Tuesday, July 7, 2009

Perkukuhkanlah Silaturahim Kerana Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Imam Ibnul Atsir berkata : "Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitan dangan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah berlawanan dengannya."

Rasulullah SAW  di awal-awal dakwah baginda bermula dengan mengajak kaum keluarganya untuk beriman kepada Allah SWT. Bermula dengan isteri dan anak-anaknya, bapa saudara, sepupu dan seterusnya kepada kaum keluarganya dari Bani Hashim dan sahabat-sahabat dekat baginda.

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu sebagai individu muslim kita di tuntut untuk perkukuhkan hubungan kasih sayang, meraikan dan menjalini hubungan mesra kepada ahli keluarga dan kaum keluarga dengan hubungan silaturahim semata-mata kerana Allah SWT. Hubungan yang di tuntut bukan sahaja hubungan keduniaan semata-mata tetapi yang lebih penting bagaimana kita ingin menyelamatkan diri kita ,ahli keluarga kita yang lain daripada azab Allah SWT., supaya mereka beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Perhubungan yang baik terhadap ahli keluarga ini perlulah sentiasa di lakukan bertepatan dengan petunjuk Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Sekiranya ada ahli keluarga kita yang kafir atau fasik, jalinan kekeluargaan dapat di lakukan dengan nasihat yang baik serta memberi tunjuk ajar selain berusaha mengajak mereka kejalan yang benar dengan hikmah.

Menjalinkan silaturahim memiliki begitu banyak menfaat antaranya sebagai usaha melaksanakan perintah Allah dan RasulNya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu, merapatkan hubungan dan peluang dakwah yang lebih baik.

Berdasarkan hadis di atas Allah SWT akan memperluaskan rezeki dan di panjangkan umur kepada sesiapa sahaja yang sentiasa menjalin ikatan tali silaturahim. Cara bagaimana kita mendapat rezeki yang lumayan dan umur yang panjang adalah hak mutlak Allah SWT. Dia akan beri kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Hubungan baik juga membolehkan berkongsi ilmu serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang terbina, menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka dan akhirnya di beri jaminan syurga oleh Allah SWT.

Daripada Abu Ayyub al-Ansari, katanya : "Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah SAW. "Wahai Rasulullah, beritahu kepadaku suatu amal yang dapat masukkan aku kedalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka."

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Engkau beribadah kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menjalinkan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Realiti masyarakat kita masa kini amat membimbangkan, hubungan kekeluargaan sudah mula banyak berlaku keretakan. Ibu bapa sudah tidak di hormati, anak-anak sanggup derhaka dan meninggalkan mereka hanya kerana menolak pilihan teman hidup mereka, dan sanggup mengadai maruah semata-mata kerana mengikut perasaan dan hawa nafsu. Ada di kalangan anak-anak pula sanggup menghantar ibu bapa mereka kepusat-pusat jagaan orang-orang tua dan membiarkan mereka kesaorangan. Pergaduhan dan permusuhan juga berlaku di kalangan adik beradik kerana berebut harta pusaka dan ada di kalangaan mereka sanggup bergaduh hingga membawa kepada kecederaan, dakwa mendakwa di mahkamah dan pulau memulau. Kadangkala hal-hal yang kecil dan remeh-temeh boleh menyebabkan permusuhan di kalangan ahli keluarga dan saudara mara hingga tidak mahu bertegur sapa.
Sedangkan kalau mereka tahu betapa besarnya dosa memutuskan silaturahim sesama mereka, mereka tidak akan sanggup melakukannya.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya, mengikut kitab suci al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w dalam kita menjalinkan hubungan ukuwah Islamiyyah dan silaturahim supaya Allah SWT. mencucuri rahmat-Nya kepada kita semua.

Teruskanlah kerja-kerja dakwah dan tarbiah tanpa penat dan jemu, perbetulkanlah diri kita, ahli keluarga , jiran, rakan-rakan, seterusnya anggota masyarakat kita semuga mereka kembali pada ajaran Islam sebenarnya.

No comments: