Sahabat yang dirahmati Allah,
Betapa mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, tak sedikit juga yang keliru. Lihat saja apabila seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sangup menghabiskan masa berjam-jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras. Tak sedikit yang menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan pil penenang. Sementara, ketenangan yang diperolehi hanya sebentar saja. Akibatnya bukan ketenangan jiwa yang diperolehi tetapi kerosakan dan kehancuran yang diterima.
Kehidupan setiap hari dengan berbagai-bagai masaalah menyebabkan seseorang mendapat stress, risau, bimbang, gangguan emosi dan kemurungan. Kehidupan yang mencabar, keperluan dan tuntutan kehidupan yang meningkat, kos sara hidup yang tinggi kesemuanya menyumbang kepada keadaan jiwa yang tidak tenang dan memberikan tekanan jiwa yang amat membimbangkan. Apabila keadaan ini tak dapat dikawal dikhuatiri berbagai masaalah yang akan timbul, dan kadangkala boleh mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batasan manusia yang sihat. Contohnya faktor bunuh diri, penderaan seksual, penyiksaan fizikal terhadap kanak-kanak dan pembantu rumah, hinggakan ianya boleh sampai keperingkat membunuh orang lain.
Sebahagian besar daripada kecemasan jiwa yang menimpa manusia adalah disebabkan permainan fikiran yang sentiasa khuatir jika dirinya ditimpa oleh kejadian-kejadian buruk atau perkara-perkara yang tidak diingininya. Padahal apa yang difikirkannya itu belum tentu akan terjadi pada dirinya.
Syaikh Ibnu ‘Athaillah mengatakan:
"Tenangkanlah jiwamu daripada urusan kepentingan dunia, kerana segala sesuatu yang sudah dijanjikan oleh Allah, janganlah engkau turut memikirkannya.”
Perkara seperti ini biasanya dirasakan oleh orang-orang yang kurang bertawakal (berserah diri) kepada Allah dan tidak mengamalkan firman-Nya yang bermaksud :
“Barangsiapa yang berserah diri (tawakal) kepada Allah, nescaya Dia akan memenuhi keperluannya.” (Surah At-Thalaq ayat 3)
Firman Allah di atas di perkuat lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Seandainya kamu semua bertawakal sepenuhnya kepada Allah, nescaya kamu akan memperolehi rezeki bagaikan rezeki burung-burung yang pada waktu pagi berkeadaan lapar dan kembali ke sarangnya (di waktu petang) dengan perut kenyang.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
Jika kita mahu berpegang teguh kepada firman Allah dan sabda Rasul-Nya sebagaimana yang sudah kita nukilkan di atas, nescaya jiwa kita akan merasa tenang dan tenteram. Ketenangan dan ketenteraman jiwa ini akan mendatangkan kebahagiaan, baik di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hati yang tenang dan tenteram dapat membentuk tindak-tanduk yang cemerlang dan sempurna. Bagaimana jiwa yang kusut dapat membuat keputusan yang bijak dan mengurus kehidupan dengan teratur?
Selain itu juga, terdapat beberapa ayat Allah dan sabda Rasul-Nya yang patut kita renungkan, supaya tercapai ketenteraman dan ketenangan jiwa yang kita harapkan. Antara lain firman-Nya yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah (berzikir) kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya dan pujilah (bertasbih) kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Ahzab ayat 41-42)
Firman-Nya lagi, yang berbunyi :
“Dan sembahlah Tuhanmu, hingga datang kepadamu yang diyakini (ajal).”
(Surah Al-Hijr ayat 99)
Firman-Nya lagi, yang bermaksud :
“Dan tiada satu haiwan melatapun di permukaan bumi, melainkan rezekinya ditanggung oleh Allah.”
(Surah Hud ayat 6)
Dalam ayat lain, Allah berfirman :
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan dan permainan (sementara) dan sesungguhnya kehidupan yang hakiki adalah kehidupan akhirat, andainya mereka mengetahui.” (Surah Al-Ankabut : 64)
Perhatikan pula firman-Nya yang bermaksud :
“Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain di samping Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. Bagi-Nyalah segala penentuan, dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.” (Surah Qasas : 88)
Firman-Nya lagi :
“Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.” (Surah At-Talaaq : 4)
Selanjutnya, marilah kita perhatikan pula firman-Nya yang berbunyi :
“Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak juga bergembira dengan apa yang diberikan kepadamu. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah Al-Hadid : 22-23)
Begitu besar kasih dan sayang Allah kepada hamba-Nya dan cinta Rasul kepada ummahnya, yang memberikan petunjuk untuk kebahagiaan hidup manusia. Namun semuanya itu bergantung kepada kita sendiri, apakah kita mahu mengikuti petunjuk-petunjuk itu atau hendak mengabaikannya.
Untuk lebih jelas lagi mengenai pengertian tawakal, Rasulullah SAW didatangi orang Badawi dan berkata,
“Bolehkah saya melepaskan unta saya, lalu saya bertawakal kepada Allah, wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Tambatlah unta itu, lalu engkau bertawakal kepada Allah” (Al-Hadis).
Daripada penjelasan di atas maka bolehlah kita mengambil satu rumusan bahawa segala bentuk urusan atau pekerjaan yang dihadapi hendaklah berusaha terlebih dulu sebelum bertawakal kepada Allah s.w.t.
Sebagai manusia yang inginkan kejayaan dan kesejahteraan hidup, haruslah berusaha dan bekerja dengan tekun. Lantaran kesempurnaan hidup (di dunia dan di akhirat) tidak akan tercapai apabila ada sikap malas. Islam sama sekali tidak menghendaki umat-Nya menganggur dan berpeluk tubuh, hanya berserah buta kepada Allah s.w.t
Sahabat yang dimuliakan,
Hakikat sebenarnya, tak ada seorang pun boleh terlepas dari masaalah kehidupan. Itulah sunatullah yang berlaku di dunia. Kekayaan, pangkat dan kedudukan takkan mampu menghalanginya.
Namun, Islam memberikan penyelesaian terhadap tekanan hidup itu agar jiwa menjadi tenang. Tak ada istilah stress bagi seorang Mukmin. Persoalannya Islam telah memberikan penyelesaian untuk menghadapi tekanan hidup. Dua langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:
Pertama : Membaca dan mendengarkan kitab suci al-Qur'an :
Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah s.a.w.. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak lalu, tidur pun tak lena," kata orang tersebut.
Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat :
1. Pergi ketempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.
2. Engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah.
3. Engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah.
Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang tersebut. Sampai saja di rumah, segera ia berwudhu kemudian diambilnya al-Qur'an dan dibacanya dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati hatinya memperoleh ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya terasa seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu dari tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah s.a.w tersebut.
Kedua : Selalu berfikiran positif :
Mengapa seseorang mudah stress dan jiwa tak tenang? Salah satu faktornya kerena ia selalu berfikiran negatif. Selalu mencela dan menyesali kekurangan diri. Padahal, setiap kita diberikan oleh Allah s.w.t. berbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah perasaan keluh kesah yang membuat muka berkerut, lemah badan dan kecewa dengan ucapan yang mengembirakan. Ucapan yang mengembirakan akan membuat kita mudah tersenyum, jiwa menjadi lebih bersemangat. Bukankah di balik kesulitan dan kegagalan ada hikmah yang boleh jadi pelajaran? Dan bukankah disebalik kesulitan ada kemudahan?
Ketiga : Menjaga perhubungan silaturahim :
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang memerlukan perhubungan sesama manusia, untuk bantu membantu sesama mereka. Berbagai keperluan hidup tak mungkin diperolehi tanpa bantuan orang lain. Oleh itu, di dalam hadis Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk tetap menjalin hubungan silaturahim, sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan.
Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda bahwa silaturahmi dapat memanjangkan umur dan memurahkan rezeki . Hubungan yang baik di dalam keluarga, maupun dengan jiran tetangga akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan menyelesaikan berbagai masaalah yang dihadapi oleh masyarakat.
Keempat : Banyak mengucapkan kalimah "la hawla wa la quwwata illa billah." dan berzikir kepada Allah s.w.t.
La Hawla Wala Quwwata Illa Billah merupakan khazanah daripada khazanah-khazanah syurga, ia merupakan penyembuh untuk 99 jenis penyakit, sekurang-kurangnya penyakit dukacita, kesedihan dan kerisauan.
Berkata Abdullah bin Masoud r.a, pernah seketika beliau bersama Rasulullah SAW dan dia mengucapkan La Hawla Wala Quwwata Illa Billah. "Baginda SAW bertanya:"Apakah kamu mengetahui maksudnya?", "Aku menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui"
Baginda SAW menerangkan maksudnya:"Ia bermakna tidak ada sesiapa yang mempunyai daya keupayaan untuk memelihara dirinya daripada menderhakai Allah melainkan dengan pertolongan dan perlindungan dari Allah, dan tidak ada sesiapapun mempunyai daya keupayaan untuk mentaati dan beribadat kepada Allah tanpa bantuan dan petunjuk daripada Allah.
Tidak ada daya keupayaan untuk mengelak daripada menderhakai Allah melainkan dengan perlindungan dan pertolongan Allah dan tidak ada daya keupayaan untuk mentaati dan menyembah Allah melainkan dengan pertolongan dan petunjuk daipadaNya, dan tidak ada tempat perteduhan yang selamat daripada kemurkaan Allah melainkan Allah"
Berkata Abdullah bin Masoud r.a, pernah seketika beliau bersama Rasulullah SAW dan dia mengucapkan La Hawla Wala Quwwata Illa Billah. "Baginda SAW bertanya:"Apakah kamu mengetahui maksudnya?", "Aku menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui"
Baginda SAW menerangkan maksudnya:"Ia bermakna tidak ada sesiapa yang mempunyai daya keupayaan untuk memelihara dirinya daripada menderhakai Allah melainkan dengan pertolongan dan perlindungan dari Allah, dan tidak ada sesiapapun mempunyai daya keupayaan untuk mentaati dan beribadat kepada Allah tanpa bantuan dan petunjuk daripada Allah.
Tidak ada daya keupayaan untuk mengelak daripada menderhakai Allah melainkan dengan perlindungan dan pertolongan Allah dan tidak ada daya keupayaan untuk mentaati dan menyembah Allah melainkan dengan pertolongan dan petunjuk daipadaNya, dan tidak ada tempat perteduhan yang selamat daripada kemurkaan Allah melainkan Allah"
Zikir adalah menyebabkan Allah S.W.T ingat kepada seseorang yang ingat kepada-Nya sepertimana disebutkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Kerana itu ingatlah kamu kepada Aku, nescaya Aku ingat pula kepadamu."
(Al-Baqarah : 152)
Dan diterangkan pula di dalam hadis yang bermaksud :
"Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingati
pula di dalam hati-Ku."
(Al-Baqarah : 152)
Dan diterangkan pula di dalam hadis yang bermaksud :
"Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingati
pula di dalam hati-Ku."
Di dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya : “Pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas”.
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.
Di dalam hadis lain terdapat: Orang yang membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dari hatinya, ia pasti akan memasuki Syurga walaupun ia melakukan dosa seperti berzina dan mencuri, walaupun ia melakukan zina dan mencuri. (Nabi s.a.w. telah mengulangkannya sebanyak tiga kali)
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.
Di dalam hadis lain terdapat: Orang yang membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dari hatinya, ia pasti akan memasuki Syurga walaupun ia melakukan dosa seperti berzina dan mencuri, walaupun ia melakukan zina dan mencuri. (Nabi s.a.w. telah mengulangkannya sebanyak tiga kali)
Sumber ketenangan jiwa yang hakiki adalah bersumberkan dari Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita selalu menghubungkan hati dengan Allah s.w.t. dengan kita berzikir, dalam semua keadaan, baik dalam keadaan senang maupun susah. Perhubungan yang kuat dengan Allah s.w.t. akan membuat jiwa seseorang menjadi kuat, tak mudah diganggu gugat oleh sesiapa pun, apabila hati sentiasa mengingati Allah maka syaitan laknatullah tidak akan dapat mempengaruhi hati dan fikiran kita.
Akhirkata, marilah sama-sama kita amalkan segala perkara-perkara yang boleh mendatangkan ketenangan jiwa kita supaya kita sentiasa tenang dan bahagia menjalani kehidupan di dunia dan di akhirat kita pengharapkan rahmat Allah untuk meletakkan diri kita dikalangan oenag-orang yang berjaya dan bahagia.
No comments:
Post a Comment