Wednesday, July 1, 2009

Kisah Pengajaran Kematian Yang Buruk. (Su'ul Khatimah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat kisah pengajaran kematian yang buruk (su'ul khatimah) kerana meninggalkan solat, tidak mahu membayar zakat dan benci kepada nasihat yang baik.

Ada seorang penduduk di zaman Khalifah Saidina Abu Bakar r.a. telah meninggal dunia. Setelah di mandi dan di kafankan, lantas di letakkan arah di sudut rumah untuk di sembahyangkan. Semasa yang hadir telah bersaf-saf hendak memulai menyembayangkannya , jenazah itu bergerak-gerak, sehingga mereka yang berada berhampiran jenazah merasa takajub dan hairan. Mereka saling berbisik dan bertanya, dan menyangka bahawa si mati hidup kembali.

Salah seorang dari mereka maju kehadapan dan membuka ikatan kain kafan yang mengikat si mati. Sungguh-sunguh sangat terperanjat mereka, tatkala kain kafan si mati telah terbuka, mereka melihat si mati tetap mati, hanya di dalam kain kafan tersebut terdapat seekor ular sedang membelit tubuh si mati , seraya mengiggit seluruh tubuhnya , serentak mereka yang hadir di sana menyuruh mengambil kayu untuk memukul ular itu. Belum sempat mereka mendapatkan kayu, si ular lantas berkata : “Asyhaduallaa ilaaha illallaah, waasyhadu anna Muhammadar Rasulullah , apakah sebabnya kamu hendak membunuh aku. Aku hanya atas perintah Allah menyeksa mayat ini. Aku di suruh menggigitnya seraya menyeksanya hingga hari Kiamat”

Orang ramai hairan, seraya serentak bertanya : “ Apakah sebabnya maka engkau di suruh menyiksa mayat kami ini? Apakah dosa dan kesalahan mayat ini?
Jawab ular itu : “Mayat ini selama hayatnya berbuat tiga macam kesalahan, yang menyebabkan dia di siksa :
Pertama : Bila dia mendengar azan , tetapi tidak di hiraukannya, dan dia tidak pergi menunaikan solat dengan berjemaah.
Kedua : Dia engan mengeluarkan zakat hartanya.
Ketiga : Dia tidak mahu mendengarkan nasihat baik dari alim ulama.
Maka sebabnya dia di seksa sedemikian rupa."
 
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri sendiri, sejauhmana kita sendiri  telah melaksanakan kewajipan yang diamanahkan oleh Allah SWT .

Pertama, menunaikan  solat lima waktu di masjid tepat pada waktunya tanpa melalaikannya.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : “Solat itu adalah tiang agama. Maka sesiapa yang mendirikannya , sesungguhnya ia menegakkan Agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya ia telah merobohkan Agamanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua,  menunaikan zakat apabila cukup nisab dan tempuhnya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang Allah kurniakan harta kepadanya dan dia tidak menunaikan zakatnya, maka Allah akan jadikan (hartanya) pada hari kiamat nanti seekor ular botak (sangat bisa) dan mempunyai dua tompok hitam di atas matanya (jahat), ular itu akan membelit leher dan dagunya (tuan punya harta) sambil berkata : 'Akulah hartamu, akulah yang kamu simpan dahulu'." (Hadis riwayat Bukhari, Nasaie dan Ahmad)

Ketiga, mendengar nasihat-nasihat yang baik daripada ulama dan orang soleh. 


Daripada Tamim ad-Daari r.a. bahawa Nabi SAW. telah bersabda (maksudnya) : “Ad-deen itu nasihat ( 3 kali ) maka kami bertanya: Untuk siapa wahai Rasulullah? Sabdanya:"Untuk Allah, kitabnya, Rasulnya, pemimpin dan yang dipimpin. (Hadis Riwayat Muslim, no. 55 dalam kitabul Iman)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita jadikan iktibar daripada kisah yang tersebut di atas, kerana setiap suatu peristiwa terdapat hikmah dan pengajaran.  
Jadikanlah diri kita mukmin yang sentiasa bersyukur dan selalulah menghadirkan diri untuk mengikuti majlis-majlis ilmu yang di adakan dimasjid-masjid , surau-surau atau ceramah agama di radio atau television untuk meningkatkan kefahaman agama.

Semoga kita semua sentiasa dirahmati dan diredai oleh Allah SWT di dunia dan akhirat dan akan mendapat husnul khatimah insya Allah.



No comments: