Friday, October 9, 2009

Bersedekahlah Setiap Hari

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu amalan yang terbaik bagi setiap orang Mukmin adalah bersedekah. Bersedekah dapat membersihkan hati daripada sifat kikir dan bakhil. Sedangkan bakhil adalah satu sifat yang dicela oleh Allah SWT. Bersedekah bukan hanya terletak pada pemberian berbentuk wang ringgit sahaja tetapi semua kebaikan dan amal soleh adalah dikira juga sebagai sedekah.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :"Tiap anggota badan dari manusia wajib atasnya melakukan sedekah tiap hari apabila terbit matahari. Engkau mendamaikan dua orang (yang berselisih) itu adalah sedekah, menolong orang berkenaan dengan tunggangannya (kenderaannya), engkau mengangkatnya atau mengangkat barang-barangnya keatas tungganganya itu adalah sedekah. Dan kata-kata yang baik itu adalah sedekah, dan setiap langkah kaki untuk solat itu adalah sedekah serta menyingkirkan sesuatu rintangan dari jalan itu adalah sedekah." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Suatu penegasan dari Rasulullah SAW, bahawasanya seorang hamba manakala tiba waktu pagi kemudian berniat melakukan kebajikan untuk dirinya dan untuk orang lain, maka ia berada di dalam naungan pengawasan Allah. Kerana, seorang hamba yang diberi pahala sejal awal harinya atau di tengah-tengah harinya adalah orang yang mendapat inyah Ilahiyah.

Rasulullah SAW ketika bersabda kepada anak Adam, "Setiap anggota badan dari manusia wajib atasnya sedekah," pada hakikiatnya baginda menghendaki kebaikan dari anak Adam tersebut Rasulullah s.a.w. menghendaki agar ia menjadi hamba yang mahu bersyukur dan mahu memanjatkan segala pujian kepada Allah. Baginda memberitahu tentang cara memuji, bersyukur dan bersedekah dengan anggota badan. Sehingga setiap pagi muncul, ia mendapati anggota-anggota badan itu dalam keadaan sehat dan baik.

Sahabat yang dimuliakan,
Jadikanlah diri kalian hamba Allah SWT yang sentiasa patuh dan taat kepada suruhan-Nya, dipagi hari ketika matahari mula menampakkan cahayanya, kalian telah berniat untuk melakukan kebajikan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat umum, ingatlah kalian sedang berada dibawah pengawasan Allah SWT. 

Sesiapa yang berada dibawah pengawasan, pemeliharaan dan penjagaan Allah SWT. maka segala amalannya dikira sebagai pahala sedekah. Ia akan sentiasa bersahabat dengan malaikat yang setia mencatat kebaikan baginya dan menghapuskan kesalahannya. Jika dipagi hari kalian mendapati diri kalian sehat walafiat, terbebas dari penyakit maka hendaklah bersyukur kepada Allah SWT. dan setiap anggota dan pancaindera harus bersedekah iaitu berzikir dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan mentaati Allah SWT.

Dalam hadis diatas menjelaskan bahawa mendamaikan dua oarang muslim yang berselisih faham, membantu seseorang dengan menaiki kenderaan,kata-kata yang baik, pergi ke masjid untuk solat berjemaah dan membuangkan halangan dijalan semuanya adalah sedekah iaitu Allah SWT. akan memberikan pahala dan ganjaran.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita mengerjakan amal-amal soleh dan amal kebajikan dan memohon agar Dia berkenan memberikan rezeki kepada kita, berupa kesenangan untuk melakukan kebajikan dan meninggalkan kemaksiatan serta memperbanyakan amal soleh, sehingga sedekah kita akan terus bertambah disisi-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Dekat dan Maha Mengabulkan segala doa para hamba-hamba-Nya.

No comments: