سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 99 adalah membicarakan persoalan fadilat puasa sunat Hari Arafah, hukum melihat gambar dan vedio lucah, hukum kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan orang bukan Islam, keperluan kuasa politik dan hukum merogol dalam Islam.
776. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan fadilat puasa sunat Hari Arafah?
Jawapan :
Di saat tetamu-tetamu Allah di Tanah Suci sedang beribadat ketika wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, kita yang tidak berkesempatan untuk melaksanakan haji, bolehlah melakukan puasa Hari Arafah. Puasa sunat Hari Arafah adalah khas untuk mereka yang tidak pergi menunaikan haji.
Kelebihan Puasa Hari Arafah :
Telah tersebut dalam satu hadis sahih riwayat Muslim :
Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di Hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Maka untuk mereka yang berpuasa pada Hari Arafah akan diganjarkan dengan penebusan dosa-dosa kecil setahun sebelum dan selepas. InsyaAllah. Kalau betul niat dan cara melaksanakannya.
Didalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Puasa Hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah SAW agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Daripada Sayyidatina ‘Aisyah r.ha. telah berkata : "Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku gemari daripada Hari Arafah."(Hadis Riwayat Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi)
777. Soalan : Apa hukum kita melihat gambar-gambar atau menonton video lucah kononnya pemimpin tertentu di dalam masyarakat?
Jawapan :
Hukumnya haram melihat gambar-gambar atau menontun vedio lucah kerana seseorang tidak harus melihat aurat orang lain (selain suami-isteri) kecuali jika darurat seperti tujuan perawatan, mudim yang menguruskan khitan, hakim yang menghakimi kes, polis yang menjalankan siasatan dan seumpamanya.
Adapun orang lain tetap dengan hukum asal iaitu haram melihat aurat orang lain. Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya." (Surah an-Nur, ayat 30).
Orang yang upload video sebegitu ia melakukan dosa menyebarkan kejahatan dan ia turut menanggung dosa orang lain yang melihat video tersebut.
Apabila membicarakan mengenai vedio lucah, berlaku di dalam masyarakat bahawa golongan fasik amat suka menggunkan lakunan vedio lucah palsu kononnya pemimpin tertentu telah melakukannya. Lantas video tersebut di sebarkan di you-tube dengan menyebarkan berita-berita fitnah. Sesiapa yang melihatnya dan mempercayainya kemudian menyebarkan pula akan mendapat hukuman qazaf (80 kali sebatan) jika tidak dapat membawa 4orang saksi yang adil. Jika di dunia terselamat maka di akhirat mereka tidak akan terlepas.
Hendaklah kita sentiasa menjaga maruah diri dan jangan terpengaruh dengan dorongan sekeliling. Orang yang suka menyebarkan kejahatan dan tuduhan-tuduhan buruk kepada orang lain tanpa menggunakan saluran yang ditetap Syariat, mereka adalah orang-orang fasik yang diancam Allah dengan seksaan yang berat oleh Allah sebagaimana firmanNya (bermaksud); "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)" (Surah an-Nur, ayat 19).
778.Soalan : Saya ingin bertanya tentang hukumnya organisasi Islam bekerjasama politik (Tahaluf Siyasi) dengan dengan orang bukan Islam? Harap ustaz dapat jelaskan serba sedikit.
Jawapan;
1. Berkerjasama dengan orang bukan Islam (Tahaluf Siyasi) untuk mencapai perkara yang menjadi maslahah bersama sesama manusia (kesejahteraan hidup duniawi, keadilan, membenteras kezaliman, penyelewengan, rasuah, menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik dan sebagainya) tanpa melanggar mana-mana hukum-hakam Syariat, hukumnya adalah harus.
Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat untuk sekelian alam. "Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam" (Surah al-Anbiya' ayat 107).
Terdapat juga di dalam al-Quran ayat yang menegaskan tidak dilarang orang Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam yang baik yang tidak memusuhi kaum muslimin sekalipun pada zahirnya sahaja. Firman Allah SWT maksudnya : "Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlalu adil" (Surah al-Mumtahanah ayat 8).
2. Dari segi praktik pula, Nabi Muhammad Sallalalhu 'Alaihi Wasallam telah mengadakan perjanjian Madinah (Sahifah Madinah/Piagam Madinah) yang membabitkan bukan sahaja golongan-golongan Islam tetapi juga kabilah-kabilah Yahudi di Madinah. Jika berpakat dengan orang bukan Islam haram secara mutlaknya, nescaya Nabi tidak akan mengadakan perjanjian dengan mereka. Adapun ada kabilah Yahudi yang diusir dari Madinah oleh Nabi SAW, itu kerana mereka melanggar perjanjian dengan Nabi dan mengkhianati baginda. Jika mereka terus setia dengan Nabi, nescaya mereka akan terus hidup aman damai di Madinah sebagai Ahlul-Zimmah.
3. Rasulullah pernah memberitahu para sahabatnya bahawa baginda pernah menyaksikan persepakatan yang dibuat oleh beberapa pemimpin-pemimpin Quraish di Mekah sebelum baginda dilantik menjadi Rasul (iaitu persepakatan yang dipanggil Halful-Fudhul. Ketika itu usia Nabi 25 tahun). Persepakatan itu mereka meterai bersama untuk mempertahankan sesiapa yang dizalimi di Mekah atau dirampas haknya. Nabi berkata; "Jika aku diajak untuk turut sama menyertai persepakatan serupa, nescaya aku akan menyertainya. Ia lebih aku suka dari unta merah" (al-Ahkam al-Sultaniyah, Imam al-Mawardi).
Perhatikan, bagaimana Rasulullah SAW berhasrat menyertai persepakatan yang baginda sendiri tahu bahawa mereka yang terlibat semuanya bukan Islam. Namun oleh kerana isi persepakatan itu sama dengan apa yang dituntut oleh Islam iaitulah keadilan untuk manusia, maka baginda menyokongnya.
4. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”
Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal .
Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.
5. Kerjasama yang diharamkan ialah yang merugikan Islam dan kaum muslimin, antaranya untuk menegakkan mana-mana sistem pemerintahan yang bercanggah dengan Syariah Islam (sekular, sosialis, komunis dan sebagainya), membantu orang kafir untuk memerangi kaum muslimin (sebagaimana pemimpin-pemimpin Arab bersekongkol dengan Amerika untuk menyerang Iraq), menolak Syariat Allah atau mengambil pendekatan yang bercanggah dengan Syariat, menafikan hak kaum muslimin kerana lebih mengutamakan persepakatan dengan orang bukan Islam dan sebagainya lagi yang merugikan Islam dan umat Islam.
Dalam apa keadaan sekalipun, seorang muslim wajib mengutamakan Islam dan umat Islam. Jika suatu persepakatan boleh merugikan Islam dan umat Islam, haram orang Islam menyertai persepakatan sebegitu. Di dalam al-Quran Allah melarang orang beriman berteman rapat dengan orang-orang kafir dengan menyisihkan orang-orang beriman. Begitu juga, Allah melarang mengambil orang-orang yang memusuhi Islam dan umat Islam sebagai teman dan kawan.
Firman Allah SWT maksudnya : "Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali" (Surah Ali Imran, ayat 28).
779. Soalan : Kenapakah umat Islam perlukan kuasa politik untuk menegakkan syariat Islam?
Jawapan :
Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunah.
Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan mungkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran dan as-Sunah, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.
Pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW. agar berdoa memohon diberikan kuasa.
Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (Surah al-Isra’ ayat 80)
Menurut ulama-ulama Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hudud-Nya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80). Wallahu a'lam.
780.Soalan : Bagaiamanakah dari segi undang-undang Islam menangani permasalahan di bawah;
1. Seorang perempuan yang datang kepada pemerintah mengatakan bahawa dia telah di rogol oleh seorang lelaki yang dia kenali, tetapi dia tidak dapat membawakan 4 orang saksi untuk membuktikan kejadian tersebut. Adakah perempuan tersebut akan di kenakan sebatan 100 kali kerana dianggap sebagai kesalahan zina?. Ataupun sebatan 80 kali kerana tuduhan tanpa membawa saks?i. Dalam hal ini apakah hak dia (perempuan tersebut) di dalam Islam untuk mendapatkan keadilan sebagaimana yang kita tahu memang sukar untuk mendapatkan 4 orang saksi tersebut. Atau dia hanya perlu mendiamkan diri kerana takut akan sebatan 80 kali dan hanya membiarkan kemungkaran tersebut terus berlaku.
2. Bagaiamana pula jika seorang perempuan datang kepada pemerintah mengadu yang dia dirogol oleh seorang lelaki yang dia kenali tetapi dia tidak dapat membawa 4 orang saksi tetapi membawa bukti yang dia telah mengandung sekarang hasil dari kezaliman tersebut. Apakah hak dia sebagai seorang Islam dan apakah yang patut di lakukan oleh pemerintah terhadap orang yang di tuduh tersebut.
3. Jika orang yang di tuduh itu (dalam kes ini ) hanya perlu bersumpah menafikan dia tidak merogol. Adakah bermakna Islam membenarkan perogol tanpa bukti berluasa di negara Islam.
