Thursday, July 9, 2009

Siapakah Orang Muflis di Hari Akhirat?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh (sembahyang, puasa dan zakat) yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan yang membawa kepada dosa. Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi Orang Muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam neraka.

Oleh itu ingatlah, bahawa orang yang paling rugi di akhirat nanti adalah Orang Muflis ,semasa di dunia tidak berhati-hati dalam tindakan dan amalannya, banyak di dorong oleh hawa nafsu dan pujukan syaitan. Pepatah melayu ada berkata : “Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu .“ Anggota manusia yang paling bahaya adalah lidah. Walaupun dia lembut dan tidak bertulang tetapi apabila silap menggunakannya ianya boleh menghumban pemiliknya masuk kedalam neraka.

Sahabat yang dimuliakan,
Hidup di zaman siber ini, cabarannya amat hebat. Bertugas sebagai pengarang media, wartawan, penulis blog, penulis bebas, pengulas dan pengacara radio dan tv dan ahli -ahli politik, kesemua mereka ini amat perlu berhati-hati di dalam memberi apa-apa pandangan dan ulasan mengenai peribadi sesaorang yang ingin di nyatakan. Sekiranya apa yang di katakan tidak betul dan berbentuk fitnah dan mengumpat, mereka akan di pertanggung jawabkan di hadapan Allah SWT, tangan yang menulis dan lidah yang berkata-kata ini akan menjadi saham untuk memotong amalan-amalan kebajikan pelaku-pelakunya untuk di berikan kepada mangsa-mangsa yang teraniaya di atas perbuatannya.Bayangkanlah sekiranya berita palsu tersebut telah tersebar di dalam internet dan di baca atau di dengar oleh berjuta-juta manusia di dunia ini, macamana kita hendak tarik balik berita tersebut? Oleh itu berhati-hatilah sebelum membuat sesuatu tindakan supaya amalan kebajikan kita tidak menjadi sia-sia dan tidak dapat membantu kita di akhirat nanti kerana telah habis di bayar hutang untuk dosa-dosa kita.

Dari itu kita perlulah membuat persiapan di dunia ini dengan mengerjakan amalan-amalan soleh dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. dan tinggalkan segala perbuatan dosa dan menyakiti orang lain.Hanya melalui proses tarbiyyah imaniah yang berterusan sahaja akan dapat memandu kita di jalan yang lurus dan di redhai Allah SWT.

No comments: