Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ingatlah bahawa kehidupan manusia ini, walau apapun yang kita buat dan ke mana kita pergi, apapun perancangan kita, akhirnya kita akan kembali kepada Allah SWT. Hakikat hidup itu ialah bagaimana kesudahan kita mati. Walau amal banyak sekalipun, nilai amal tadi ialah kalau akhir kalam kita baik, baiklah amal kita dan jika sebaliknya, kita akan menanggung kerugian yang amat besar di akhirat.
Oleh itu, jangan lalai daripada mengingati kematian, bagaimana akhir kalam kita. Orang-orang yang Muttaqin selalu fikir bagaimana keadaan dirinya ketika sakaratul maut. Mereka bimbang akan akhir kalam mereka, mereka takut tercabut iman ketika mati.
Seorang ulama sufi bernama Sufyan at-Thauri selalu menangis pada waktu malam. Kadang-kadang anak murid bimbang melihat keadaan beliau, sehingga mereka bertanya, "Wahai guru, mengapa engkau selalu menangis, sedangkan kehidupanmu penuh dengan amal soleh. Pasti Allah ampunkan dosa-dosamu."
Beliau menjawab, "Wahai muridku, aku tidak bimbang bertemu Allah dengan membawa dosa yang banyak, tetapi aku bimbang ketika hampir mati nanti, tercabut imanku ketika itu."
Begitulah ketakutan orang soleh dan para auliya di mana mereka itu tidak kagum langsung pada amal, tidak dihitung langsung amal mereka. Sebaliknya yang dihitung ialah bagaimana akhir kalam mereka nanti, samaada baik atau buruk, kerana kita dalam ilmu Allah. Kita tidak tahu bagaimana akhir kalam kita, bagaimana pandangan Tuhan ke atas kita. Malangnya kita sahaja yang rasa kita sudah baik, banyak beramal tapi bagaimana pandangan Tuhan terhadap amal, zikir dan ibadah kita?
Sahabat yang dimuliakan,
Pandangan manusia berbeza, mungkin manusia tengok kita baik, kuat beramal dan beribadah, tapi Allah bagaimana? Dan apakah jaminan bahawa akhir kalam nanti, kita mati dalam iman atau atau tidak.
Fudail bin 'Iyadh, seorang wali Allah selalu menangis mengenangkan hal ini. Guru beliau dan khadam gurunya, yang selama ini membimbing beliau sehingga mencapai maqam kerohanian yang tinggi pun mati dalam keadaan kufur kepada Allah SWT. Apatah lagi dirinya yang belum dijamin apa-apa oleh Allah SWT. Inilah yang mencemaskan beliau.
Diceritakan ada seorang pencuri kain kapan yang ingin bertaubat di hadapan Abu Yazid al-Bustami. Maka Abu Yazid bertanya kepada orang itu, "Apakah penyebabnya maka engkau ingin bertaubat?"
Ia menjawab, "Lebih kurang seribu kuburan telah aku gali, semua muka mereka itu berpaling dari kiblat, hanya ada dua mayat yang tetap mukanya menghadap kiblat."
Maka Abu Yazid berkata, "Kasihan mereka! Kerana ragu-ragu dengan rezeki menyebabkan muka mereka berpaling dari kiblat." Yang berpaling dari kiblat itu ialah orang yang tercabut iman ketika mati kerana mereka ragu-ragu dengan jaminan rezeki daripada Allah SWT.
Sahabat yangdikasihi,
Ramai manusia hari ini mati dalam keadaan tercabut iman. Jangan rasa kita orang Islam, maka mati Islamlah kita. Itu adalah tipu daya Iblis untuk merosakkan manusia. Sebab itu ramai orang sibuk menghitung pahala amal mereka, tetapi mereka tidak hitung banyak mana pahala itu ditolak oleh Allah SWT, sebab dalam hatinya kotor, penuh dengan penyakit takabur, ujub dan lain-lain. Sedangkan sifat orang bertakwa itu ialah bila beribadah, mereka bimbang kalau-kalau ibadah mereka tidak diterima Allah SWT.
Oleh itu janganlah merasa selamat dengan amal yang banyak, sentiasalah muhasabah, bersihkan hati, banyak mengingati Allah, takut akan murka-Nya dan mengharapkan keampunan-Nya, moga-moga Allah mengurniakan rahmat-Nya kepada kita di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment