Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. dia berkata Rasulullah SAW bersabda :
Ketika malam di Israkkan, aku mencium bau yang sangat wangi , lalu aku bertanya :
"Wahai Jibril, bau apakah ini?"
Jibril menjawab : "Ini adalah bau wangi tukang sikat anak perempuan Firaun (Masitah) dan anak lelaki tukang sikat itu."
Aku bertanya : "Bagaimana boleh berlaku demikian?"
Jibril menjawab : "Ketika dia menyikat rambut puteri Firaun tiba-tiba penyikatnya terjatuh. Wanita itu telah mengambilnya kembali dengan membaca Bismillah (dengan nama Allah)"
Anak putri Firaun berkata : "Hai dengan nama bapaku"
Wanita tukang sikat menjawab : "Tidak, Allah ialah Tuhanku dan Tuhanmu demikian juga Tuhan ayahmu."
Puteri Firaun bertanya : "Kalau begitu kamu beriman kepada Tuhan selain ayahku?"
Wanita tukang sikat itu menjawab : "Ya"
Puteri Firaun berkata : "Akan aku beritahu hal ini pada ayahku."
Wanita tukang sikat menjawab : "Silakan"
Kemudian puteri Firaun memberitahu kejadian ini kepada ayahnya dan akhirnya wanita tukang sikat di panggil Firaun, dan di soal siasat. "Betulkah kamu mempunyai Tuhan selain aku?"
Wanita tukang sikat menjawab : "Ya, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah."
Firaun lalu memerintahkan untuk di sediakan periuk besar daripada tembaga untuk di panaskan. Satu persatu anak wanita tukang sikat itu mula di lemparkan ke dalam periuk yang mendidih."
Beberapa saat kemudian, wanita tukang sikat mengajukan permohonan kepada Firaun, dengan berkata : "Ada satu permintaan daripadaku."
Firaun menjawab : "Apa permintaanmu"
Wanita tukang sikat menjawab : "Aku ingin tulang tubuhku dan tulang-tulang anak lelakiku kelak di bungkus di dalam satu kain untuk kemudian di kuburkan."
Firaun menjawab : "Akan aku penuhi permintaanmu"
Apabila semua anak lelaki wanita tukang sikat itu telah di lemparkan ke dalam periuk mendidih, tibalah giliran anak yang masih menyusu. Pada saat itu wanita tukang sikat kelihatan ragu-ragu, tetapi tiba-tiba bayi yang masih menyusu itu berkata : "Wahai ibuku, campakkanlah diri ibu ke dalam periuk yang mendidih itu, kerana sesungguhnya seksa dunia ini jauh lebih ringan di banding seksa akhirat."
(Hadis Riwayat Ahmad )
Kisah yang di nukilkan di atas menyedarkan kepada kita bahawa bagaimana seorang wanita yang beriman kepada Allah SWT sanggup mengorbankan dirinya dan ahli keluarganya semata-mata untuk mempertahankan akidahnya daripada syirik kepada Allah SWT. Hidup di dunia hanya sementara di akhirat adalah tempat yang kekal abadi. Setiap manusia akan mati dan tidak ada seorang manusia pun yang boleh hidup selama-lamanya di dunia yang fana ini. Yang penting di saat akhir kematian kita , dan kita bermohon kepada Allah SWT agar di akhir kehidupan kita dengan mengucap Kalimah Syahadah.
Untuk kita kekal bersama-sama Kalimah Tayyibah ini, amalan hidup kita , perjuangan kita , matlamat dekat dan jauh kita dan kecintaan kita mestilah berpaksikan kepada kalimah ini iaitu "Tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu sebenar-benarnya Pesuruh Allah"
Apabila usaha-usaha kita untuk menegakkan kalimah ini untuk diri kita , ahli keluarga dan seterusnya masyarakat kita , insya Allah , Allah SWT. akan meredai hidup kita dan di letakkan bersama-sama para syuhada seperti wanita tukang sikat puteri Firaun.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jadikan kisah di atas sebagai pengajaran dan panduan kita :
1.Tetapkan bersabar dan teguh ketika menghadapi fitnah dalam urusan akidah yang menjadi prinsip kehidupan.
2.Orang yang bersabar dengan berpegang teguh pada ajaran Islam dan tidak takut di cela akan memperolehi pahala dan ganjaran yang sangat besar, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : " Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang di berikan pahala tanpa batas." (Surah al- Zumar ayat 10)
3.Seorang muslim di bolehkan mengajukan permintaan yang mengandungi kebaikan sekali pun kepada orang yang zalim. Wanita tukang sikat puteri Firaun meminta agar tulang tubuhnya dan anak-anaknya di kuburkan di dalam satu liang lahat.
4.Sesungguhnya Allah SWT sentiasa memberi jalan keluar untuk para waliNya daripada musibah atau bencana yang menimpa.
5.Karamah termasuk dalam kategori peristiwa aneh dan luar biasa yang di anugerahkan kepada orang yang taat kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment