Saturday, October 22, 2011

Jauhi Enam Ciri-ciri Isteri Derhaka

السَّلاَمُ عَلَيْكُم

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagimana sabda Nabi SAW yang bermaksud : " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. " (Hadis Riwayat Muslim)

Wanita cukup mudah untuk memasuki syurga Allah SWT apabila dia memenuhi empat ciri-ciri wanita solehah iaitu menunaikan solat fardu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dan mentaati suaminya. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud  : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Sahabat yang dimuliakan,
Walaupun jalan-jalan kebaikan wujud dihadapan sana yang akan memudahkan wanita memasuki syurga Allah SWT, tetapi terdapat beberapa halangan terpaksa dihadapi oleh para wanita . Jika wanita tidak mengambil perhatian serius dan tidak berwaspada halangan, dugaan dan cabaran dikhuatiri wanita akan terjebak ke dalam neraka Allah SWT.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka (nusyuz).

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha bermaksud: "Aku pernah bertanya kepada baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya". Kemudian aku bertanya lagi :"Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya." (Hadis Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula baginda bersabda bermaksud: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:

Pertama : Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: "Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya."

Kedua : Suka menyakiti hati suami.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."(Hadis Riwayat Muslim)

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: " Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ketiga : Puasa sunat tanpa keizinan suami dan memasukkan seorang lelaki tanpa izin suaminya.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : "Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun lelaki yang datang kerumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .

Keempat : Keluar rumah tanpa izin suami.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali."
(Hadis Riwayat Thabarani di dalam al-Awsat)

Kelima : Meminta cerai daripada suami.

Sabda Rasulallah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : "Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Dalam kes meminta cerai kepada suaminya, seorang isteri dibenarkan sekiranya terdapat beberapa sebab yang di benarkan syarak seperti suami tidak memberikan nafkah zahir dan batin, suka memukul isteri dan menyuruh isteri melakukan perkara yang haram. Isteri boleh mengadu pada mahkamah syariah di atas perbuatan suaminya dan boleh menuntut fasakh. Jika isteri sudah merasakan tidak bersesuaian untuk hidup bersama suaminya dia boleh juga mengadu di makhamah syariah untuk Tebus Talak iaitu memberikan beberapa sejumlah wang sebagai tebusan kepada suaminya untuk dia diceraikan.

Tetapi dalam kes suami hendak berpoligami dan suami berkemampuan ketika ini isteri tidak ada hak untuk meminta cerai . Ini adalah kerana hukum berpoligami telah termaktub di dalam al-Quran dan ianya di halalkan oleh Allah SWT.  Jika suaminya telah pun berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan jika dia memaksa suaminya mencerikan madunya dia akan mendapat laknat Allah dan berdosa besar. Suaminya akan menjadi  dayus apabila mengikut telunjuk isteri dengan mengabaikan isteri keduanya.

Jalan sebaik-baiknya isteri pertama perlulah bertolak ansur dan janganlah mengikut nafsu amarah dan membelakangkan hukum agama. Jika kalian bersabar dan menerima kehadiran isteri kedua dengan hati yang tenang dan terbuka dan berfikiran positif ganjaran yang akan kalian terima cukup besar disis Allah SWT.  Jika kalian bertindak secara melulu tanpa di dorong oleh iman dan takwa berdasarkan hadis di atas tidak akan masuk syurga isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak.

Keenam : Isteri yang tidak menunaikan hajat suami.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya : "Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya pihak isteri supaya enam ciri-ciri yang boleh mendatangkan derhaka (nusyuz) dapat dielakkan. 

Jika reda anak datang daripada reda ibu bapa maka reda isteri datang daripada reda suami. Isteri yang solehah akan menjadi ketua bidadari di syurga nanti sedangkan isteri yang nusyuz tempatnya di neraka . Kalian pilihlah mana yang terbaik kerana ahli hikmah ada berkata : "Wanita yang cerdik adalah wanita yang sanggup mengorbankan sedikit daripada perasaannya dan bersusah payah di dunia semata-mata untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat. "

3 comments:

Anonymous said...

salam, bagaimana jika suaminya seorang yang sempurna, tetapi isteri masih mencintai lelaki lain?dan memohon cerai dari suaminya kerana ingin bersama kekasihnya dahulu?

bukankah itu lebih baik dari dia bersuami, tetapi menyintai org lain pada waktu sama?

mohon penjelasan.

H

Anonymous said...

assalamualaikum ustaz, saya adalah isteri kedua, masalah saya isteri pertama berusaha sedaya upaya agar suami menceraikan saya. isteri pertama pernah mengenakan sihir pemisah, sihir pembenci dan sihir penunduk dan memfitnah saya dengan bermacam-macam fitnah. setelah berubat secara islam kami telah pulih. kali ini ada pula lelaki call suami mengatakan saya ni hak dia dan jangan ganggu. saya tidak pasti kerja siapa yang pasti saya tak ada hubungan dengan mena-mana lelaki. apa pandangan ustaz tentang perbuatan madu saya itu?

Unknown said...

A.kum ustaz,isteri saya selalu tidak minta izin utk keluar rumah dan bermain direct selling tanpa keizinan saya,dgn beri alasan duit dia