Thursday, October 8, 2009

Kemuliaan Kasih Sayang Kerana Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang yang beriman adalah insan yang bersih hati dan jiwanya daripada bersangka buruk kepada saudaranya yang lain. Dia juga tidak akan menyakiti muslim lain dengan lidah dan tangannya. Dari hati dan jiwa yang bersih ini akan melahirkan kasih sayang semata-mata kerana Allah SWT.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ditanya, siapakah yang paling mulia diantara manusia?. Nabi SAW. menjawab yang bermaksud : "Setiap orang yang hatinya 'makhmum' dan lidahnya jujur."

Sahabat r.a bertanya, "Kami tahu seorang yang lidahnya jujur, tetapi apa yang di maksudkan dengan hati 'makhmum'? Baginda menjawab, "Makhmum' ialah orang Muttaqin (menjauhkan diri dari keburukan kerana takut kepada Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa dan kesalahan, tidak mempunyai sedikitpun perasaan dengki atau irihati padanya."

Sahabat yang dimuliakan,
Sifat orang mukmin adalah sentiasa baik sangka kepada saudaranya yang lain. Dia cinta dan kasih pada saudaranya semata-mata kerana Allah SWT. Dia datang berziarah adalah semata-mata kerana Allah SWT dan bukan diatas sebab-sebab ada kepentingan duniawi kerana harta atau kerana hubungan keluarga.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Seorang yang keluar untuk mengunjungi saudaranya dikampung yang lain dan Allah mengutus seorang malaikat untuk menunggunya di perjalanan. (Apabila orang itu sampai ketempat dimana malaikat berada) Malaikat bertanya 'Kemana engkau hendak pergi? '

Dia menjawab : 'Aku pergi kepada saudaraku dikampung ini'.

Malaikat bertanya :' Adakah dia meminjamkan kamu sesuatu yang mana kamu hendak mengambilnya kembali?'

Orang itu menjawab :' Tidak. Kedatanganku semata-mata kerana aku mencintainya kerana Allah'.

Malaikat berkata :' Aku adalah pesuruh Allah yang dihantar kepada engkau untuk memberitahu kepadamu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintainya semata-mata kerana Allah."

(Hadis Riwayat Muslim).

Dari Abdullah bin 'Amr meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mencitai seseorang kerana Allah dan menzahirkan kepada sahabatnya dengan berkata : 'Aku mencintai kamu kerana Allah', maka kedua-dua mereka akan masuk syurga. Orang yang lebih mencintai akan memperolehi darjat yang lebih tinggi dibandingkan dengan yang lain, dan dia lebih berhak pada darjat itu."
(Hadis Riwayat Bazzar dan Targhib)

Rasulullah SAW. pernah menyatakan salah seorang sahabat Ansar adalah ahli syurga, maka Abdullah bin 'Amr r.a. ingin mengetahui apakah amalannya hingga dia telah terpilih menjadi ahli syurga. Abdullah bin 'Amr telah meminta izin ingin menjadi tetamu selama tiga hari dirumah lelaki tersebut untuk melihat amalan-amalannya. Dalam masa tiga hari beliau tidak nampak amalan-amalannya yang istimewa.

Apabila Abdullah bin Amr hendak pulang lelaki tersebut pun berkata : "Engkau telah melihat amalanku, tetapi ada satu sebagai tambahan, aku tidak mempunyai perasaan buruk dalam hatiku tentang seorang muslim. Aku tidak irihati jika Allah menganugerahkan kepada orang lain suatu nikmat istimewa.

Abdullah berkata : "Inilah amalan yang telah menaikkanmu kepada kedudukan itu, dan inilah suatu amalan yang tidak dapat kami lakukan."

(Hadis Riwayat Ahmad, Bazzar dan Mujma uz Zawaid)

Sahabat yang dikasihi,
Begitulah kemuliaan yang Allah SWT. kurniakan kepada hamba-hamba-Nya, yang cinta dan kasih sayang kepada saudaranya. Ciri-ciri inilah menjadi rahsia kemuliaan dan keagungan generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Sebenarnya tidak ada iman tanpa ukhuwah dan tidak ada ukhuwah tanpa iman. Pembinaan masyarakat Islam perlu bermula dari perasaan cinta dan kasih sayang kerana Allah SWT. semata-mata.

No comments: