Thursday, July 29, 2010

Anak-anak Yang Soleh

JANGAN HANYA HARAP ANAK JADI ANAK SOLEH..IBU BAPA PUN PERLU SOLEH


Sering kita terdengar dan dikatakan "beruntung sungguh kamu ni! Ada anak soleh yang bakal mendoakan kamu selepas kamu mati kelak".

Sebenarnya, sifat anak soleh merupakan ni'mat warisan yang senantiasa berterusan sekiranya pandai diurus tadbir dengan betul. Bahkan dialog di atas muncul hasil daripada kefahaman kepada hadith nabi yang bermaksud:

Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim)

Untuk merealisasikan maksud hadis di atas, maka berlumba-lumbalah para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian Tahfiz, pondok atau sekolah agama. Pada satu segi, tindakan ini boleh dikira sebagai satu sikap defensif ibu bapa yang merasakan amalan mereka masih kurang cukup untuk membela nasib mereka di alam barzakh kelak. Oleh itu, langkah termudah ialah dengan menghasilkan anak-anak yang soleh yang mampu dan bakal mendo'akan mereka.

Manakala pada satu sudut lain pula, ianya merupakan satu manifestasi rasa terima kasih ibu bapa terhadap ibu-bapanya dahulu yang sudah berjaya mendidik mereka menjadi anak yang soleh. Lalu anugerah soleh itu dipanjangkan kepada anak-anaknya sendiri agar legasi soleh in berterusan kepada generasi berikutnya.

Namun begitu, kita sebenarnya hampir terlupa akan satu aspek lain yang WAJIB dimiliki oleh ibu-bapa sendiri. Berdasarkan kehendak agama, bukan anak-anak sahaja yang perlu menjadi soleh, bahkan ibu bapa sendiri.
Jelas Allah Firman Allah s.w.t. maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya."
(Surah al-Tur ayat 21)

Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan 2 hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk ni’mat dan hiburan kepada mereka.

Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).
Walaubagaimanapun ni’mat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.

Selain itu, sejarah membuktikan bahawa ibu bapa yang soleh memang boleh memberikan manafaat kepada anak-anak mereka. Contohnya, Allah telah menyelamatkan harta anak-anak yatim yang tertanam di balik dinding yang hampir runtuh di dalam kisah pengembaraan Musa & Khidir di dalam surah al-Kahf ayat 82.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Adapun dinding itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula dahulunya adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
(Surah al-Kahf(18)  ayat 82)

Kesimpulannya, jangan hanya berharap anak-anak anda sahaja menjadi soleh kerana untuk berlaku adil kepada ibu-bapa kita yang telah meninggal dunia, kita adalah anak...mereka juga memerlukan amal soleh kita untuk membantu mereka..sekiranya anda merasakan status soleh masih jauh daripada anda..apa tunggu lagi berusahalah kerana status itu boleh diusahakan oleh semua dengan belajar dan belajar.

Hidup hanya sekali, jangan lepaskan peluang untuk sama-sama menjadi orang pilihan Allah di akhirat, firman Allah maksudnya :
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). "
(Surah al-Nisa' ayat 69)

No comments: