Thursday, October 8, 2009

Bersyukurlah Supaya Sentiasa Cemerlang

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bertakwalah dengan sebenar-benar takwa, semoga kalian menjadi sebaik-baik manusia yang membawa kebaikan kepada manusia lain.

Perkara terbesar yang sangat diharapkan daripada kalian ialah tumpuan seluruh matlamat hidup semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Inilah sahaja yang akan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Serta inilah juga yang akan memastikan kalian menjadi insan yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat serta agama dan negara.

Salah satu sifat terpuji yang membawa kepada matlamat keredaan Allah adalah sifat sentiasa bersyukur. Terdapat dua sebab kenapa kita diminta sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. iaitu :

Pertama, supaya berkekalan nikmat yang Allah kurniakan. Jika tidak disyukuri nikmat itu akan hilang.

Kedua, supaya nikmat yang kita perolehi akan bertambah.

Sahabat yang dimuliakan,
Pada hakikatnya dengan bersyukur, kenikmatan akan kekal dan tetap menjadi milik kita. Sebaliknya,apabila tidak disyukuri, nikmat akan hilang dan berpindah tempat. Disamping itu, bersyukur merupakan pengikat nikmat yang diberikan Allah.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan Allah telah membuat perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang selalu mereka perbuat." (Surah An-Nahl ayat 112)

Seterusnya lihat pula firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7, yang bermaksud : "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kamu."

Nikmat Allah terbahagi dua iaitu :

Pertama, nikmat dunia.

Kedua, nikmat akhirat.

Nikmat dunia pula terbahagi dua iaitu :
Pertama, nikmat bermanfaat
Kedua, nikmat menolak mudharat.

Melalui nikmat bermanfaat Allah mengurniakan wajah yang sempurna serta tubuh yang lengkap. Nikmat ini disertai lagi bermacam-macam kemudahan hidup berupa makanan, pakaian, kediaman serta berbagai-bagai bentuk kemewahan. Manakala, nikmat menolak mudarat pula bermaksud Allah SWT menyelamatkan serta menjauhkan kita daripada sebarang perkara yang membahayakan diri kita. Allah SWT juga menjauhkan kita daripada bermacam-macam halangan yang cuba didatangkan oleh manusia, jin maupun binatang.

Nikmat akhirat juga terbahagi kepada dua iaitu :
Pertama, mendapat taufik Allah SWT.
Kedua, mendapat pemeliharaan Allah SWT.

Nikmat mendapat taufik maksudnya Allah SWT memberikan petunjuk serta mentakdirkan kita menjadi muslim. Kemudian Allah SWT melimpahkan taufiknya yang membuat kita menjadi taat. Manakala nikmat mendapat pemeliharaan Allah SWT bermaksud kita dipelihara daripada sifat kufur, musyrik, kesesatan serta maksiat.

Sahabat yangdikasihi,
Sesungguhnya semua nikmat akan berterusan bila mana kita bersyukur kepada Allah. Seandainya rasa bersyukur itu sentiasa berlangsung dalam kehidupan kita, maka nikmat berkenaan akan bertambah tanpa kita duga.

Maksud bersyukur menurut Ibnu Abbas r.a : "Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah SWT, baik secara sembunyi ataupun terang-terangan serta secara lisan maupun di dalam hati. Setelah itu sedaya upaya menjauhi maksiat serta kemungkaran."

Tegasnya kewajipan kita hanyalah bersyukur serta mengaggungkan Allah SWT sehingga kita tidak membuat sebarang maksiat. Disamping beroleh nikmat, kadangkala kita juga ditimpa musibah. Dalam hal ini kita mestilah menghadapinya dengan bersabar. Lebih baik jika kita mencontohi sikap Abdullah bin Umar dalam menghadapi musibah.

Abdullah bin Umar berkata, "Aku merasakan ada empat macam kenikmatan dalam berhadapan dengan musibah :

Pertama, musibah itu tidak mematikan iman dan agama meskipun sedih berhadapan dengan kematian ahli keluarga.

Kedua, musibah itu bukan malapetaka terbesar, kerana semasa berhadapan musibah berat, ada lagi musibah yang lebih besar.

Ketiga, ada nikmat dikurniakan keredaan semasa menerima musibah, dan

Keempat, nikmat menunggu pahala bersabar."

Ketahuilah musibah bersifat tidak kekal. Dengan bersabar kita akan lebih merasai manisnya nikmat bersyukur.

Sahabat,
Laksanakanlah sepenuhnya konsep syukur dalam aktiviti harian kalian agar sentiasa cemerlang serta dapat membawa kebaikan kepada manusia lain.

Ingatlah, bersyukur bukan setakat berkata 'alhamdulillah' tetapi bersyukur yang sebenarnya nampak penghayatan dalam kehidupan.

Tanda kita bersyukur diatas nikmat rezeki yang dikurniakan Allah SWT. kita laksanakan zakat, sedekah dan amal jariah. Tanda kita bersyukur diatas nikmat kesihatan tubuh badan dan akal fikiran kita melaksanakan ibadah dan amalan soleh dan sentiasa mentaati Allah SWT dan Rasul. dan tanda kita bersyukur diatas nikamat ilmu pengetahuan yang kita peroleh adalah kita pergunakan ia untuk menegakkan Islam dan melaksanakan peraturan hidup yang diturunkan Allah SWT. kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

No comments: