Wednesday, July 8, 2009

Di ampunkan Dosa Kerana Seekor Anjing


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Ketika seorang lelaki sedang dalam perjalanan, ia berasa dahaga. Lantas ia masuk ke dalam sebuah telaga yang dalam, lalu minum air di dalamnya. Setelah dia keluar di dapatinya seekor anjing di tepi telaga sedang menjelirkan lidahnya dan menjilat-jilat tanah lembap kerana kehausan. Orang itu berkata : 'Anjing ini merasakan apa yang baru sahaja saya rasakan.'

Kemudian ia kembali turun ke dasar telaga semula untuk mengambil air. Dia telah mengisi kasutnya dengan air lalu membawanya naik dengan mengigit kasutnya itu. Sesampainya di atas ia memberi minum anjing tersebut. Kerana perbuatannya itu Allah SWT. berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."

Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah jika kami mengasihi binatang, kami juga mendapat pahala?"

Baginda SAW  bersabda yang bermaksud :
"Berbuat baik kepada setiap makhluk pasti mendapat pahala."

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Pengajaran-pengajaran yang dapat di ambil daripada kisah di atas adalah :

1.Kita di anjurkan untuk sentiasa berbuat baik walaupun kepada haiwan.

2.Syurga adalah tempat yang penuh nikmat yang di kurniakan oleh Allah SWT  kepada hamba-hamba-Nya yang beramal soleh di dunia ini. Walaupun sesuatu amalan itu nampak kecil tetapi ianya besar dan bernilai di sisi Allah SWT. seperti contoh memberi minum air kepada seekor anjing yang kehausan sehingga Allah SWT. mengampunkan dosa hamba Allah yang memberi bantuan tersebut dan di masukkan-Nya kedalam syurga.

No comments: