Friday, July 30, 2010

Tujuh Golongan Yang Mustajab Do'a mereka di Sisi Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdo'a adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan do'a kehadrat Allah s.w.t. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.

Sebagai seorang Mukmin yang yakin di atas Qadha' dan Qadar Allah s.w.t. kalian kena berfikiran positif dan yakin apa sahaja keputusan Allah s.w.t.adalah keputusan yang terbaik, yang mana hanya Allah s.w.t. sahaja Maha Mengetahui di atas kehidupanmu pada masa sekarang dan masa akan datang.

Di dalam hadis Nabi s.a.w. terdapat tujuh golongan manusia yang mana do'a mereka amat mustajab dan akan di kabulkan oleh Allah s.w.t. Oleh itu berhati-hatilah terhadap tujuh golongan ini kerana do'a mereka tidak ada hijab di sisi Allah s.w.t. Golongan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Do'a ibu bapa kepada anak-anaknya.

Allah s.w.t. amat murka jika ada anak yang derhaka kepada ke dua ibu bapanya. Sehinggakan do'a mereka dikabulkan terus di dunia ini lagi tidak payah menunggu siksaan dihari akhirat. Contoh sahabat Nabi s.a.w bernama Alaqamah kerana menyakiti hati ibunya dia tak boleh mengucap kalimah “Laa ilaaha illallaah”di saat kematiannya. Setelah ibunya memaafkannya barulah dia boleh mengucap kalimah syahadah.

Kisah kedua yang boleh kita ambil pengajaran adalah kisah Juraij.
Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam telah berpesan kepada kita betapa mustajab do'a seorang ibu untuk anaknya. Dalam Sahih Muslim,  kisah seorang lelaki, Juraij, yang begitu kuat beribadah kepada Allah. Hari-harinya diisi dengan solat sunat. Beliau mempunyai tempat khas untuk solat - pondok kecil yang agak tinggi tempatnya.

Pada suatu hari, ibunya datang menziarahinya. Sambil mendongakkan kepalanya, si ibu memanggil anaknya: "Juraij, saya ibumu, cakaplah denganku!"

Juraij khusyuk beribadah dan berkata dalam hatinya: "Ya Allah, saya utamakan solatku atau ibuku?"

Juraij memilih meneruskan ibadahnya. Ibunya letih berteriak dan akhirnya meninggalkan tempat Juraij.

Esoknya ibunya datang dan memanggilnya lagi tetapi Juraij tidak mengendahkan dan terus beribadah.

Ibunya pulang ke rumah dengan rasa hampa dan marah dalam hatinya. Semasa itulah wanita itu berdoa: "Ya Allah, Juraij itu adalah anakkku, aku mahu bercakap dengannya tapi dia menolak bercakap denganku. Ya Allah, jangan engkau matikan dia kecuali Engkau tunjukkan padanya akan pelacur."

Ada gembala kambing yang sentiasa menggembala kambingnya di sekita pondok Juraij. Gembala kambing itu terserempak dengan 'bunga desa' yang cantik. Mereka berasmara sehingga wanita itu hamil dan akhirnya melahirkan anak. Namun gembala itu menghilang.

Semasa ditanya orang kampung, anak siapakah itu, wanita ini sekadar menuding ke arah pondok Juraij. Orang-orang kampung beramai-ramai mendatangi Juraij dan memanggilnya dengan marah. Juraij keluar kehairanan. Mereka menuduhnya berzina sehingga wanita itu melahirkan bayinya. Juraij bertanya: "Di mana bayi itu"

Maka mereka membawa bayi itu menghadapnya. Juraij berkata: "Tinggalkan aku untuk solat dan berdoa."

Sesudah itu, Juraij menepuk perut bayi dan bertanya: "Wahai bayi, siapakah bapamu?"

Dengan izin Allah, bayi itu menjawab: "Bapaku ialah gembala kambing di kampung ini."

Penduduk kampung terkejut dan malu kerana merobohkan pondok Juraij kerana tertipu oleh wanita itu. Mereka berjanji akan membangunkan pondoknya dengan emas dan perak, namun Juraij menolak dan meminta pondok seperti asalnya.

Rasulullah menyatakan kisah Juraij menunjukkan betapa kuat do'a seorang ibu, apatah lagi yang disakiti anaknya.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Surah al-Luqman ayat 14)

Kedua : Do'a orang yang di aniaya.

Do'a seorang yang di zalimi dan di anianya tidak ada hijab disisi Allah s.w.t samaada dia seorang Muslim atau bukan Muslim .

Dari Mu’adz bin Jabal RA bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
“Takutlah kepada doa orang-orang yang teraniaya, sebab tidak ada hijab antaranya dengan Allah (untuk mengabulkan)”. 
(Hadis Shahih Muslim)

Dari Abu Hurairah bahawa dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya :
“Do'anya orang yang teraniaya terkabulkan, apabila dia seorang derhaka, maka kederhakaannya akan kembali kepada diri sendiri”. 
(Hadis Riwayat Ahmad . Dihasankan sanadnya oleh Mundziri dalam Targhib  dan Haitsami dalam Majma’ Zawaid , dan Imam ‘Ajluni )
 
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
“Seorang Muslim adalah saudara bagi sesama Muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Taqwa tempatnya disini! Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali. Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama Muslim,setiap Muslim haram menumpahkan darah saudara sesama Muslim. Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” 
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Do'a seorang musafir.

Kenapakah do'a seorang musafir dimakbulkan oleh Allah s.w.t.?
Seorang musalifir adalah sesaorang yang keluar rumah dan kampung halamannya untuk menuju sesuatu distinasi. Tujuannya adalah murni semata-mata kerana Allah iaitu untuk :

1. Menuntut ilmu : Para malaikat akan menebarkan sayap-sayapnya kepada mereka yg bertujuan untuk menuntut ilmu.
2. Berdakwah, berjihad di jalan Allah dan membantu mangsa bencana alam.
3. Menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai untuk merapatkan hubungan silaturahim dan menunaikan jemputan.
4. Mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga.

Allah s.w.t. memberi keistimewaan kepada hamba-Nya yang bermusafir hinggakan Allah s.w.t memberi kelonggaran boleh berbuka diwaktu bulan Ramadan semasa ia musafir. Solat lima waktu juga diberi rukshah (kelonggaran) iaitu boleh dikerjakan dengan cara jama' dan qasar.

Oleh kerana besarnya pahala yang akan diperolehi oleh seorang musafir dengan tujuan yang baik seperti di atas maka do'anya semasa musafir itu amat mustajab di sisi Allah s.w.t.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga do'a yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu do'a orang yang dianiaya, do'a seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)

Keempat : Do'a orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa :
Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang
yang berdo'a tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan
perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti do'anya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.

Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa
adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita
bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t. sendiri yang akan membalas pahala orang yang berpuasa di hari akhirat nanti dan do'anya juga amat mustajab di sisi Allah s.w.t.

 Sesiapa yang banyak berpuasa ada pintu khas  untuk mereka memasuki Syurga Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,”Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman : Di manakah orang yang berpuasa? Mereka berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah seorang yang terakhir dari mereka masuk. Pintu itu ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik r.a. bahawa dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
“Tiga do'a yang tidak ditolak ; do'a orang tua terhadap anaknya ; do'a orang yang sedang berpuasa dan doa seorang musafir”. 
(Hadis Riwayat  Baihaqi.  Dishahihkan oelh Al-Albani dalam Silsilah Shahihah).


Kelima : Doa Seorang Muslim Terhadap Saudaranya Daripada Tempat Yang Jauh

Daripada Abu Darda’ bahawa dia berkata bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda maksudnya :
“Tidaklah seorang Muslim berdo'a untuk saudaranya yang tidak di hadapannya, melainkan maka malaikat yang ditugaskan kepadanya berkata : “Amin, dan bagimu seperti yang kau do'akan”.
(Hadis Riwayat Muslim).

.Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Do'a seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah s.w.t."
(Hadis Riwayat Muslim)

Imam An-Nawawi berkata bahawa hadis di atas menjelaskan tentang keutamaan seorang Muslim mendo'kan saudaranya daripada tempat yang jauh, Jika seandainya dia mendo'akan untuk sejumlah atau sekelompok umat Islam, maka dia tetap mendapatkan keutamaan tersebut. Oleh kerana itu sebahagian ulama salaf tatkala berdo'a untuk diri sendiri dia menyertakan saudaranya di dalam do'a tersebut, kerana di samping terkabul dia akan mendapatkan sesuatu semisalnya. 
(Syarah Shahih Muslim karya Imam An-Nawawi )

Keenam : Do'a seorang pemimpin yang adil.

Seorang pemimpin yang adil adalah pemimpin yang meletakkan hukum-hukum Allah ditempatnya. Keadilan bukan saja dilihat daripada dia mengagihkan kekayaan kepada rakyat jelata, tetapi adil yang sebenarnya adalah menjalankan peraturan dan undang-undang Allah di dalam masyarakat dan menolak sistem lain selain daripada sistem Islam. Do'a pemimpin yang seperti ini amat mustajab do'anya di sisi Allah s.w.t.. Contoh para Khalifah ar-Rasyidin dan Khalifah Umar bin Abd Aziz.

Pemimpin yang zalim dan perasuah bukan saja do'anya tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t. tetapi dia mendapat kutukan para malaikat kerana kezalimannya dan jiwanya akan sentiasa resah gelisah kerana tidak ada keberkatan dalam kehidupan.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. iaitu do'a orang yang berpuasa sampai berbuka, do'a seorang pemimpin yang adil dan do'a orang yang dianiaya."
(Hadis Riwayat Turmudzi)

Ketujuh : Do'a anak soleh terhadap orang tuanya.
 
Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendo'akannya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Untuk merealisasikan maksud hadis di atas, maka berlumba-lumbalah para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian Tahfiz, pondok atau sekolah agama. Pada satu segi, tindakan ini boleh dikira sebagai satu sikap positif ibu bapa yang merasakan amalan mereka masih kurang cukup untuk membela nasib mereka di alam barzakh kelak. Oleh itu, langkah termudah ialah dengan menghasilkan anak-anak yang soleh yang mampu dan bakal mendo'akan mereka.

Manakala pada satu sudut lain pula, ianya merupakan satu manifestasi rasa terima kasih ibu bapa terhadap ibu-bapanya dahulu yang sudah berjaya mendidik mereka menjadi anak yang soleh. Lalu anugerah soleh itu dipanjangkan kepada anak-anaknya sendiri agar legasi soleh in berterusan kepada generasi berikutnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
(Surah al-Baqarah ayat 186)

Rasulullah s.a.w menyifatkan do'a sebagai senjata orang Mukmin dan menjadi tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Diantara berbagai macam do'a yang dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Allah, ada do'a yang dikabulkan dan ada pula do'a yang tidak dikabulkan oleh Allah s.w.t. Oleh itu, seseorang hamba yang berdo'a harus memahami keutamaan dan adab-adab ketika berdo'a.

Demikianlah beberapa kriteria tujuh golongan orang yang do'anya mustajab dan diterima oleh Allah s.w.t. Satu lagi perkara yang perlu kita fahami bahawa apabila kita menjadi orang beriman dan bertakwa, hati dan jiwa kita cinta sepenuhnya kepada Allah s.w.t. maka kita juga akan termasuk dikalangan mereka-mereka yang mustajab do'anya. Kerana apabila kita menjadi kekasih Allah, dan Allah kasih pada kita maka segala permohonan kita akan dikabulkan oleh Allah s.w.t. Marilah sama-sama kita letakkan diri kita menjadi kekasih Allah iaitu melaksanakan semua yang disuruh dan meninggalkan semua yang di larang-Nya.

No comments: