Sahabat yang dimuliakan,
Apabila berada saja kita dibulan Syaaban maka teringatlah kita bahawa Ramadan sudah hampir. Bulan yang penuh keberkatan.
Orang Mukmin yang hati dan jiwanya sentiasa berhubung dengan Allah akan menanti kehadiran Ramadan al-Mubarak adalah umpama penantian sepasang suami isteri yang bahagia menanti kelahiran anak pertama mereka, dengan penuh gembira dan debaran. Persiapan dibuat rapi, persalinan dan pakaiannya telah disediakan awal, takut bila-bila masa, bayi yang dinanti akan lahir kedunia.
Apakah kita merasai perasaan yang sama? Berapa kalikah dalam kehidupan kita telah kita lalui kehadiran Ramadan, adakah setiap kali ia datang telah menambahkan takwa kita kepada Allah? Atau adakah ia datang dan pergi sama dengan bulan-bulan yang lain?
Tinggal beberapa hari lagi bulan Ramadan akan tiba, oleh itu saya mengajak diri saya dan diri sahabat semua, untuk Ramadan kali ini kita membuat persiapan awal lebih rapi dan teliti. Kita penuhi keperluan empat fakulti insan iaitu persiapan jiwa (spritual), fikiran (mental), perasaan (emosi) dan badan (fizikal). Apabila lengkap persiapan ini, insya Allah kualiti puasa dan ibadah kita akan lebih baik untuk kita persembahkan kepada Allah s.w.t.
Terdapat sepuluh persiapan untuk kita menyambut kedatangan Ramadan al- Mubarak :
1.Berdoa kepada Allah s.w.t. semuga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan ketika kedatangan bulan Ramadan :
Nabi s.a.w berdo'a : "Ya Allah! Berkatilah kami didalam Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami kebulan Ramadan"
2.Bersyukur dan memuji Allah diatas kedatangan bulan Ramadan.
3.Gembira dan teruja dengan Ramadan :
Dari Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Apabila tibanya malam bulan Ramadan syaitan dan jin jahat diikat, ditutup pintu-pintu Neraka, dibuka pintu-pintu Syurga dan malaikat menyeru, 'Hai mereka yang mencari kebaikan ayuhlah, hai mereka yang mahu melakukan kesalahan tangguhlah,' setiap malam Allah akan memerdekakan hambaNya dari api Neraka."
4.Menyediakan perancangan yang rapi untuk manfaatkan bulan Ramadan dengan sebaik mungkin.berazam untuk khatam 30 juzuk al-Qur'an.
5.Membuat keazaman yang jujur untuk merebut dan memenuhkan setiap masa didalam bulan Ramadan dengan melakukan amalan-amalan yang soleh,memulakan bersedekah, mengasihi , merai dan mengingati anak-anak yatim dan membatu fakir miskin.
6.Mempelajari dan memahami hukum -hakam berkaitan Ramadan.
7.Kita menyambut kedatangan Ramadan dengan keazaman untuk bertaubat dan meninggalkan kesemua dosa dan maksiat.dan berazam untuk mendapat malam Lailatul qadar (lebih baik dari seribu bulan) .
8.Membaca buku-buku, ceramah serta pengajian yang dapat menyemarakkan semangat untuk melakukan ketaatan didalam bulan Ramadan.
9.Membuat persiapan menjadi pendakwah didalam bulan Ramadhan iaitu menyebarkan risalah-risalah dan adakan perbincangan yang berkaitan puasa dan hukum-hukumnya.
10.Membukukan lambaran baru hubungan kita dengan :
a. Allah s.w.t. iaitu bertaubat dan berdoa dan mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
b.Rasulullah s.a.w. iaitu mentaati segala perintahnya dan menjauhi larangannya dan mengamalkan sunnahnya.
c. Ibu bapa , suami,isteri,anak-anak dan saudara mara iaitu dengan melakukan kebaikan dan menyambung hubungan silaturrahim.
d.Mesyarakat iaitu membina perhubungan persaudaraan Islam dan mendidik mereka untuk menjadi hamba Allah yang soleh dan bertakwa.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setelah kita atur semua program dan perancangan yang akan kita laksanakan dalan bulan Ramadan ini, kita perlu pastikan dihari pertama Ramadan terus dilaksanakan tanpa ada apa-apa alasan, beristiqamahlah hingga akhir bulan Ramadan. Insya Allah ibadah puasa yang kita laksanakan akan mendapat markah penuh iaitu bertakwa kepada Allah s.w.t.
Apabila kita berniat dan berazam dengan sepenuh hati untuk memiliki puasa yang terbaik dan dibulan Syaaban ini kita mulakan persiapan maka Allah s.w.t akan memberi kekuatan dan mengkabulkan hajat kita ini.
Aun bin Abdullah berkata: Dahulu orang-orang soleh menulis surat kepada sahabatnya tiga kalimat;
1. Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah mencukupi segala urusan dunianya.
2. Dan siapa yang memperbaikki niatnya, maka Allah akan memperbaikki zahirnya.
3. Dan sesiapa yang memperbaikki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaikki hubungannya dengan sesama manusia.
No comments:
Post a Comment