Wednesday, October 7, 2009

Khusyuk Dalam Solat


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya."

Menurut Imam Ghazali bahawa solat itu ialah merupakan munajat seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu ia dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawaduk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah SAW. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Oramg yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah.

Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih awal di akhirat kelak oleh Allah berbanding amalan-amalan lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan lain.

Antara amalan untuk mendapat khusyuk dalam solat dan kemanisan ibadah ada 17 perkara :

1.Sentiasa melaksanakan solat berjemaah (yang paling afdal ialah di masjid).

2.Menjaga makan minum agar terjamin halalnya (pastikan tidak di makan makanan yang haram dan syubhat kerana ianya boleh mengelapkan hati).

3.Membanyakkan sedekah kepada fakir dan miskin.

4.Jangan solat dengan menangguh untuk membuang air besar atau kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.

5.Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau do'a apabila air melalui di tiap-tiap anggota.

6.Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti akan menghadap pembesar negeri.

7.Tempat sujud dipastikan tidak ada gambar yang menganggu fikiran atau membimbangkan hati.

8.Mengingatkan mati dan kemungkinan itulah solat kita yang terakhir dalam hidup.

9.Menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.

10.Memenuhkan dada dalam perasaan takut dan rendah diri kepada Allah yang melihat segala gerak geri kita.

11.Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Al-Quran dan segala zikir.

12.Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, selawat atas Nabi SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.

13.Memandang ketempat sujud dan tidak terlalu banyak mengerakkan anggota badan.

14.Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.

15.Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud.

16.Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan solat.

17.Jangan menjeling ke kiri dan ke kanan.

Walau apapun syarat khusyuk yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh Rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” (Surah Al-Baqarah ayat 45-46)

No comments: