سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Abd Rahman, Abdullah bin Umar bin Khatthab r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : “Dahulu sebelum kamu, ada tiga orang berjalan-jalan kemudian mereka pergi ke sebuah gua untuk berteduh, maka mereka pun masuk kedalamnya. Kemudian tiba-tiba ada batu dari atas bukit yang bergolek dan menutup pintu gua itu sehingga mereka tidak dapat keluar.
Salah seorang daripada mereka berkata “Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu sekalian daripada bencana ini kecuali apabila kamu sekelian berdoa kepada Allah SWT dengan menyebutkan amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan."
Salah seorang antara mereka telah berdoa : ‘Wahai Allah, saya mempunyai ayah dan ibu yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu kepada kedua-duanya dahulu, sebelum saya memberikan kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari saya terlambat pulang daripada mencari kayu dan saya dapati kedua-duanya sudah tidur.Saya terus memerah susu untuk minuman mereka. Kerana saya mendapati mereka berdua tidur maka saya pun tidak mahu membangunkan mereka. Kemudian saya berjanji tidak akan memberi minum susu itu samaada kepada keluarga maupun kepada anak-anak sebelum saya memberi minum kepada ayah bonda.’
‘Saya menunggu ayah dan bonda, hingga terbit fajar barulah kedua-duanya bangun sementara anak-anak menangis, mereka datang kepada saya. Setelah mereka bangun ,saya berikan minuman susu kepada kedua-duanya. ‘
‘Wahai Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan wajah-Mu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini.’
Maka bergeraklah sedikit batu itu tetapi, masih belum membolehkan mereka keluar dari gua itu.
Orang kedua pula merayu kepada Allah SWT dengan bermunajat : ‘Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai saudara sepupu perempuan yang sangat saya cintai, kemudian saya selalu memujuknya untuk melakukan zina tetapi dia selalu menolaknya. Selang beberapa tahun dia di timpa kesusahan menyebabkan dia datang kepada saya meminta bantuan. Lalu saya berikan kepadanya 120 dinar, dengan syarat dia mahu berzina dengan saya. Kali ini dia berada dalam keadaan terdesak menyebabkan dia pun bersetuju.
Ketika kami hampir-hampir melakukan perbuatan yang hina itu dalam keadaan saya berada di antara kedua-dua kakinya dia berkata :‘Takutlah kamu kepada Allah dan jangan kau robekkan selaput daraku kecuali dengan cara yang benar’
Kemudian saya meninggalkannya, padahal dia seorang yang saya sangat cintai dan saya telah meredakan bantuan yang saya berikan kepadanya.’
‘ Wahai Allah, jika saya buat seperti itu kerana mengharapkan reda-Mu, gerakkanlah batu yang menutup gua ini.’
Maka bergeraklah batu itu lagi sedikit tetapi mereka masih belum dapat melepaskan diri keluar dari gua itu.
Orang ketiga juga berdoa. : ‘Wahai Allah, saya menggaji beberapa orang pekerja dan semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna keculi ada seorang yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gaji nya terlebih dahulu. Kemudian gaji itu saya laburkan dalam perniagaan sehingga menjadi banyak. Selang beberapa lama dia datang dan berkata : ‘Wahai hamba Allah berikan gaji saya yang dulu itu. ‘
Saya berkata : ‘Semua yang kamu lihat itu baik unta, lembu, kambing termasuk budak yang mengembalakannya ialah gajimu.’
Dia berkata : ‘Wahai hamba Allah, janganlah engkau mempermainkan saya.’
Saya menjawab : ‘Saya tidak mempermainkan kamu.’
Kemudian dia pun mengambil semuanya dengan tidak meninggalkan sisa sedikit pun.
‘Wahai Allah jika saya berbuat itu kerana mengharapkan reda-Mu, maka gerakkanlah batu itu.’
Akhirnya batu itu pun bergerak dan mereka dapat keluar dari gua itu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Berdasarkan kisah di atas yang di ceritakan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat-sahabat baginda, dapatlah kita mengambil beberapa pengajaran seperti berikut :
1. Kita di anjurkan untuk memanjatkan doa pada saat-asaat genting dan sukar, atas dasar melaksanakan perintah Allah. Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu”
(Surah Ghafir ayat 60 )
2. Menjalankan hubungan dengan Allah SWT dengan cara yang di syariatkan, yakni dengan amal yang soleh.
3.Takwa merupakan faktor penyelamat, terutama berhadapan dengan situasi yang sukar.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan jalan keluar.” (Surah at- Talaq ayat 2)
4. Keutamaan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa adalah lebih daripada yang lain.
5. Ijarah, merupakan satu akad yang di haruskan dalam Islam , untuk memperoleh menfaat dalam waktu tertentu dengan bayaran setimpal.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak) mu untukmu, maka berikanlah kepada mereka upahnya” (Surah at-Taiaq ayat 6)
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Ada tiga golongan yang aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat, antaranya : Seseorang yang mengupah manusia, namun setelah di selesaikan tidak di bayar upahnya.”
6.Menepati janji merupakan tanda kesempurnaan iman.
7.Seorang muslim bertanggungjawab menjalankan amanah yang di berikan kepadanya.
8.Amalkan berlapang dada dalam urusan pergaulan dengan orang lain.
No comments:
Post a Comment