4. Adakah DNA dari anak yang dikandung boleh disabitkan kesalahan terhadap perogol tersebut dalam menghukum 100 sebatan.
Tolong lah ustaz kerana inilah yang selalu di war-warkan bahawa hukum Islam itu zalim dan tidak memihak kepada yang di khianati seperti permasalan tersebut.
Jawapan Ustaz dapat memberi gambaran yang jelas tentang Islam dan membantu saya dalam berdakwah.
Sekian. Hamba Allah
Jawapan;
1. Wanita yang mengadu ia dirogol/diperkosa (yakni berlaku zina ke atasnya tanpa kerelaannya) dan telah disahkan bahawa ia benar-benar dirogol berdasarkan pemeriksaan doktor pakar atau sebagainya, ia tidak akan dikenakan hukuman hudud atau sebarang hukuman yang lain. Ini kerana penzinaan ke atasnya berlaku secara paksaan dan Nabi SAW. telah bersabda; “Diangkat (yakni tidak diambil kira) dari umatku dosa yang mereka lakukan kerana tersalah, lupa atau dipaksa melakukannya” (Hadis Riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang soheh. ( Al-Jami’ as-Soheh, Imam as-Suyuti, no. 4461. ).
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dari Wail bin Hujrin r.a. ada diceritakan; Seorang wanita telah dirogol/diperkosa pada zaman Nabi SAW. Nabi berkata kepada perempuan yang dirogol itu; “Pergilah! Sesungguhnya Allah mengampunkan engkau”. Adapun mengenai lelaki yang merogolnya, baginda berkata kepada para sahabat; “Rejamlah dia” (kerana ia telah berkahwin).(Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad).
Menurut Prof. Dr. Yusuf Sulaiman; “Wanita yang dirogol jika pengaduan/dakwaannya (bahawa ia dirogol) terbukti benar, ia tidak akan dikenakan hukuman hudud dan sebarang hukuman yang lain, sebaliknya ia dijaga dan dipelihara hingga melahirkan anak dan dinasabkan anak itu kepadanya dan ia dikahwini selepas itu atas sifatnya sebagai wanita yang belum pernah berkahwin jika ia sememangnya belum pernah berkahwin”
2. Adapun hukuman ke atas perogol, jika ia mengakui jenayahnya atau jenayahnya disabitkan dengan keterangan dari empat orang saksi yang melihat jenayah itu berlaku di hadapan mereka dengan jelas dan terang, maka ia akan dikenakan hukuman hudud iaitu 100 sebatan jika ia belum pernah berkahwin atau direjam sampai mati jika telah berkahwin. Adapun jika ia tidak mengakui jenayahnya dan tidak ada empat saksi, namun jenayahnya dapat dibuktikan dengan keterangan-keterangan atau bukti-bukti yang lain (termasuk DNA), maka ia tidak dikenakan hukuman hudud tetapi dikenakan hukuman takzir iaitu hukuman yang ditentukan oleh pemerintah. Menurut sebahagian ulama; takzir boleh sampai ke tahap hukuman bunuh.
3. Mengenai DNA, Persidangan Ulamak kali ke 16 yang diadakan di Mekah yang dianjurkan Rabitah Alam Islami telah memutuskan bahawa; "Tidak ada halangan dari segi Syarak untuk menerima keputusan DNA bagi mengesahkan kes jenayah dan menjadikannya sebagai salah satu kaedah bagi sabitan jenayah tetapi khusus bagi hukuman Takzir sahaja. Adapun hudud dan qisas, ia tidak boleh dijatuhkan dengan semata-mata bukti DNA, tetapi mesti dengan keterangan saksi atau dengan pengakuan dari tertuduh sendiri. (Al-Qadhaya at-Thibbiyyah al-Mu’asirah.)
Hukuman takzir adalah terserah kepada kearifan hakim mahkamah Syariah untuk menentu dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah terbabit. Di antara bentuk hukuman takzir ialah; penjara, denda, rotan, diberi peringatan dan sebagainya. Sebahagian ulama menegaskan; takzir boleh sampai ke tahap hukuman bunuh jika difikirkan perlu oleh pemerintah bagi membendung jenayah dan menyelamatkan masyarakat.
Wallahu a'lam
Rujukan;
1. Pandangan Prof. Dr. Yusuf Sulaiman.
2. Pandangan Dr. Yusuf bin Ahmad al-Qasim (pensyarah Fiqh Perbandingan di Institut Tertinggi Kehakiman Arab Saudi)
3. al-Qadhaya at-Thibbiyyah al-Mu’asirah, Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qarrah Daghi dan Prof. Dr. Ali Yusuf al-Muhammadi.
No comments:
Post a Comment