi dan satu pihak lagi mengambil). Secara ringkasnya dapat kita katakan bahawa berakad melalui sms, email dan seumpamanya masuk dalam hukum akad melalui tulisan. Para ulamak mengharuskannya dengan syarat tulisan itu jelas (tiada kesamaran), benar datang dari pihak berakad dan bertujuan akad ( Ruj : al-Mu’amalaat al-Maliyah-2, as-Syubaily, hlm. 76).
Selain itu, kedua pihak yang berakad hendaklah orang yang sah untuk berakad, iaitu; telah baligh dan beraqal (waras).
Oleh kerana melalui sms, e-mail dan seumpamanya itu aqad dilakukan secara berjauhan, qabul dari pihak kedua dikira setelah tulisan sms / e-mail dari pihak pertama dibaca dan difahaminya dan ia menyatakan persetujuannya selepas itu. Wallahu a’lam.
764 : Soalan : Saya hendak tanya satu soalan. Boleh atau tidak boleh kalau kita menghukum seseorang berdasarkan kepada zahir amalannya, contohnya kita kata si Anu masuk syurga si Anu kafir, si Anu masuk neraka berdasarkan kepada perbuatan zahir mereka? Bukankah nabi pernah mengatakan seorang wanita masuk neraka dengan sebab dia menyiksa seekor kucing dan seorang wanita yang lain masuk syurga dengan sebab dia memberi minum seekor anjing? Minta penjelasan ustaz.
Jawapan :
Tidak boleh kita menyebut secara pasti dengan merujuk kepada individu seperti kita berkata "Si Fulan adalah ahli neraka" atau "Si Fulan ahli syurga". Ini kerana sekalipun seorang itu melakukan dosa, pintu taubat dan pengampunan Allah masih terbuka untuknya. Hari ini ia melakukan maksiat, mungkin esok ia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan ia menjadi ahli syurga. Begitu juga, boleh terjadi seorang itu hari ini rajin beribadah, namun esok atau hari depan ia menjadi pelaku maksiat dan mati dalam maksiat, lalu ditempatkan Allah dalam neraka.
Apa yang boleh kita ucapkan ialah dengan menyandar kepada perbuatan seperti kita berkata; "Perbuatannya itu boleh menyebabkan ia diazab dalam neraka" atau "Amalannya itu adalah amalan ahli syurga", dengan syarat terdapat nas dari al-Quran atau as-Sunnah menegaskan tentang amalan tersebut (sebagai amalan yang diredhai Allah atau dimurkaiNya, atau sebagai amalan syurga atau yang mengundang neraka). Wallahu a'lam.
765. Soalan : Saya ada belajar tentang perkara-perkara yang membatalkan iman. Antaranya ialah seperti menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal dan juga lain-lain. Bila saya terfikir pasal benda ni saya jadi risau pulak ustaz. Sebab kadang-kadang tu kan macam bila kita ada buat dosa, pastu dalam hati kita macam tak kisah dengan perbuatan dosa kita tu...seolah-olah macam kita menghalalkan yang haram......ataupun kadang-kadang bila kita nampak perbuatan dosa depan mata kita, tapi kita macam tak kisah akan perbuatan tersebut....saya takut semua ini termasuk dalam kategori menghalalkan yg haram yang boleh membawa kepada batalnya iman....nauzubillah.... mohon penjelasan daripada ustaz.
Jawapan :
Iman yang sempurna terkandung di dalamnya 3 unsur;
1. Keyakinan hati
2. Pengakuan lidah
3. Amalan anggota
Unsur pertama dan kedua adalah dasar iman di mana jika tiada seorang itu adalah kafir. Jika seorang muslim hilang keduanya ia akan jadi murtad. Adapun unsur ketiga (amalan) ia adalah penyempurna kepada iman. Jika tiada, tidaklah menjadi kafir atau murtad, akan tetapi imannya tidak sempurna yakni ia masih dianggap mukmin, namun mukmin ashi (mukmin yang melakukan maksiat). Seorang mukmin yang sempurna ialah mukmin muthi' (mukmin yang taat).
Seorang muslim / mukmin akan jadi kafir / murtad jika hilang keyakinan hatinya terhadap Allah atau Rasul atau Agama (yakni mana-mana ajaran Islam yang pasti, yang tidak diragui lagi kedudukannya sebagai ajaran Islam). Jika ia mengisytiharkan ketidakyakinannya kepada orang lain, ia kafir / murtad di sisi Allah dan di sisi manusia. Jika ia tidak mengisytiharkannya, ia kafir / murtad di sisi Allah, adapun di sisi manusia ia masih Islam kerana keputusan di sisi manusia dihukum berdasarkan apa yang zahir / nampak.
Merujuk kepada soalan saudara, selagi seorang itu tetap meyakini perintah Allah SWT dengan hatinya dan tiada tanda / bukti secara zahir ia menafikan perintah itu, ia masih mukmin walaupun ia tidak melaksanakan perintah itu. Namun jika ia meninggalkan perintah itu bersama hati yang engkar (tidak percaya lagi dengan perintah itu) atau ia bercakap mengkritik perintah itu (dalam keadaan ia tahu itu perintah Allah yang pasti, tiada keraguan), ketika itu ia jadi kafir / murtad. Wallahu a'lam.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment