سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Said al- Khudri r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Bahawa pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh manusia sehingga mencapai 99 orang. Pada suatu hari, dia ingin bertaubat lalu mencari-cari orang yang berilmu di negeri itu yang dapat memberikan bimbingan. Dia telah di bawa kepada seorang pendita, lantas dia menceritakan kejahatannya membunuh 99 orang dan dia bertanya, “Adakah taubatku masih di terima?”
Kemudian pendita itu mengatakan, “Tidak, taubatmu tidak akan di terima.”
Lantas orang itu membunuh sang pendita tadi. Maka genaplah menjadi 100 orang yang telah di bunuhnya. Dia pun terus mencari-cari lagi orang paling alim yang lain di negeri itu untuk meminta nasihat. Maka dia pun di bawa kepada seseorang yang paling alim (ahli ilmu).
Dia menceritakan bahawa ia telah membunuh 100 orang, maka apakah masih di terima taubatnya?
Orang alim itu menjawab, “Ya, masih boleh. Siapakah yang berhak menghalang seseorang untuk bertaubat? Pergilah ke daerah sana kerana penduduk daerah itu menyembah Allah SWT. Sembahlah Allah SWT. bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali lagi ke kampung halamanmu kerana perkampunganmu daerah hitam (banyak melakukan maksiat).”
Maka orang itu pergilah ke tempat tersebut. Apabila sampai di tengah perjalanan , dia pun meninggal dunia. Kemudian malaikat rahmat dan malaikat azab bertengkar merebut orang itu.
Malaikat rahmat membela, “Dia pergi ke sana kerana benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah SWT.”
Sedang malaikat azab berhujah dengan katanya, “ Sesungguhnya dia belum pernah berbuat kebajikan walaupan sedikit.”
Lantas seorang malaikat yang lain di utuskan Allah dan kedua-dua malaikat itu bersepakat menjadikannya sebagai hakim. Malaikat yang menjadi hakim itu berkata, “Ukurlah jarak kedua-dua daerah itu, nasibnya akan di tentukan berdasarkan yang lebih hampir. “
Apabila di ukur, mereka mendapati daerah yang ingin di tuju itulah yang lebih hampir. Dengan demikian, dia di terima oleh malaikat rahmat.”
(Hadis Riwayat al- Bukhari)
Sahabat yang dimuliakan,
Setiap manusia ada melakukan kesalahan dan dosa. Sebaik-baik mereka yang bersalah adalah minta ampun dan bertaubat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri bersifat maksum dan telah di ampunkan dosa baginda yang dahulu dan akan datang oleh Allah SWT tetap beristigfar 100 kali sehari. Sepatutnya kita lebih dari itu kerana betapa banyaknya dosa dan kesalahan-kesalahan yang kita lakukan terhadapNya.
Basahkanlah lidah kita dengan menyebut nama Allah SWT dan beristigfarlah setiap masa dan ketika dan meminta ampun di atas dosa-dosa kita yang lalu. Apabila hati ini hidup dengan zikir akan terbinalah jambatan hati dan perhubungan dengan Allah Azzawajalla.
Pengajaran-pengajaran yang boleh di ambil :
1. Seseorang yang sedang menghadapi masaalah hendaklah berdamping dengan seorang ulama atau ustaz agar dapat menyelesaikan masaalahnya.
2. Orang berilmu (alim) lebih utama daripada ahli ibadah (abid) kerana orang yang berilmu memutuskan sesuatu masaalah berdasarkan hukum dan nas yang terdapat di dalam al- Quran dan Sunnah bukan berdasarkan pemikiran semata-mata.
3. Orang yang ingin bertaubat dengan Taubat Nasuha hendaklah berusaha mengubah cara hidupnya dengan menjauhkan diri daripada perkara yang merangsangnya melakukan perbuatan dosa dan tidak mengulangi lagi dosa-dosa lama yang di buat.
4. Islam menganjurkan agar kita mencari tempat tinggal dalam kawasan yang aman dan kondusif dalam rangka mewujudkan semangat tolong menolong dalam melakukan kebaikan.
5. Jangan sewenang-wenangnya memberikan keputusan dalam perkara yang tidak pasti.
6. Allah mengampuni hambaNya sesuai dengan niat dan azamnya sekali pun ia belum mampu melaksanakan perbuatan yang di niatkan.
7.Kadangkala malaikat tidak mengetahui perbuatan setiap hamba Allah sebagaimana di sebutkan dalam hadis di atas. Jika mereka mengetahui segala perkara, sudah tentu tidak akan berlaku perbezaan pendapat mereka. Keputusan muktamad di serahkan kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment