Sunday, October 16, 2011

Perceraian Dalam Islam Adalah Jalan Terakhir Menamatkan Perkahwinan.

السَّلاَمُ عَلَيْكُم

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Didalam agama Islam, untuk memulakan sebarang perhubungan di antara lelaki dan perempuan (persetubuhan), mereka ini haruslah melalui bernikah dengan cara yang sah dan halal mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Perkahwinan itu sungguh indah. Hubungan cinta manusia dengan manusia akan lahir melalui perkahwinan. Didalam perkahwinan, kita mampu mengenali seseorang perempuan atau lelaki dengan lebih mendalam. Perkahwinan akan halal dan bahagia jika niat kita mengahwini seseorang itu baik semata-mata kerana Allah SWT. Mengajak manusia ke arah kebaikan merupakan suatu perkara yang amat sukar. Tetapi jikalau kita mengajak ke arah keburukan, tidak perlu ajak atau cakap sudah pasti mereka boleh lakukan dengan sendirinya.

Islam mengalakkan pembinaan Baitul Muslim atau rumah tangga Islam ianya satu kewajipan supaya di dalamnya wujud keharmonian dan kasih sayang di antara suami, isteri dan anak-anaknya. Kekuatan satu umat adalah bergantung kepada perjalanan keluarga-keluarga muslim ini. Jika keluarga-keluarga ini dapat dilahirkan maka akan terbinalah masyarakat Islam dan ketika inilah baru akan melahirkan Daulah Islamiah yang akan menjalankan undang-undang Allah SWT.

Walaubagimana pun sekiranya berlaku pergeseran atau perselisihan di dalam keluarga Islam, masih ada jalan-jalan penyelesaian yang disediakan oleh Islam demi kebaikan semua pihak .

Pertama perlu diusahkan perdamaian secara baik oleh suami isteri tersebut dan boleh mendapat bantuan daripada ahli keluarga yang lain semata-mata untuk menyelesaikan kebuntuan perselisihan yang berlaku.

Pihak unit kaunseling di jabatan agama dan pakar-pakar motivasi yang lain boleh memainkan peranan mereka untuk menjernihkan suasana yang keruh yang berlaku di dalam keluarga tersebut. Sekiranya cara-cara lain sudah tidak berkesan dan masaalah yang berlaku bertambah parah maka Islam akan mengunakan cara terakhir  walaupun dibenci Allah SWT iaitu PERCERAIAN atau TALAK.

Adapun hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud : “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak”

Maka talak itu jika membawa kebaikan seperti mengelakkan kezaliman antara suami dan isteri atau anak-anak, maka itu adalah suatu kebaikan. Jika membawa keburukan maka keburukan atau perkara negatif dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lalu, kadar perceraian meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jumlah perceraian pada 2007 adalah 20,529 kes berbanding 131,086 perkahwinan.

Secara puratanya, dalam sehari lebih 56 perceraian berlaku dan 359 perkahwinan berlangsung. Kadar perceraian ini meningkat dari tahun ke tahun.

Punca krisis rumah tangga yang dikenal pasti adalah kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, kerenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan, suami isteri bermain kayu tiga, masalah hutang banyak, masalah ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja, kerjaya terlalu tinggi, simptom cemburu buta, kurangnya didikan moral, penderaan dan pengabaian.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa memikirkan suatu mekanisme pencegahan khusus kepada pasangan yang hendak bercerai, sama ada yang baru membuat laporan kaunseling di jabatan agama Islam atau yang sudah mendaftarkan kes perceraian di mahkamah dan mereka diarahkan mengikuti suatu kursus yang khusus dalam tempoh tertentu, agar bahtera rumah tangga yang mula terumbang-ambing itu boleh diselamatkan.

Halangan dari sudut perundangan mungkin ada, namun ianya ada jalan keluar untuk merealisasikan perkara ini. Soal rezeki, jodoh, ajal dan yang seumpamanya adalah di tangan yang Maha Esa, namun Islam tidak menyuruh penganutnya menyerah mudah kepada takdir tanpa sebarang usaha untuk menyelamatkan perkahwinan yang sedang dibina.

Sahabat yang dihormati,
Untuk mengetahui apakah itu talak dan jenis-jenisnya maka di jelaskan disini secara ringkas.

Talak maksudnya adalah pemutusan tali perkawinan. Talak merupakan sesuatu yang disyariatkan. Dan yang menjadi dasarnya adalah Al-Quran dan al-Hadis serta ijmak.

Sebelum berlaku talak perlu dijalankan kaunsling dan perbincangan secara baik terlebih dahulu, sekiranya sudah tidak ada penyelesaian secara makruf dan masing-masing sudah tidak ada persefahaman masa ketika ini talak adalah jalan sebaik-baiknya.

Orang yang memerhatikan hukum-hukum yang terkandung dalam masalah talak akan merasai bahawa perhatian Islam terhadap institusi rumah tangga dan keinginan Islam demi kekalnya hubungan baik antara suami isteri. Sebab itu, apabila Islam membolehkan talak, ia tidak menjadikan kesempatan menjatuhkan talak hanya sekali yang kemudian hubungan kedua suami isteri terputus begitu saja selama-lamanya, tidak demikian, namun memberlakukannya sampai beberapa kali.
Allah SWT berfirman, ”Talak (yang dapat di rujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan  orang yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”  (Surah Al-Baqarah ayat 229).

Apabila seorang laki-laki mentalak isterinya, talak pertama atau talak  kedua, maka ia tidak berhak baginya untuk mengusir isterinya dari rumahnya sebelum berakhir masa idahnya, bahkan pihak isteri tidak boleh keluar dari rumah tanpa izin dari suaminya.

Hal itu disebabkan Islam sangat menginginkan segera hilangnya perasaan marah yang boleh menyalakan api perceraian. Kemudian Islam menganjurkan agar kehidupan harmonis rumah tangga, boleh  segera pulih kembali seperti semula, dan inilah yang disebutkan Rabb kita dalam firman-Nya,  ”Hai Nabi jika kamu menceraikan isteri-isterimu, maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Rabbmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (di izinkan) keluar kecuali kalau melakukan perbuatan keji yang terang. Itulah hukum-hukum Allah dan barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barang kali Allah mengadakan sesudah itu suatu hal yang baru.” (Surah Ath-Thalaq ayat 1)

Setelah bercerai dalam tempoh idah berkemungkinan pihak suami menyesal atas keputusan mentalak isterinya, dan Allah Ta’ala menjadikan di dalam kalbunya keinginan kuat untuk rujuk (kembali) kepadanya sehingga yang demikian lebih mudah dan lebih sesuai untuk proses rujuk.

Jenis-jenis Talak

Talak jika dilihat dari segi lafaz terbagi kepada dua iaitu :

1. Talak Sarih (yang dinyatakan secara tegas)

2. Talak Kinayah (dengan sindiran).

Huraiannya :

1. Talak Sarih (yang dinyatakan secara tegas) ialah talak yang difahami dari makna perkataan ketika diucapkan, dan tidak mengandung kemungkinan makna yang lain.

Contohnya, ”Aku ceraikan engkau dengan talak satu"

Dengan ucapan di atas maka  jatuhlah talak, baik bergurau, main-main ataupun tanpa niat.

Kesimpulan ini didasarkan pada hadis dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW, baginda bersabda, ”Ada tiga hal  yang sungguh-sungguh, jadi serius dan gurauannya jadi serius (juga) : nikah, talak, dan rujuk.” (Hadis Hasan: Irwa-ul Ghalil no:1826 dan Tirmidzi II:328 no:1195).

2. Talak Kinayah, ialah  talak yang dinyatakan secara sindiran.

Contohnya : ”Hendaklah engkau kembali kepada keluargamu" dan yang lain-lain cara.

Talak seperti diatas  maka tidak akan terjadi talak, kecuali diiringi dengan niat. Jadi apabila pihak suami menyertai ucapan itu dengan niat talak maka jatuhlah talak; dan jika tidak maka tidak terjadi talak.

Dari Aisyah r.a. berkata, Tatkala puteri al-Jaun menikah dengan Rasulullah SAW dan beliau (kemudian) mendekatinya, ia mengatakan, ”’Auudzubillahi minka (aku berlindung kepada Allah darimu). Maka kemudian baginda bersabda kepadanya, ”Sungguh engkau telah berlindung kepada Zat  Yang Maha Agung, kerana itu hendaklah engkau bergabung dengan keluargamu.” (Hadis Sahih Riwayat Nasa’i no:3199, Fathul Bari IX:356 no:5254, Nasa’i VI:150).

Dari Ka’ab bin Malik r.a., ketika ia dan dua rakannya tidak bicara  oleh Nabi SAW, kerana mereka tidak ikut bersama baginda pada waktu perang Tabuk, bahawa Rasulullah SAW pernah mengirim utusan menemui Ka’ab (agar menyampaikan pesan baginda kepadanya), ’Hendaklah engkau menjauhi isterimu!” Kemudian Ka’ab bertanya, ”Saya harus mentalaknya, ataukah apa yang harus aku lakukan?” Jawab Beliau, ”Sekedar menjauhinya, jangan sekali-kali engkau mendekatinya.” Kemudian Ka’ab berkata, kepada isterinya, ”Kembalilah engkau kepada keluargamu.” (Muttafaqun ’alaih: Fathul Bari III: 113 no:4418, Muslim IV:1120 no:2769, ’Aunul Ma’bud VI:285 no:2187 dan Nasa’i VI:152). (Perkataan Ka'ab ini bukan bermaksud menceraikan isterinya.)

Talak Munajazah dan Talak Mu'allaq.

Kedudukan talak adakalanya berbentuk Munajazah (terjadi pada masa itu juga)  dan adakalanya berbentuk Mu’allaqah.( terjadi tidak pada masa itu).

Talak Munajazah ialah pernyataan talak yang sejak dikeluarkannya pernyataan tersebut pengucap bermaksud untuk mentalak, sehingga ketika itu juga jatuhlah talak.

Contohnya: ia berkata kepada isterinya : "Engkau tertalak".

Hukum Talak Munajazah ini terjadi pada masa itu juga, ketika diucapkan oleh orang yang bersangkutan dan tepat sasarannya.

Talak Mu’allaq, iaitu seorang suami menjadikan jatuhnya talak bergantung pada syarat. Contohnya, ia berkata kepada isterinya: "Jika engkau pergi ke tempat itu, maka engkau ditalak."

Hukum Talak Mu’allaq ini apabila dia bermaksud hendak menjatuhkan talak ketika terpenuhinya syarat. Maka jatuh talaknya sebagaimana yang diinginkannya.

Talak cara taklik :

Cerai taklik bermaksud perceraian yang berlaku kerana suami telah bertaklik. Taklik ialah perkataan Arab yang memberi maksud (dalam bahasa Melayu) bergantung, tergantung atau bergantungan. Biasanya diterjemahkan sebagai cerai bersyarat. Manakala daripada segi Istilahnya, ialah perceraian yang berlaku kerana suami telah melafazkan talak atau cerai ke atas isteri dengan syarat-syarat atau peristiwa yang tertentu. Seperti kata suami “apabila saya meninggalkan isteri selama empat bulan tanpa nafkah, dan isteri telah mengadu kepada hakim syarie serta telah membuat bayaran RM1 bagi pihak diri saya, maka jika sabit kesalahan, pada masa itu jatuhlah satu talak khalie”. 

Fasakh :

Fasakh ertinya menurut bahasa ialah rosak atau putus. Manakala menurut syarak pula, pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu sifat yang dibenarkan syarak, misalnya, perkahwinan suami isteri yang difasakhkan oleh kadi disebabkan oleh suaminya tidak mempu memberi nafkah kepada isterinya.

Fasakh tidak boleh mengurangkan bilangan talaknya. Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri sekiranya terdapat beberapa sebab atau kecacatan yang terdapat pada pihak suaminya.

Mengikut mazhab Shafie, seorang isteri boleh menuntut Fasakh melalui kadi atau mahkamah disebabkan oleh :
1. Kekurangan suaminya seperti gila (berkekalan atau sekejab);
2. Penyakit kusta;
3. Penyakit sopak;
4. Penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan persetubuhan;
5. Suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya seperti makan dan minum serta tempat tinggal, pakaian,
6. Tidak memberi mahar dengan cara tunai sebelum bersetubuh kerana kepapaan atau muflis atau sebagainya;
7. Suami tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan isterinya terlalu lama dan tidak memberi khabar berita;
8. Suami yang menzalimi dan memudaratkan isterinya;
9. Suami yang fasik serta melakukan maksiat terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan
10.Suami dijatuhkan hukuman penjara disebabkan kesalahan jenayah.
11. Murtad salah seorang (suami atau isteri).

Pembahasan Talak Raj'i dan Talak Ba’in

1. Talak Raj'i (rujuk)

Talak Raj'i adalah talak di mana suami boleh merujuk kembali isteri yang diceraikannya itu dan diletakkan kembali di bawah jagaannya selama iddah masih belum tamat. Ini boleh dilakukan dengan niat dan keinginan yang semata-mata untuk merujuk kembali kepada isterinya.

2. Talak Ba'in (nyata)

Talak Ba'in adalah talak di mana suami tidak lagi dapat merujuk kembali akan isterinya atau dengan erti kata yang lain talak yang memisahkan sama sekali isteri dari suaminya. Talak Ba'in pula dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Ba'in Sughra dan Ba'in Kubra.

i. Talak Ba'in Sughra

Talak Ba'in Sughra adalah talak yang kurang dari 3 kali. Maksudnya bila seseoranq suami menjatuhkan talak kali yang pertama (1) atau kali yang kedua (2) ke atas isterinya kemudian si suami tidak pula merujuk kembali akan isterinya itu sehinggalah tamat tempoh iddah, maka dengan sendirinya talak ini jatuh menjadi Talak Ba'in Sughra. Suami masih boleh berkahwin semula dengan bekas isterinya yang ditalak itu tetapi dengan syarat mestilah diakad nikahkan yang baru serta membayar mahar kahwin dan memenuhi syarat-syarat dan rukun perkahwinan.

 ii. Talak Ba'in Kubra

Talak Ba'in Kubra adalah talak yang kali ke tiga (3) dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya. Dengan jatuhnya talak kali ke tiga ini, maka terpisahlah seorang isteri dari suaminya sama sekali. Pasangan yang bercerai pada bilangan talak yang ke tiga tidak lagi boleh dirujuk atau untuk berkahwin semula sehinggalah bekas isteri itu berkahwin dengan lelaki lain dan disetubuhinya. Selepas itu wanita ini bercerai semula dengan suami keduanya maka dengan cara ini suami yang pertama bolehlah berkahwin semula dengan bekas isterinya itu.

Sahabat yang dikasihi,
Untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat perlulah suami isteri memahami tanggungjawab masing-masing. Perkahwinan yang sebenarnya bukan setakat perkahwinan yang sementara di dunia ini tetapi perkahwinan ini akan berpanjangan di syurga nanti apabila masing-masing layak memasuki syurga Allah SWT. Di syurga nanti akan dipertemukan kembali semua ahli keluarga suami, isteri ,anak-anak cucu-cicit dan lain-lain lagi, yang dekat dan jauh.

Nilai sebenar yang perlu kalian letakkan sebelum berpisah dengan pasangan kalian (bercerai) jika terpaksa berpisah adalah nilai Allah SWT, nila agama dan nilai dosa dan pahala. Jangan letakkan nilai harta, rupa paras, pangkat dan kedudukan kerjaya. Jika bersama boleh menjauhkan kalian daripada rahmat Allah dan menjauhkan daripada syurga lebih baik berpisah daripada menaggung dosa. Pertemuan dan perpisahan adalah resam kehidupan duniawi pilihlah yang terbaik untuk masa hadapan kalian di akhirat bukannya di dunia yang serba fana yang tidak akan kekal.

2 comments:

namakuzik said...

assalamualaikum....sy ingin penjelasan dari uztaz...mohon dibalaz ya....ayah sy berkahwin lain,mak sy belom mengetahui..anak2 udah tau tapimerahsiakan atas kehendak bapa..anak2 semuanya redha dengan apa yang terjadi...sekarang mendapat 2 cahaya mata...sekarang mak udah tahu melalui mz dari bapa..soalannya.bolehkah mak bercerita tentang kejahilan suami kepada anak2 ...dan apakah hukumnya jika niat untuk berpisah ada pada lafaz seorang isteri.mohon juga apakah jalan terbaik kami sebagai anak2 untuk tidak terjerumus dalam jurang perpishan keluarga..wallahualam.....

namakuzik said...

assalamualaikum....sy ingin penjelasan dari uztaz...mohon dibalaz ya....ayah sy berkahwin lain,mak sy belom mengetahui..anak2 udah tau tapimerahsiakan atas kehendak bapa..anak2 semuanya redha dengan apa yang terjadi...sekarang mendapat 2 cahaya mata...sekarang mak udah tahu melalui mz dari bapa..soalannya.bolehkah mak bercerita tentang kejahilan suami kepada anak2 ...dan apakah hukumnya jika niat untuk berpisah ada pada lafaz seorang isteri.mohon juga apakah jalan terbaik kami sebagai anak2 untuk tidak terjerumus dalam jurang perpishan keluarga..wallahualam.....