Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang waras perlu kepada sahabat yang akan bersama-samanya semasa susah dan senang.Keperluan kepada sahabat adalah fitrah manusia. Rasulullah SAW sendiri mempunyai sahabat-sahabat yang setia, yang sentiasa bersama-sama baginda di dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, bermula di Mekah dan seterusnya di Madinah hingga tertegaknya Daulah Islamiyah di Madinah.
Kita juga perlu kepada sahabat, melalui sahabatlah kita akan mendapat menyelesaikan berbagai-bagai masaalah yang kita hadapi.Sahabat adalah penasihat utama kita, bila penasihat itu baik, maka jadi baiklah kita, begitu juga apabila penasihat itu tidak baik maka akan berlaku sebaliknya.
Dari Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Seseorang itu atas agama (perjalanan) sahabatnya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa harus di pilih menjadi sahabat." (Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi dan al-Hakim)
Berdasarkan hadis di atas Rasulullah SAW menyatakan bahawa apabila kita ingin mencari sahabat maka hendaklah cari sahabat yang mempunyai asas agama, iaitu sahabat yang mempunyai asas budi pekerti dan akhlak yang baik, tidak fasik, tidak terlalu mementingkan hal-hak keduniaan sahaja. Jika dia seorang ahli agama maka kita juga akan menjadi ahli agama. Jika sebaliknya kita memilih sahabat yang suka kepada maksiat kita juga akan terdorong untuk melakukan maksiat.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran,"
(Surah Al-Kahfi ayat 28)
Berdasarkan ayat di atas terdapat tiga pengajaran yang boleh kita ambil :
1.Bersahabatlah dengan orang-orang yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengharap keredhan-Nya.
2.Jangan menjauhi diri dari orang-orang ahli ibadat, semata-mata kerana mengejar kesenangan dunia.
3.Jangan bersahabat dengan orang-orang fasik serta mematuhi dan mengikut perbuatannya.
Ulama Salaf ada memberi pesanan : "Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semuga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam Syurga. Dikatakan juga , apabila Allah s.w.t. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."
Saidina Ali k.w. berkata dalam sebuah syairnya yang bermaksud : "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu, dia sanggup membahayakan dirinya demi keselamatanmu, orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kepentingan dirimu."
Banyak hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan ciri-ciri sahabat yang baik.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Sabda baginda lagi yang bermaksud : "Janganlah kamu bermusuh-musuhan, jangan benci-membenci, jangan dengki-mendengki, jangan berputus hubungan antara satu sama lain, dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat banyak ciri-ciri lain yang di gariskan oleh ulama muktabar yang boleh kita jadikan peduman untuk kita memilih dan mencari sahabat-sahabat yang baik :
1.Boleh diharapkan untuk menjaga harta kita
2.Bila kita sakit dia ziarah
3.Bila kita sibuk dia beri bantuan
4.Bila kita lupa dia ingatkan kita
5.Bila kita bercakap dia beri perhatian
6.Dia menjaga lidahnya dari berkata yang menyakitkan hati
7.Dia mendoakan kita bila berdoa
8.Dia menepati janjinya bila berjanji
9.Bila tersilap dia sentiasa beri maaf
10.Bila kita susah dia membantu
Kita bersahabat dengan sahabat yang baik adalah semata-mata kerana Allah SWT kerana sahabat kita bukan setakat di dunia sahaja tetapi dia akan menjadi sahabat kita di hari akhirat. Di dalam Al-Quran Allah SWT ada menceritakan kisah ahli-ahli syurga bertemu dan berbincang sesama mereka, mereka adalah sahabat-sahabat yang baik dan sentiasa taat pada Allah semasa di dunia.
Dari itu wahai saudara-saudaraku, pilihlah sahabat-sahabat kalian yang memiliki ciri-ciri mulia yang di nyatakan tadi.
No comments:
Post a Comment